Theflowersellingboy

Sabtu, 28 Disember 2013

DEBARAN dan HARAPAN RAKYAT: Tahun 2013 dan 2014.




Tidak berapa hari lagi kita akan meninggalkan tahun 2013 yang sangat-sangat kita tunggu dulu. Kita tunggu dengan penuh debaran dan harapan. Bilakah PRU 13 akan diadakan, itu debaran dan harapan kita. Akhirnya PRU 13 telah diadakan pada 5 Mei 2013.

Kemuncak debaran dan harapan ialah pada malam menunggu keputusan PRU 13 itu. Berdebar kerana persaingan terlalu hebat antara BN dan PR. BN berdebar takut kalah. PR pun berdebar kerana harapan menang boleh jadi kalah. Masing-masing-masing berdebar dan mengharapkan yang terbaik.

Akhirnya BN dan PR masing-masing mengistiharkan diri menang. BN menang kerusi melebihi PR, lantas layak menubuhkan kerajaan menurut sistem yang telah digunapakai selama ini. PR juga menang kerana mendapat undi dari suara terbanyak pengundi, mengatasi undi yang diterima oleh BN (52% vs 47%), selaras dengan konsep demokrasi. 

Tapi PR tidak layak menubuh kerajaan kerana tidak memenuhi syarat yang telah terpakai dalam membentuk kerajaan.

BN tubuh kerajaan. PR mengadakan perhimpunan memberi tahu rakyat bahawa sebenarnya parti itu yang menang. Sehingga menghampiri  tahun 2014, peperangan diantara BN dan PR dalam mempengaruhi fikiran rakyat masih berterusan.  Kesannya tidak baik kepada negara.

BN menubuhkan kerajaan atas kekuatan memenangi lebih kerusi dan bukan suara majoriti pengundi boleh menyusahkan parti itu untuk mentadbir secara licin tanpa gangguan.

Tapi kita tidak boleh salahkan BN kerana menubuhkan kerajaan walaupun tidak mendapat sokongan majoriti. Sistem yang kita telah gunapakai semenjak merdeka ialah hanya parti yang memenangi kerusi yang banyak layak membentuk kerajaan.

Dalam masa yang sama kita tidak juga boleh menyalahkan PR, kerana majoriti rakyat mengundi parti itu. Pengundilah sebenarnya yang menentukan kerajaan dan bukan kerusi. Sebab kita mengurustadbir berdasarkan kehendak majoriti pengundi bukan banyaknya bilangan kerusi yang kita perolehi.

Jadi siapa yang bersalah?  

Banyak benda yang salah dan tidak kena. Antara yang terpenting ialah sistem pengurusan pilihanraya dan jurang tahap kefahaman rakyat tentang amalan pilihanraya dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Terlalu panjang untuk dibicarakan. 

Cuma memadai kita mengatakan terdapat jurang diantara penduduk bandar dan luar bandar dari segi kefahaman tentang pilihanraya dan demokrasi; dan diantara parti dan kerajaan.

Sebahagian besar rakyat, khususnya diluar bandar masih lagi belum cukup matang tentang politik dan demokrasi; yang masih lagi tidak dapat membezakan diantara parti dan kerajaan. Ini ada sangkut paut dengan dua perkara utama. Pertama tiada pendidikan atau pendidikan yang rendah. Kedua, terdedah dan menerima  maklumat yang terhad dari sumber yang sama. 

Maka kecenderungan mereka (pengundi luar bandar) hanya kepada satu pihak saja iaitu pihak yang menguasai maklumat itu iaitu parti BN. BN lah yang menguasai penyebaran maklumat kepada pengundi luar bandar. Lantas BN lah yang menjadi pilihan kerana mereka banyak terdedah dan menerima maklumat dari sumber BN. (BN dan kerajaan tidak dibezakan).

Sebaliknya dikawasan bandar, pengundi banyak terdedah kepada sumber makluamt yang berbagai, disamping mempunyai pendidikan lebih baik berbanding dengan pengundi luar bandar. Mereka berani mengambil risiko untuk berubah. Sebab itu PR dapat menguasai pengundi dalam bandar.

Walaupun PRU 13 telah berlangsung, keputusan sudah diketahui, BN telah membentuk kerajaan, tapi perang politik masih lagi berterusan. Sekali lagi saya katakan ianya tidak sihat untuk negara dan rakyat.

Yang menjadi keadaan perang tak sudah-sudah ini ialah kerana BN tidak memenangi suara majoriti.

Ditambah pula dengan masalah yang BN sendiri lakukan. Pertama, kesan dari urustadbir yang lepas. Walaupun BN menafikan, tetapi rekod rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan sendiri seperti laporan Ketua Audit Negara, dan laporan dari institusi dan agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Global Financial Integrity tidak memberi nama yang baik dalam hal tata kelola urustadbir kerajaan.

Pembaziran, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, perbelanjaan tidak berkhemah yang membuatkan bajet tahunan sentiasa defisit, hutang negara yang terlalu tinggi hampir mencapai had yang dibenarkan undang-undang, menjual aset negara  dan kemorosatan prestasi pendidikan adalah sebahagian dari hasil pengurusan kerajaan BN.

BN juga mendapat nama buruk kerana memberi keistimewaan kepada sekumpulan elite bagi mengusai ekonomi negara misalnya dalam perniagaan beras, gula, khidmat tv berbayar, telekomunikasi, otomotif, penjanaan tenaga bebas, konsessi lebuhraya, pelabuhan dan banyak lagi

Satu lagi unsur yang membuatkan rakyat resah gelisah ialah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. 

Apa pun alasan yang digunakan, kenaikan harga tetap memberi kesan yang menyusahkan rakyat terutama yang berpendapatan rendah. Tambah-tambah lagi BN dengan secara terbuka telah berjanji untuk mengurangkan kos sesuatu barang dan perkhidmatan dalam aku janji semasa meraih undi PRU 13 seperti menurun tol secara berperingkat dan harga kereta.

Yang paling jelas dan tidak mudah dilupai ialah janji untuk menambahkan BR1M dari RM500 kepada RM1,200. Tapi yang diberi hanya RM 650 saja. BN mungkir janji.

Dan rakyat tidak dapat menerima logik tentang perlunya kenaikan harga petrol walaupun Kerajaan BN menafikan menaikkan harga itu. Begitu juga dengan gula. Sama juga dengan letrik.  Demikian juga dengan tol.

Semua kenaikan itu akan mengurangkan kuasa beli rakyat. Menyusahkan rakyat. Rakyat sentiasa bertanya: Mana orang yang tidak menggunakan pengangkutan yang memakai minyak? Mana barang dan perkhidmatan yang boleh sampai kepada rakyat tanpa menggunakan kuasa minyak? Begitu juga dengan gula, letrik dan tol. 

Logik rakyat ialah kenaikan harga barang-barang itu akan mempengarauhi kenaikan barang dan perkhidmatan yang lain, Ianya berangkai.

Apatah lagi dengan GST! Cukai yang dikenakan kepada semua orang bagi semua barangan dan perkhidmatan melainkan yang tersenarai sebagai yang dikecualikan. Rakyat menjadi parah. 

Sebaliknya kerajaan kata cukai GST bertujuan untuk memperkukuhkan ekonomi negara. Pendapatan negara akan bertambah berlipat ganda. Pendapatan yang bertambah akan membolehkan kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Banyak program dan projek untuk kebaikan rakyat boleh dilaksanakan.

Apa yang kerajaan kata itu benar kerana GST akan menambahkan pendapatan negara kerana semua rakyat kena cukai. Tapi kerajaan tidak mempunyai rekod yang baik dalam menguruskan wang negara. 

Itulah masalah kepimpinan BN yang ada dari dulu dan kini. Jika masih lagi membiarkan cara lama berterusan, maka selama-lamanya BN bermasalah dalam menyakini rakyat.

Dengan demikian debaran rakyat dalam menghadapi tahun 2014 lebih hebat dari tahun 2013. Harapan rakyat pun terlalu tinggi. 

Sebab itu menjelang memasuki tahun 2014, rakyat yang merasa tertekan dengan kenaikan harga, yang terlalu resah gelisah dengan kedatangan GST pada April 2015 dan yang sudah tahu BN mungkir atas janji yang telah dibuat semasa meraih undi PRU 13, mahu menyatakan kepada kerajaan BN bahawa mereka tidak mahu diperlakukan seperti itu. 

Tolonglah, please. Itu HARAPAN yang mereka mahu sampaikan kepada kerajaan BN menjelang tahun 2014.

BN wajar menyambut Harapan Rakyat itu dengan penuh simpati dengan berpegang kepada kata-kata Rakyat Didahulukan.

Jika BN tidak berbuat demikian, PR akan menyambut harapan rakyat itu dengan penuh simpati. Jangan salah rakyat jika rakyat menyebelahi PR. Dan jangan salah PR kerana majoriti rakyat memberi undi kepada PR dalam PRU 13. PR menjalankan amanah seperti yang dikehendaki oleh suara majoriti.

Jadi tahun 2014, BN dan PR akan meneruskan perang politik. Rakyat juga yang susah. Debaran jantung semakin kuat. Banyak yang mati sakit jantung.
 






 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan