Theflowersellingboy

Rabu, 4 Disember 2013

IKLAN NASI LEMAK dan PRESTASI INDEKS PERSEPSI RASUAH MALAYSIA 2013




Tahniah kepada Kerajaan pimpinan BN kerana Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index -CPI) 2013 telah meningkat baik satu tangga seperti yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI). Tahun 2012 CPI Malaysia pada tangga 54. Pada tahun 2013 kedudukan bertambah baik, pada kedudukan tangga 53.

Walaupun hanya satu mata, ianya tetap peningkatan. Tahniah sekali lagi.

Ini bermakna usaha kerajaan dalam  membanteras rasuah telah menunjukkan kesan yang positif, dakwa kerajaan dan penyokong-penyokong tegar.

Tapi ada pihak yang masih lagi tidak berpuas hati dengan mengatakan peningkatan itu hanya pada tahap yang marginal saja. Mereka membandingkan prestasi itu dengan jumlah wang yang terlalu besar yang telah dikeluar dan diperuntukkan kepada SPRM. Bagi tahun 2013 misalnya SPRM telah diperuntukkan sebanyak RM252 juta, manakala meningkat menjadi RM 298 juta peruntukan bagi tahun 2014.

Dari segi analisis kos faedah , peningkatan satu mata itu sememangnya tidak sepadan dengan wang yang telah dikeluarkan. Bermaksud SPRM/Kerajaan telah gagal dalam memerangi rasuah.

Tapi kegagalan ini jangan pula kita ucapkan Takziah kepada Kerajaan. Ianya tidak membantu malah sedikitpun tidak mengubati SPRM/Kerajaan dalam usaha membanteras rasuah. Tidak sama dengan seseorang yang kematian anak, yang perlu kita ucapkan takziah sebagai menyatakan rasa simpati dan berkongsi kesedihan diatas  kehilangan anak yang dikasihi. Maka terubatlah hatinya, sehingga menjadi ransangan bagi membina semangat dan untuk meneruskan kehidupan.

Sesunguhnya SPRM masih ada lagi, tidak seperti anak kawan kita itu yang telah pergi selama-lamanya meninggalkan dunia yang fana ini.

Bagaimana untuk membantu SPRM? Bagaimana wang rakyat dapat digunakan dengan baik dan berkesan kearah membanteras perbuatan rasuah yang terkutuk ini? Bagaimana kita boleh mendapat faedah yang lebih dari sejumlah wang yang diperuntukkan kepada usaha-usaha membanteras rasuah?  Bagimana kita dapat menghapuskan amalan rasuah yang sebenar, bukan saja dari segi persepsi?

Untuk menjawab soalan-soalan diatas kita perlu tanya satu soalan saja: Mengapa SPRM gagal? 

Kita perlu mencari jawapan akan sebab musababnya..

Dari segi peruntukan, jelas ianya bukan satu masalah.

Struktur SPRM, ada sedikit masalah dari segi kemampuan untuk melakukan kerja secara bebas dan berkesan. 

Walaupun SPRM dikatakan organisasi yang bebas, sebenarnya masih lagi tertakluk kepada arahan Perdana Menteri. Itulah 'line of command'  dalam organisasi SPRM. SPRM juga tidak bebas untuk melakukan pendakwaan kerana terpaksa merujuk kepada Peguam Negara, yang menentukan sesuatu kes itu perlu diteruskan pendakwaan atau sebaliknya.

Dari segi usaha-usaha memperkasakan tindakan kearah pembanterasan rasuah, diatas kertas, ianya kelihatan amat meyakinkan sebagai sebahagian dari Program Trasformasi Kerajaan. Terdapat berbagai Jawatankuasa ditubuhkan yang bertujuan antara lain untuk menilai sesuatu kes dan menentukan kes-kes rasuah kecil atau besar diambil tindakan yang sewajarnya.

Terdapat misalnya program yang memberi fokus kepada Rasuah Bersekala Besar; Transformasi Proses Laporan Jabatan Audit; Memperbaikki Perolehan Awam; dan Pendidikan dan Sokongan Orang Ramai.

Tetapi mengapa Indeks Persepsi Rasuah kita hanya dapat naik setingkat saja? 

Belum lagi kita membicarakan kes rasuah yang sebenar, baik dari segi bilangannya; pelakunya; besar kecil jumlah wang dan nilai hartanya; modus operandi yang digunakan; dan kesannya kepada ekonomi negara dan moral kepimpinan dan kesejahteraan rakyat.

Persepsi rasuah pun kita tidak dapat perbaikki pada tahap yang lebih baik.

Ada yang terlalu tidak kena dari segi perlaksanaan, selain dari kekangan struktur dan kuasa pendakwaan.

Ada sebuah iklan di tv, saya tidak pasti atas inisiatif SPRM atau pihak lain,  yang melakunkan babak anti rasuah. Mungkin bagi setengah pihak, iklan itu memberi kesan positif  dalam menangani rasuah.

Tapi saya berpendapat sebaliknya. 

Iklan ini bagi saya bersifat selektif dalam menangani perlakuan rasuah. Memilih orang, suasana, keadaan, tahap kedudukan seseorang, dan jenis perniagaan serta modus operandi rasuah.

Saya panggil iklan itu iklan nasi lemak.

Saya tidak pula mencatat dailog pelakun-pelakun (kartun) iklan itu. Tetapi apa yang dicakapkan diantara beberapa orang pelakun iklan itu  ialah mengenai rasuah.

Ada dua pelakun sedang duduk dan makan nasi lemak. Kemudian muncullah seorang lagi. Maka salah seorang yang sedang makan nasi lemak itu mempelawa untuk membelanja orang yang baru muncul itu untuk makan nasi lemak bersama. 

Maka marahlah orang yang dipelawa itu dengan kata-kata kurang lebih membawa maksud bahawa beliau tidak mahu menerima makan percuma. Sebab orang yang mahu belanja makan nasi lemak percuma itu bertujuan untuk mempengaruhinya mengundi dalam pemilihan jawatan pengerusi sesuatu organisasi. 

"Apa salahnya, nasi lemak saja", dailog yang saya buat yang bersamaan maksud dalam dailog iklan itu.

"Kecil atau besar, cara kau buat itu rasuah namanya", begitulah sikit lebih kurang, balas orang yang hendak dirasuah itu.

Iklan itu secara langsung adalah satu reflectif yang menggambarkan apa yang selalu didakwa oleh ramai orang bahawa SPRM melakukan pembanterasan rasuah secara memilih, dan sentiasa mengejar sehingga ke lubang cacing jika yang melakukan rasuah itu adalah orang kecil, rasuah kecil dan perniagaan yang melibatkan nilai yang kecil bagi mendapatkan satu faedah/keuntungan yang kecil (pengerusi satu organisasi).    

Latar belakang perlakuan rasuah itu ialah di sebuah gerai. Bahan suapan ialah sebungkus nasi lemak. Pelaku (pemberi dan penerima) rasuah ialah orang kampong. Jawatan yang diidamkan melalui rasuah sebungkus nasi lemak ialah pengerusi (mungkin pengerusi JKKK atau pengerusi berbagai organisasi masyarakat).

Modus operandi, mudah sekali, simple. Maklumlah yang melakukan rasuah ialah orang kampong. Senang saja untuk dikesan, ditangkap, disiasat dan didakwa. Sudah tentu cepat mengaku salah.

Bagi yang menonton iklan itu, berbagai tafsiran boleh dibuat. Bagi saya iklan seperti itu tidak langsung berfaedah dan berkesan dalam menghadapi dan membanteras rasuah. Membazir wang saja, jika ada kos yang terpaksa dibayar oleh kerajaan. Merugikan 'air time' saja.

Adakah sepadan diantara kos dan faedah yang boleh dihasilkan oleh iklan itu merujuk kepada pembanterasn rasuah? Bagi saya faedahnya kosong malah ianya menaikkan rasa kebencian ramai orang memandangkan fokusnya adalah rasuah kecil dan orang kecil dan modus operandi yang mudah.

Benar kecil juga rasuah. Besarpun rasuah. Tindakan mesti diambil. Bezanya ialah perlakuan rasuah yang besar, kesanya terlalu besar, luas dan membarah, dan wajar diberi keutamaan dari segi mendahulukan tindakan.

Adakah ini berlaku, sekurang-kurangnya dipamirkan dalam iklan seperti iklan nasi lemak itu? Belum lagi ada iklan seperti itu.

Jika kita mengatakan rasuah, kecil dan besar itu rasuah, maka sewajarnya juga kita memberi gambaran rasuah yang besar dalam lakunan iklan itu.  

Susah ke untuk mengadakan  iklan seperti itu?

Saya percaya kerajaan mempunyai daya kreatif yang baik untuk menghasilkan iklan seperti itu.

Cuma saya mahu cadangkan agar lakunkan projek lembu pawah, satu skim bantuan kepada petani/penternak lembu. Orang yang diberi tanggungjawab untuk mengagih-agihkan lembu pawah itu kepada penternak telah mengkhianati kerajaan (rakyat) dengan dia sendiri mengambil lembu-lembu itu dan dibela diladangnya. Penternak yang layak untuk menerima lembu itu telah dibayar RM50.00 bagi seekor lembu yang diambil.

Lakunkanlah rasuah seperti cerita diatas. Kita lihat apakah gred yang diberi oleh Transparency International keatas Indeks Persepsi Rasuah negara nanti.

Kalau kita masih lagi dengan iklan nasi lemak sebagai satu cara untuk mendapat kedudukan yang baik dalam indeks persepsi rasuah, ianya hanya mimpi saja, baik untuk kita khayalkan. Apatah lagi dalam menukar sikap kita dalam cara dan usaha untuk menghapuskan bilangan perbuatan rasuah, pelaku rasuah dan segala jenis rasuah  yang sebenar, kecil dan besar.

Jangan salahkan Transparency International. Jangan salahkan rakyat yang mendakwa bahawa tindakan menghapuskan rasuah adalah satu tindakan yang terpilih, selektif.
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan