Theflowersellingboy

Sabtu, 7 Disember 2013

Dimana Melayu Tanpa UMNO vs Dimana UMNO Tanpa Melayu



Dimana Melayu tanpa UMNO?

Soalan seperti ini diharapkan tidak mewakili suara semua ahli UMNO. Soalan ini rohnya adalah terlalu angkuh. Masih ada ahli UMNO, yang rasional, yang baik-baik dan tidak sombong dan tidak besar diri, dan tidak juga  besar kepala. Ramai yang siuman dan tahu diri
 
Dimana Melayu tanpa UMNO..
 
Orang Melayu atas pokok. Orang Melayu penghuni hutan.Orang Melayu bodoh. Orang Melayu papa kedana.Orang Melayu merempat ditanah air sendiri.Orang Melayu jadi penyangak. Orang Melayu perasuah besar. Orang Melayu merempet. Orang Melayu penghisap dadah. Orang Melayu kutu rayau. Orang Melayu penjenayah besar. Orang Melayu suka membunuh. Orang Melayu hilang lesap.

Begitulah soalan tersebut mahukan jawapan seperti diatas. Tanpa UMNO begitulah keadaan orang Melayu. Begitu angkuh sekali soalan itu bahawa siapalah Melayu tanpa UMNO. 
 
UMNOlah segala-galanya. UMNOlah ubat yang mujarrab untuk kehebatan Melayu, untuk orang Melayu jadi pandai, untuk orang Melayu tidak jadi lembik, untuk orang Melayu tidak meminta-minta, untuk orang Melayu mampu bersaing, untuk orang Melayu tidak perlu sentiasa mengharapkan bantuan, untuk orang Melayu tidak mengharapkan kontrak secara runding harga, untuk orang Melayu tidak dapat projek rumah atas harga diskaun, untuk orang Melayu tidak menjadi pemegang monopoli perniagaan, untuk orang Melayu tidak bergantung dan mengharapkan GLC, dan macam-macam lagi kehebatan hasil dari keberadaan UMNO.
 
Pendek kata hidup mati orang Melayu UMNOlah penentunya. 
 
Sebenarnya jawapan diatas itu terlalu panjang. Tapi itu yang dikehendaki UMNO. Mereka merasa lega dengan jawapan seperti itu. Puas hati dan ego mereka. Terlalu bangga. Bertambahlah keangkuhannya. Kepala menjadi besar untuk jadi besar kepala. Sombong.

Namun mereka lupa. Terlalu amat lupa. Tidak kenang budi. 
.
Mereka terlupa untuk bertanya: Bangsa manakah atau bangsa apakah yang meletakkan mereka ditempat itu, ditempat yang ada kuasa, tempat  UMNO membuat dan mengumpul harta, jadi kaya raya. Bangsa apakah yang memfaktorkan UMNO boleh berkuasa semenjak merdeka sehingga kini.  Atas nama apakah UMNO itu ditubuhkan, walaupun meminjam perkataan penjajah.
 
Tidak hairan jika mereka lupa untuk bertanya soalan-soalan seperti itu. Sebab mereka tidak jumpa perkataan Melayu dalam tubuh UMNO itu sendiri. Lantas Melayu itu diletakkan sebagai akibat adanya UMNO dan bukan, Melayu yang membolehkan UMNO wujud. Pada mereka UMNO wujud sebelum Melayu. UMNO yang menghidupkan Melayu. UMNO tidak perlu sokongan Melayu.

Kepada orang UMNO yang menanya soalan dimana Melayu tanpa UMNO, jawapan yang betul kepada soalan itu pendek saja, Kalau soalan itu menggunakan empat perkataan iaitu 'dimana', melayu, tanpa, UMNO, jawapan juga menggunakan empat perkataan yang sama.juga. Kalau anda bertanya, kita juga mahu juga bertanya. 
 
Adil bukan?

Tapi pertanyaan kita disusun dengan secara cermat dan tertib agar tidak menimbul rasa angkuh sesuai dengan budaya Melayu yang lemah lembut berbudi bahasa dan tahu mengenang budi. Soalan kita sama nilainya dengan kata-kata bistari ini: Kalau tiada ibu dan bapa manakan ada anak. Ertinya kita memberi penegasan bahawa ibu dan bapalah faktor yang kritikal untuk lahirnya seorang anak (sudah tentu atas kehendak Allah). Ertinya lagi anak itu tidak boleh sombong, bongkak dan angkuh dengan menanyakan ibu dan bapa mengikiut garis panduan soalan UMNO tadi : Siapa emak, siapa abah tanpa saya. 
 
Derhaka namanya.
 
Ibu bapa tidak akan bertanya anaknya sekiranya anaknya tidak menanyakan soalan seperti itu. Oleh kerana anaknya begitu angkuh menanyakan soalan bergarispanduankan soalan UMNO itu maka ibu bapa merasakan wajib untuk mengingatkan anaknya : Tanpa emak dan abah, kau tiada didunia ini wahai anak kesayanganku.
 
Oleh kerana adanya Melayu kemudian baru adanya UMNO maka jawapan kita dalam bentuk soalan  akan memberi penegasan kearah itu. Ertinya Melayu itu sama seperti emak dan ayah yang menyebabkan adanya anak. Maka kita menjawab kepada soalan UMNO itu dengan bertanya semula kepada UMNO : Dimana UMNO Tanpa Melayu.

Tidak ada unsur angkuh kerana kita menegaskan bahawa Melayu itu perlu ada sebelum adanya UMNO.







 
 
 
 
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan