Theflowersellingboy

Ahad, 22 Disember 2013

BANJIR: Antara Kasih Sayang dan Dendam Kesumat



Alhamdulillah, banjir telah reda. Air telah mula mengering. Aku dan mangsa-mangsa banjir yang lain dibenarkan untuk balik ke rumah sambil diberi ingatan berwaspada dengan kemungkinan gelombang kedua.
 
Aku segera mengajak isteri dan dua orang anak-anakku meninggalkan bangunan sekolah tempat perlindungan mangsa banjir itu. Aku tidak ambil kisah akan kemungkinan gelombang kedua itu. 
 
Yang penting , aku mahu melihat rumah aku; kereta kancil aku yang sebuah itu; peti sejuk; mesin basuh pakaian; micro wave; pinggan mangkuk; bahan-bahan makanan; pakaian; tv dan decoder; komputer; mainan anak-anak; dan apa saja yang tidak sempat aku bawa bersama semasa menyelamatkan diri bersama isteri dan dua anak yang masih kecil berusia 3 dan 4 tahun.
 
Selamatkah barang-barang itu?  Bisik hatiku sambil melangkah deras meninggalkan anak-anak dan isteri 100 kaki di belakang. Lembab sungguh dia orang itu.
 
Sebenarnya akau sendiri telah ada jawapan atas soalan itu. Cuma ada doa yang mengiringinya. Aku  mengharapkan sesuatu yang terbaik. Tidak ada barang yang rosak. Semua boleh digunakan.
 
Kali ini mata ku sungguh tajam. Jauh lagi aku sudah nampak rumahku, diantara beberapa rumah teres setingkat. Air tiada lagi di hadapan rumah. Aku mula mampu tersenyum.
 
Aku membuka pintu pagar, dan segera melihat kereta kancilku. Aduhh....air masih tergenang dalam kereta, depan dan belakang. Aku buka  dibahagian enjin....aduhhh sama juga. Enjin tak boleh dihidupkan. Matilah macam ni.
 
Aku masuk dalam rumah. Ya Allah, kau maha berkuasa. Aku dan isteri duduk termenung, murung, terlalu pilu dan sedih.
 
Kami terus membersih rumah. Kami kumpulkan barang-barang yang musnah itu dan memanggil lori untuk mengangkut buang. Dua kali angkutan. 
 
Pekerja lori itu terdiri dari warga Indonesia. Mereka begitu gembira sekali mengangkut barang-barang yang kami hendak buang. Tilam dan bantal, antara barang yang mereka suka. Mereka mahu gunakan, dan sebahagiannya di jual kepada kawan-kawan mereka yang memerlukan.
 
Begitulah. Musibah keatas seseorang adalah rezeki kepada yang lain.  Allah maha besar, dan Allah tahu apa yang dilakukannya. Aku kenalah bersabar.

Tapi sebagai manusia aku selalunya tidak banyak bersabar. Aku pohon keampunan diatas sikapku ini.

Aku banyak kali hilang sabar semasa berada disekolah. penempatan mangsa banjir itu. Aku diberitahu, sekolah itu mampu menampong maksima 1,000 orang saja. Bilangan mangsa banjir 4,000 lebih. 
 
Bayangkan, macam mana nak buang air kecil dan besar; mana ruang untuk berselit sebab terlalu padat; nak tidur dan baring? Lupakan saja. Ada yang tidur sambil menyandarkan diri pada tiang. Paling menyedihkan jika ada anak kecil. Tidak dapat hendak aku cari perkataan untuk menggambarkan kesusahan yang dialami oleh ibubapa mereka. Hanya aku mampu mengalirkan air mata saja.

Pasal makan minum? Pasal bantuan? Macam-macam cerita yang aku boleh cakap. Cukuplah aku katakan, amat kecewa sekali. Ini tidak bermaksud mangsa banjir itu tidak tahu diri. Aku dan yang lainnya memang sedar, bahawa kami tidak boleh mengharapkan sesuatu seperti keadaan biasa. Mesti banyak bersabar. 

Ya, kami, terutamanya aku perlu banyak bersabar.

Tapi aku nak cerita sedikit.

Waktu banjir, segala tenaga bantuan hendaklah digunakan seoptima mungkin semata-mata bagi membantu mangsa, dan bukan mengambil kesempatan untuk mengiklan diri atau kelompak, untuk mendapat publisiti bahawa diri atau kelompok ini lah yang bersungguh-sungguh datang memberi bantuan.

Darah aku tidak naik menjirab jika mereka mengambil gambar. Bahkan bagi aku itu adalah satu keperluan bagi merakamkan sesuatu peristiwa agar boleh digunakan bagi tujuan mengatur program dan strategi dalam membantu mangsa banjir. 

Sebelum menghulur bantuan, terdengar suara mengatakan bahawa ada jurugambar akhbar ke? Tv ada ke? Tujuannya untuk mendapat liputan yang menunjukkan muka-muka dan pihak-pihak yang memberi bantuan. Sudah tentu mereka telah bersedia dengan memakai pakaian, memegang kain rentang dan bendera yang ada lambang kelompok tertentu bagi tujuan penggambaran sebelum menghulur bantuan.
 
Bagi aku, itupun tidak mengapa. Sebab aku tahu kelompok itu mahu juga mendapat nama untuk dijadikan modal dalam pilihanraya. 
 
"Waktu banjir dulu, siapa yang datang membantu, kalau tidak kami yang bersusah payah menyabung  nyawa meredah arus yang deras, semata-mata untuk menyelamatkan rakyat dari bencana banjir".
 
Aku menjangkakan kata-kata itu pada pilihanraya yang akan datang. Siapa yang boleh menafikan kata-kata diatas. Aku tidak boleh menafikan kerana selain aku sendiri yang menyaksikan, mereka ada gambar dan video.
 
Sebab itu perbuatan mereka menanyakan pemberita akhbar dan tv sebelum menghulurkan bantuan, tidak menaikkan sangat tekanan darahku. Itu perkara biasa yang mereka lakukan.

Aku juga tidak marah apabila melihat pelekat yang tertampal pengenalan kelompok tertentu pada barang-barang bantuan seperti air mineral, beras dan gula. Tidak mengapa asalkan mereka memberi bantuan, kita wajar berterima kasih.

Aku marah apabila ada suara lantang mengarah seseorang supaya memohon bantuan dari wakil rakyat kawasan tersebut yang telah dipilih oleh seseorang.

Aku marah sebab:
 
i) Banjir atau bencana atau mala petaka tidak memilih orang. Orang itu pangkah lembu ke, kerbau ke atau apa saja, jika tempat itu banjir maka semua orang kena banjir. Orang pangkah lembu kena, orang pangkah kerbau kena dan apa saja yang dipangkah tetap kena. Dihanyut air deras dan mati lemaspun , banjir tidak pandai memilih. Bantulah mereka dengan penuh kasih sayang dan bukan dengan dendam kesumat.

ii) Segala barang bantuan itu adalah diperolehi dari sumber negara. Maknanya sumber semua rakyat. Semua mangsa banjir itu layak menerima walaupun barang bantuan itu ada tampalan pengenalan kelompok yang memberi bantuan. Lagipun, dalam keadaan semacam ini, masihkah lagi perlu berdendam. Apa hak untuk berdendam dalam keadaan orang memerlukan bantuan. Adakah jika orang itu seorang doktor akan bertanya seseorang yang sudah nazak: Kamu undi parti mana; kamu bangsa apa; kamu agama apa; kamu ahli parti mana? Dan kalau bukan seperti yang dia kehendaki, orang itu dibiarkan saja mati.

Dahsyat betul dendam kesumat orang ini. Sedikitpun tidak punya kasih sayang.

(Cerita ini dipadankan dari cerita seorang mangsa banjir dari Kuantan yang diceritakan kepada saya. Kawan saya itu amat sedih sekali dengan apa yang berlaku. Banyak barang-barang beliau terpaksa diangkut lori untuk dibuang. Mujur ada pekerja Indonesia yang menfaatkan sebahagian dari barang-barang itu).
 


  
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan