Theflowersellingboy

Rabu, 1 Januari 2014

Tinggallah 2013 dengan iringan cerita raja buta dengan penari tutup mata untuk menuju tahun 2014.



Apakah yang wajar saya bicara sebelum meninggalkan tahun 2013. Suatu bicara yang lain dari kisah-kisah yang berlambak diperkatakan berbagai pihak.  

Cerita fasal politik sudah berlambak. Tak habis-habis fasal politik. 

Fasal harga barang naik pun, semakin memanas. Banyak yang berminat membicarakannya sebagai tanda ingatan meninggalkan tahun 2013 sebelum memasuki tahun 2014. 

Antara yang dibicarakannya ialah bahawa yang duduk ditengah diantara dua tahun ini adalah rakyat yang terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup. Mereka tidak jemu-jemu membicarakan fasal TURUN dan mendesak kerajaan untuk TURUN bersama,  sambil mengingatkan kerajaan agar lupakan saja mimpi ngeri jatuh terguling dari puncak gunung. 

Mahu bicara fasal agama, saya bukan ahlinya. Ilmu agama tidak setinggi gunung everest dan tidak sedalam lautan pasifik . 

Saya tidak juga menguasai perkara-perkara asas dalam ekonomi dan kewangan, apatah lagi hendak berlagak sebagai pakar untuk dijemput menjadi pakar runding ekonomi dan kewangan negara, menjadi penasihat. 

Tapi kalau ada yang gila, yang mahu juga menggunakan saya sebagai pakar runding untuk menjadi penasihat ekonomi dan kewangan kerajaan, satu hal yang saya berani jamin ialah saya akan jadi punahsihat kerajaan paling cekap. 

Tak sampai sebulan negara akan jadi bengkerap. Sebab, bagi saya, sementara kita ada kuasa, ada duit mesti belanja. Bila tak ada kuasa, ambil duit satu sen pun kita kena dakwa, lepas tu masuk penjara.

Jadi apa subjek yang saya mahu bicara. Kisah cinta? Alamak malunya, cucu sudah ada dua, mahu masuk tiga, insyaAllah bulan Februari, tigalah bilangan cucu saya. 

Fasal jenayah, fasal rasuah, penipuan, salah guna kuasa , mat rempet, pendidikan waemah apa saja yang datang dalam otak kepala saya, semuanya telah menjadi perkara biasa, sudah banyak kali dibincangkan. Cuma yang saya tahu, tidak ada  satu hal pun, yang dibicarakan menemui penyelesaian yang terbaik.  

Jenayah semakin meningkat; rasuah , seluruh dunia tahu kedudukan no. 2 Malaysia selepas China dalam amalan rasuah; sama juga dengan penipuan dalam menguruskan wang negara dan salah guna kuasa, satu ciri pengurusan yang sudah menjadi darah daging; merempet? ah lupakan saja kerana itu kesukaan anak muda Melayu, tidak boleh tegur dan dilarang, nanti dilanggarnya kita dengan kelajuan motor kapcainya; pendidikan pula, kita pada kedudukan menghampiri corot.

Oh ya, tiba-tiba saya dapat satu inspirasi. Saya ada satu cerita istimewa sempena mengucapkan selamat tinggal tahun 2013 dan menyambut tahun baru 2014. Saya percaya, cerita ini adalah cerita ekslusif saya.

Cerita seorang raja  buta dengan sekumpulan penari yang menutup mata. Begini bunyi ceritanya.

Alkisah maka di ceritakan oleh yang empunya cerita, ada sebuah kerajaan yang bernama Entah Apa-apa, yang Rajanya buta semenjak menaikki tahta. Walaupun  buta, siraja ini masih lagi diminta untuk terus  bertahta selagi nyawa dikandung badan.

Pada suatu hari, iaitu hari kebesaran menyambut ulang tahun raja naik tahta, raja buta itu dipimpin oleh permaisuri keluar dari bilik beradunya untuk bersemayam di balai rong seri. 

Setiba saja di balai rong seri  dalam perjalanan menuju kesinggahsana untuk melabuhkan punggungnya, kedengaranlah bunyi seperti orang bangun berdiri. Raja itu tersenyum bangga kerana dia tahu  bahawa semua para menteri dan juak-juak istana berdiri membongkok sambil merapatkan dua tapak tangan mencecah dahi, menyembah kasih.

Berbisiklah dalam hati raja itu,"terror aku, walaupun aku buta".

Sebaik saja raja itu duduk diatas kerusi yang bersalut emas permata, maka terdengar di gegendang telinga raja itu bunyi seperti orang mahu duduk. Maka secepat kilat otaknya memberitahu bahawa semua para hadirin mula boleh duduk setelah dia terlebih dulu melabuhkan punggungnya.

"Hebat aku. Aku duduk dulu baru rakyat boleh duduk". Tersengih raja itu menampakkan giginya yang rongak.

Permaisuri berbisik sesuatu ke telinga raja itu. Raja mengangguk kepalanya dua tiga kali anggukan yang disaksikan oleh para hadirin. Fahamlah mereka bahawa majlis sembah kasih akan bermula.

Permaisuri yang mewakili batang tubuh raja itu meminta para menteri mendatangkan diri, merafak sembah menjunjung kasih, dan  melaporkan apakah persembahan yang dibawa pada hari ulang tahun naik tahta raja itu.   

Seorang demi seorang menteri mendatangkan diri, memohon ampun akan persembahan yang dibawa sebagai tanda kasih sayang kepada raja itu. Semua persembahan di sambut dengan senyuman oleh raja, tanda perkenan baginda keatas apa yang  dipersembahkan. Tapi raja amat teruja dengan persembahan yang didatangkan oleh menteri hiburan. Persembahan dari penari menutup mata.  

"Beta mahu melihat bagaimana orang menari dengan menutup mata. Tidak berlanggar ke?"

"Tidak tuanku, mereka penari professional. Setiap langkah tarian akan dikira. Patik berjanji, tidak akan berlaku dihadapan mata tuanku, penari-penari itu akan berlanggar waktu menari. Mereka professional, tuanku". 

Senyuman raja semakin melebar. Senyumnya menjadi lebar sebab dia tidak percaya penari-penari itu tidak berlanggar sesama sendiri waktu menari. Jika berlaku perlanggaran , dia mahu menghukum menteri hiburan itu untuk melakukan ketuk ketampi. Dia mahu ketawa besar jika itu berlaku. 

Maka dititahnya menteri hiburan itu membawa  masuk penari-penari tutup mata itu untuk segera mengadap menyembah tari. Kata raja itu dia tidak sabar untuk melihat penari-penari itu menari.  

Maka masuklah penari-penari ke balai rong seri,  mata ditutup dengan ikatan kain hitam diiringi  gendang tarian. Maka menarilah mereka mengikut pukulan gong dan gendang.

Raja yang bersemayam disinggahsana kelihatan terlalu enjoy, mahu join menari lagak gayanya. 

Paluan gendang dan gong semakin hebat menembusi gegendang telinga raja. Tiba-tiba seorang dari penggendang itu, terlepas dari pegangannya akan pemukul gendangnya lalu mengenai kepala rakan disebelah, "Oduh, sakitnya".

Mendengarkan jeritan itu raja menitahkan tarian itu dihentikan segera. 

'Betullah sangkaan ku penari tutup mata itu akan berlanggar sesama sendiri. Mana mungkin orang tutup mata boleh nampak', bisik raja itu dengan mengukirkan senyuman menghukum.

"Benar apa yang beta saspek, berlaku perlanggaran. Betul tak?"

"Ampun tuanku, benar tuanku", kata menteri hiburan berdatang sembah.

"Oleh kerana kamu telah berjanji, dan janji tidak ditepati maka dengan kuasa yang ada pada beta, kamu dihukum melakukan ketuk ketampi 1,000 kali". Mamak-mamak menteri yang lain setuju? Adinda setuju?" titah raja itu.

Maka berdatang sembahlah permaisuri dan semua mamak-mamak menteri termasuk mamak menteri hiburan dengan serentak menyatakan taat setia. 

"Apa titah tuanku benarlah belaka. Hitam kata tuanku, hitamlah kata patik pacal-pacal yang hina ini".

Maka ketawa besarlah raja itu mendengarkan kata pacal-pacal yang hina itu.

Kemudian berdatang sembah menteri hiburan itu untuk mohon ampun dan izin melakukan ketuk ketampi itu. Tetapi belum sempat bersuara, raja itu berkata, " Bagus. Laju sedikit turun naik tu. Ya, macam tu lah. Beta raja".

"Ampun tuanku, ya , tuanku raja", kata menteri hiburan yang masih lagi belum melakukan ketuk ketampi.

Itulah cerita saya, inspirasi dari berbagai peristiwa yang berlaku disekeliling kita sepanjang tahun 2013. Apa kata PM, begitulah kata menteri dan juak-juaknya seperti dalam cerita raja buta menonton penari tutup  mata.
  

 



 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan