Theflowersellingboy

Isnin, 16 Disember 2013

Bukti Gred B: Kamu Didakwa Melakukan Pembunuhan. Buktikan Yang Kamu Tidak Membunuh.




Ada telur gred A dan ada gred B. Keputusan peperiksaan juga ada gred. Misalnya SPM, ada gred 1, gred 2 atau sijil am. Martikulasi, berapa CGPA. Yang paling terbaru ialah tentang bukti sesuatu dakwaan, ada juga grednya. Ada bukti gred A dan gred B.
 
Macam-macam ada di Malaysia negaraku yang tercinta ini. Semua boleh.
 
Kita bicara tentang hal yang terbaru kerana yang lain-lain itu semua orang sudah biasa dan sedia maklum. Misalnya kalau telur ayam gred A ianya lebih baik dari gred B. Begitu juga dengan keputusan peperiksaan.
 
Apakah bukti yang tergolong dalam kategori gred B?
 
Seorang pegawai Jakim telah memberi tahu kita jenis-jenis bukti yang masuk dalam kategori gred B. Ada sepuluh jenis. Kita ambil satu jenis saja kerana untuk bicara kesemuannya ia akan menjemukan selain mengambil ruang paparan yang panjang.
 
Mengenali seseorang atau mengkagumi kehebatan seseorang atau bertemu dengan orang itu atau melawat negara/tempat orang itu , mengikut Jakim ianya adalah  satu bukti yang jelas bahawa kita adalah pengikut kepada orang itu. Dan jika orang itu berfahaman berbeza dengan kita, berbeza agama dengan kita atau fahaman dan agama negara kita, kita boleh didakwa melakukan kesalahan. 
 
Itulah jalan fikiran pegawai Jakim.
 
Perlakuan seperti itu diberi nilai pada tahap gred B oleh pegawai Jakim seperti yang diperkenakan keatas Mat Sabu.
 
Ada juga bukti yang dikategorikan sebagai gred A. Mungkin kalau kita peluk dan cium orang itu,  saya ingat kita akan diberi gred A.
 
Perlakuan kita itu akan dihebuh-hebuhkan sebagai pihak yang terlibat melakukan kesalahan atau melakukan penyelewengan agama dan boleh didakwa. Kerajaan ada bukti berdasarkan gred. Ada gred B dan ada gred A.
 
Dalam kes Mat Sabu, hanya bukti gred B baru di keluarkan. Bukti gred A masih disimpan dalam tangan. 
 
Apa pula nilai kekuatan bagi bukti-bukti yang telah digredkan itu. Dalam kes Mat Sabu ini apa nilai kekuatan bukti  gred B itu?
 
Pegawai Jakim itu tidak pula menjelaskan akan maksud bukti gred B itu selain dari menyenaraikan peristiwa dan cerita yang di kategorikan sebagai gred B.
 
Tapi satu perkara yang jelas ialah beliau mengatakan bahawa bukti ini memerlukan pembuktian dari pihak yang didakwa. Siapa yang kena dakwa dialah kena membuktikan bahawa dia tidak seperti yang didakwa. Itulah ciri utama dan nilai yang terkandung dalam bukti gred B, gamaknya. Hebat sekali.
 
Untuk lebih jelas bagi memahami jalan fikir pegawai ini, kita ambil contoh kes dakwaan perbuatan rasuah.
 
Seseorang yang ada kedudukan dan kuasa, misalnya menteri yang selalu dituduh oleh orang ramai melakukan amalan rasuah semata-mata berdasarkan   pemerhatian  orang ramai terhadap gaya hidup menteri itu. Buktinya antara lain mengikut pemerhatian orang ramai ialah:
 
Menteri itu ada 10 biji kereta mewah; melakukan percutian keluarga keluar negara 5 tahun sekali, khususnya ke eropah dan USA; 
 
Ada 10 buah rumah banglo mewah dikawasan perumahan kos tinggi, dan semuanya disewa; 
 
Ada sebuah rumah kediaman seperti istana mahligai bernilai 20 juta; 
 
Mengadakan rumah terbuka sambutan hari raya dengan para jemputan melebihi 10,000 orang dengan kos satu kepala RM30.00; 
 
dan sentiasa menerima pemberian pada setiap menyambut ulang tahun hari kelahiran yang bernilai tidak kurang 5 juta ringgit.
  
Maka kalau ikut jalan berfikir pegawai berkenaan , kita boleh dakwa menteri itu hidup diluar dari kemampuan gaji yang diterima, katakan RM 50,000-60,000, sebulan.
 
Mengikut cara berfikir pegawai Jakim itu dakwaan orang ramai  itu tidak perlu dibuktikan. Menteri yang didakwa sebagai rasuah itu perlu membuktikan bahawa dianya bebas dari rasuah. Beban membuktikan jatuh diatas bahu menteri itu.
 
Dan orang ramai boleh kata bahawa dakwaan  itu adalah dakwaan berasaskan bukti gred B saja dimana yang didakwa kena membuktikan bahawa dia tidak melakukan rasuah. Sama juga dengan kes-kes lain seperti kes bunuh.
 
Jadi bukti gred B itu memerlukan pembuktian dari orang yang didakwa. 
 
Mat Sabu kena dakwa atau dituduh pengamal syiah, Mat Sabu kena buktikan sebaliknya. Kalau tidak berjaya membuktikan sebaliknya maka syiahlah hukumnya Mat Sabu itu, mengikut cara berfikir pegawai itu.

Baik. Jika prinsip itu diterima oleh kerajaan , maka kes menteri atau sesiapa yang dituduh rasuah hendaklah juga memakai prinsip yang sama. Menteri atau sesiapa yang dituduh rasuah hendaklah membuktikan dianya tidak melakukan rasuah.
 
Macam mana ? Setuju?
 
Kalau pegawai Jakim itu boleh kata ada bukti gred A dalam kes dakwaan terhadap Mat Sabu, orang ramai juga ada bukti gred A terhadap menteri yang dikatakan rasuah.
 
Malaysia negara ku yang tercinta, macam-macam ada, serba boleh. Tuduh menuduhpun boleh. Yang kena tuduh pula kena mengeluarkan bukti untuk membela tuduhan yang dibuat keatasnya.
 
Pelik? Tidak pelik. Sebab inilah Malaysia, the endless possibilities.


 
 
 
 
  
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan