Theflowersellingboy

Isnin, 9 Disember 2013

Penyakit Jangka Pendek pendekkan umur rakyat




Baru-baru ini PM telah mempertahankan satu penyakit yang akan menyerang rakyat Malaysia mulai Januari 2015. Penyakit ini adalah tambahan kepada senarai penyakit yang sedia ada. Sambil menyokong penyakit ini, PM meminta agar rakyat Malaysia bersabar dan sedia berkurban menerima penyakit ini demi masa depan negara.

PM kata penyakit ini adalah penyakit jangka pendek yang wajar dialu-alukan kerana ianya akan memperkukuhkan kewangan negara. Wang negara kukuh, rakyat juga yang untung, tegas PM lagi.

Kuman penyakit ini melakukan serangan bukan secara semborono.  Sebaliknya pandai membuat pilihan. Kumannya hanya  menyerang keatas 30% penduduk Malaysia saja (10 juta, jika kita ambil jumlah rakyat 30 juta). Baki 70% lagi terlepas dari serangan penyakit ini, sebab mereka ini dilindungi oleh suntikan immunasi yang dipanggil jaringan keselamatan sosial.

PM mahu rakyat faham, ini sakit yang perlu disambut dengan baik. Sakitnya ringan saja, tidak teruk.

PM mahu rakyat jangan banyak cerita tentang kenaikan harga letrik. Terima saja. Bukannya banyak pun, hanya 4.99sen satu kilowatt. 

Mengapa rakyat perlu tentang dan hebuh-hebuh. Ini semua hasutan pembangkang yang tidak pernah bersetuju dengan apa yang dilakukan kerajaan.  Ketua Pemuda UMNO pun dah terpengaruh dengan hasutan pembangkang. Ada juga peserta PAU yang telah terpengaruh dengan hasutan pembangkang.

Berfikirlah dengan tenang dan rasional. Ini adalah sebahagian dari proses rasionalisasi kerajaan, demi keutuhan ekonomi negara. Naik hanya 4.99 sen saja, bukannya 5 ratus sen ( RM5). Nak buat hebuh 1Malaysia , apa faedahnya.

Ada pula yang kata TNB berniaga secara Yahudi kerana terdapat dua angka 99 (RM4.99) seperti tag harga barang perniagaan Yahudi, misalnya gedung perniagaan St. Michael kepunyaan Yahudi.  Kenapa tidak RM 4.00. Kenapa tidak RM5.00. Ini semua tiru Yahudi, macam 1Malaysia dan Endless Possibilities. 

Begitulah kata orang yang 'bangxxx', seperti yang dipanggil oleh ketua wanita umno baru-baru ini bila bercakap pembangkang dan banjir.

'Macam-macam perangai, jika tidak setuju dengan kerajaan', mungkin itu agaknya respons PM terhadap kenyataan diatas.

Memanglah tag harga St. Michael seperti itu. Tapi ianya hanya satu kebetulan saja. Sama juga dengan 1Malaysia dan Endless Possibilities.

Apa , orang Malaysia tak tahu berfikir ke? Kerajaan dibawah kepimpinan UMNO tidak ada orang yang pandai berfikir ke? Kenapa kaitkan dengan Yahudi.

Pegawai TNB tak pandai buat kira-kira ke sehingga terpaksa meniru Yahudi? Mengarut.


TNB buat untung RM 2.94 billion pada tahun kewangan berakhir 31 Ogos tahun 2012. Pada suku ketiga tahun ini berakhir pada 31 Mei saja , keuntungan sebelum cukai ialah sebanyak RM2.042 billion. Billion man, bukan empat ringgit sembilan puluh sembilan sen saja!

Ini buktinya pengurusan dan pegawai TNB cekap. Jadi mengarutlah kata TNB meniru cara berniaga Yahudi dengan mengaitkan kenaikan harga RM4.99 itu.

Memang benar kata PM bahawa kenaikan harga RM4.99 itu tidak menyusahkan. Bahkan, tidak terasa dan disedari.  Dan tidak perlu dibayarpun dari poket sendiri. Berikan saja bil letrik dalam apa jumlah sekali pun, RM 2 million misalnya, bisa saja diurus, ianya tidak menyusahkan barang sedikit pun. Bukan pun sakit jangka pendek. Bahkan percuma memanjang.

Mengapa perlu ditentang?

Kenaikan harga ini membolehkan TNB yang telah membuat untung berbillion itu menggandakan lagi keuntungan. Lagi banyak untung, semakin besarlah peluang TNB membuat pelaburan. Ketika ini TNB merancang dan berhajat untuk melabur sebanyak 6 billion. Dengan pelaburan itu, TNB akan dapat menjana pendapatan pada masa depan. Bertambah untunglah TNB.

Mengapa marah sangat TNB buat untung?

TNB untung negara akan untung. Negara boleh dapat cukai korporat dari TNB. Makin banyak untung semakin banyak cukai yang diperolehi negara dari TNB. Maka kedudukan kewangan negara kita bertambah baik dan kukuh.

Untuk tujuan mengukuhkan kedudukan kewangan negara pun nak marah?

Sudah tentu ini kerja pembangkang. Tak ada lain kerja, menghasut saja sehingga ketua pemuda umno juga menari ikut gendang dan tambor pembangkang, mengajak orang-orang umno dan  rakyat, menentang kenaikan harga yang sedikit itu. Tak tahu kenang budi.

Jadi apa sebenarnya pembangkang nak? Apa sebenarnya rakyat yang menentang kenaikan tak sampai 5 sen itu nak? Apa mereka nak lagi?

Tak tahulah apa yang mereka nak. Cuma kita cuba main agak-agak saja, antara yang mereka nak.

i) Beri jamin kenaikan ini tidak menaikkan harga barang-barang dan perkhidmatan yang lain yang penghasilannya memerlu atau menggunakan arus letrik. Ambil contoh yang mudah, susu dari berbagai jenis untuk minuman orang berbagai taraf sosial dan pendapatan. Tentukan kilang yang mengeluar atau menghasilkan produk itu tidak memasukkan unsur kenaikan RM4.99 itu dalam harga jualan produk itu.

Atau kuih karipap yang penyediaannya memerlukan cerahan letrik. Tentukan yang penjual karipap itu tidak memasukkan harga kenaikan letrik itu dalam harga karipap yang dijual.

ii) Beri jamin juga GST yang bersungguh-sungguh kerajaan mahu laksanakan itu tidak dilaksanakan kerana ianya menaikkan harga semua barang dan perkhidmatan tanpa kecuali walaupun ada barang-barang dan perkhidmatan dikecualikan GST. Semua barang dan perkhidmatan akan terkesan secara langsung dan tidak langsung yang akhirnya menjadikan barang dan perkhidmatan itu lebih mahal sebelum GST.

Tapi jika kerajaan menafikan, kerajaan mesti beri jaminan, bahawa tidak berlaku seperti yang dirisaukan diatas.

iii) Jika kerajaan masih lagi tidak mahu mendengar rintihan rakyat, yang susah dan yang sederhana, dan bertekad untuk melaksanakan juga  kenaikan tarif letrik dan GST maka kerajaan mesti bersumpah bahawa hasil tambahan yang diperolehi nanti akan diuruskan dengan penuh amanah, tidak disalahguna, tidak dibazirkan dan tidak meneruskan amalan rasuah.

Itulah saja tiga hal yang cuba diagak-agak apa yang rakyat mahu.  Rakyat tak hendak aku janji kerajaan. Rakyat sudah ada banyak pengalaman. Kerajaan sentiasa mungkir janji. Masa meraih undidulu janji tak naik harga barang. Sekarang naik harga barang. 

Paling kurang rakyat nak kerajaan buat sumpah laknat sama seperti setengah pihak yang minta Anwar Ibrahim buat sumpah laknat fasal liwat. Bersumpah laknatlah ikut agama masing-masing.

Sebenarnya rakyat tidak ambil kisah tentang sakit jangka pendek itu kerana memang pun umur rakyat sudah menjadi pendek disebabkan tingkah laku kerajaan.

Rakyat pun tahu dan amat faham mengapa PM kata kenaikan tarif letrik ini hanya satu penyakit yang rengan saja. Sebab bil letrik rakyat hanya RM20.00 saja.


Bye bye , kita jumpa 2014 dan 2015.....see you again....we don't think they are painful....., just a bit.....short term only.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan