Theflowersellingboy

Jumaat, 6 Disember 2013

Banjir: Kalau Aku Jadi PM dan Kalau Aku Jadi Isteri PM (2)

Gambar PM dan Isteri Melawat Mangsa Banjir seperti yang dipaparkan dalam NST 051213             

Penjawat Awam (Anggota TUDM) dalam misi bantuan banjir





Aku ingin menyambung paparan atas tajuk yang sama seperti paparan semalam, Banjir: Kalau Aku Jadi PM dan Kalau Aku Jadi Isteri PM.

Gambar pertama diatas memaparkan wajah PM dan Isteri berada di salah sebuah penempatan mangsa banjir (seperti yang dilaporkan oleh NST Online). Dan gambar kedua menunjukkan anggota TUDM dalam misi bantuan kepada mangsa banjir.

Semalam aku berkhayal untuk jadi PM. Aku juga berkhayal sebagai isteri PM. Kedua-dua khayalan itu adalah dalam misi aku sebagai PM dan isteri PM dalam lawatan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Ya, banjir yang sedang melanda beberapa buah negeri.

Melihat gambar diatas itu maka harapan aku tertunai juga. Baik sangka aku juga berbaloi. Aku mengharapkan PM terbang dan turun kepadang melihat sendiri mangsa banjir. Bukan buat tinjauan dari udara. Aku juga mengharapkan Isteri PM juga ikut sama dan turun ke padang.  Alhamdulillah, ianya telah dilakukan seperti yang dikhayalkan.

Itu yang aku jangkakan. Sebab itu kita semua mesti berbaik sangka.

Namun hari ini aku terbaca dalam sebuah blog menyatakan PM hanya membuat tinjauan dari udara saja. Aku membuka mata seluas mungkin sambil mengeluh, wah, kalau begitu ceritanya, aku 'kesian orang-orang itu', BERAT SUNGGUH MATA AKU MEMANDANG akan kesusahan mereka.  Kerana PM dan Isteri hanya membuat tinjauan dari udara saja.

Kemudian aku menutup rapat-rapat kedua-dua mataku itu. Maka tergambarlah dengan jelas akan imej mangsa-mangsa banjir itu. Ada yang terbaring dan berbaring, ada yang duduk dan berdiri, ada yang sedang menghayun buaian anak-anak, berhimpit-himpitan dalam sebuah bangunan yang kecil. BERAT SUNGGUH BAHU MEREKA MEMIKUL. Kerana PM dan Isteri hanya membuat lambaian tangan dari udara saja.

Aku tidak mahu percaya cerita dalam blog itu? Tapi , aku percaya, rasa tanggungjawab adalah satu daripada perkara yang dipegang dan diamalkan oleh bloger itu. Tak mungkin dia berkata begitu kalau bukan sebenarnya begitu.

Tapi laporan NST Online ada menyertakan sama gambar PM dan Isteri disebuah tempat menyelamat mangsa banjir.

Yang mana satu betul?

Aku mesti bersangka baik terhadap kedua-duanya. Itu prinsip yang baik jika aku sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Oleh itu lupakan saja percanggahan maklumat yang aku terima. Nak menyiasatpun akan ambil masa sedangkan aku mahu buat paparan menyambung khayalan aku pada hari ini juga.

Aku mahu berkhayal lagi sebagai PM dan isteri PM. Dan khayalan ku ini adalah berdasarkan dua gambar  diatas.

Dari udara kelihatan air begitu cantik sekali seperti sebuah lautan yang baru wujud. Cuma airnya tidak berwarna biru, sebaliknya seperti air coklat,  mengalir mengelilingi beberapa bangunan tinggi yang bertukar menjadi pulau. Ini adalah satu pemandangan yang amat luar biasa yang perlu aku rakam untuk aku lekatkan didinding ruang tempat aku bercanda.

Aku melambai-lambaikan tangan sebagai membalas lambaian tangan seseorang yang berdiri diatas bumbung, satu dari bangunan yang dikelilingi air itu. Aku percaya orang itu mengenali aku walaupun aku jauh nun melayang diangkasa. "Aku juga", terdengar suara bisikan manja disebelah. 

Ya, siapa yang tidak kenal aku, kata orang, 'melompat saja ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. "Aku juga", sekali lagi suara manja  melintasi dari kiri ke kanan lubang telingaku. 

Aku percaya, orang itu mengenali jet aku, jet yang satu-satunya yang menerbangkan aku kesana kesini. "Jet aku jaga. Aku pun terbang merata-rata dengan jet itu".
 
Aku tersedar dari khayalan. Ini misi PM dan isteri PM. Misi PM dan isteri PM  ialah misi membantu orang yang dilanda banjir, bukan merakam gambar untuk menyedapkan mata memandang. 

Lambaian tadi adalah lambaian seseorang yang  meminta tolong untuk diselamatkan. Aku perlu turun ke bawah segera. Aku juga ikut sama.

Mendarat.

Aku diberitahu oleh pasukan penyelamat bahawa beberapa orang penyelamat telah pergi untuk menyelamatkan seseorang yang melambai-lambaikan tangan tadi. Dan maklum mereka lagi bahawa semua mangsa telah ditempatkan dibangunan yang selamat. 

Aku dipersilakan untuk kesana. Aku juga.

Aku mengharungi air yang mencecah pinggang untuk menuju ke kawasan penempatan mangsa-mangsa banjir itu. Diatas bahu telah terbeban beras yang beratnya 20 kilogram. Termengah juga nafasku dik berat bebananku itu. Maklumlah, ini kali pertama aku mengharungi banjir sambil memikul beras.

Ahli-ahli pasukan menyelamat memikul 2 kampet beras, dikiri dan kanan bahu,  yang setiap satunya sama berat dengan beras yang ada dibahu kananku. Seorang darinya merayu untuk mengambil bebanku. Aku tidak benarkan, malulah aku.

"Not for ladies". Aku bersetuju.

Aku perlu bersegera kerana kehadiran ku boleh merekah sedikit bibir mereka untuk tersenyum. 

Aku terus meredah air walaupun ada masanya aku hampir dihanyutkan oleh arus yang deras. Tapi aku tidak perlu risau, dikiri kanan, hadapan dan belakang ku telah sedia berbaris pasukan penyelamat sekiranya aku kecundang dik arus air.

Sedikitpun aku tidak gentar untuk mengharungi air itu. Demi orang dalam kesusahan, nyawa bukan satu perhitungan. Sebab itu aku boleh berada disini. Aku juga bersamamu. 

Mereka menyayangi aku. Berebut-rebut menghulurkan tangan untuk bersalam, menciumi tanganku. Ada yang tidak dapat menahan rasa gembira sehingga memeluk cium, mendakap dengan penuh harapan. Aku sangat terharu diatas sambutan kasih sayang mereka. Aku wajib memenuhi harapan mereka.

Aku juga mahu bersama.

Sebelum aku berkata sesuatu, aku menghampiri sebuah buaian yang sedang diayun oleh seorang ibu muda. Aku mengayun buaian itu sambil menghagah anak yang sentiasa tersenyum gembira. Anak itu tidak kenal siapa aku.

Aku sebagai ibu yang mendapat gelar ibu pertama negara wajar mengambil alih tugas hayunan buaian anak itu, bahkan aku perlu kendung anak itu. Tidak wajar rasanya lelaki mengatasi wanita, seorang ibu yang sentiasa menganggap anak-anak itu adalah permata hati. 

Setelah lenguh tangan menghayun buaian, aku kendung anak itu. Sungguh sedih sekali. Hanya kain nipis yang membungkusi anak itu. 

"Mengapalah tidak dipakaikan pampers. Baju tak pakai. Seluar tak pakai. Naya anak ini kesejukan". Tergenang air mata dikelopak mataku.

"Aduiii apa ni", aku terasa air panas membasahi tapak tanganku. Aku tidak biasa dengan bau air itu.

Aku wajib memenuhi harapan mereka. Aku perlu tolong mereka yang susah ini. Kalau bukan aku siapa lagi.

Aku juga begitu.

"Tadi saya telah bawa beras. Bantuan yang lain seperti wang tunai akan segera diberikan. Ubatan juga disediakan secukupnya. Kain selimut, seluar, baju dan keperluan pakaian anak-anak juga kita akan beri segera. Saya harap tuan-tuan jagalah kesihatan, elakkan diri dari makanan dan minuman yang tercemar. Saya telah meminta agar makanan dan minuman yang bersih disediakan secukupnya".

Aku mendapat tepukan gemuruh seperti semasa aku berucap dalam perhimpunan. Berebut-rebut yang datang mencium, memeluk dan mendakap aku kerana terlalu gembira. Terlupa agaknya mereka akan banjir yang menyebabkan mereka ada disini, dan yang menyebabkan aku ada disini. 

Aku juga ada disini bersamamu.

"Saya akan datang lagi, insyaAllah". Aku melangkah keluar untuk melihat kawasan sekitar. Tapi langkah ku jadi terhenti.

"YAB akan datang untuk majlis penyerahan bantuan dan wang tunai ke. Baguslah begitu".

"Oh tidak. Saya datang untuk sama-sama bergotong royong untuk membersih setiap rumah tuan-tuan akibat banjir. Bantuan dan wang tunai akan diberi segera. Saya tidak suka birokrasi, yang menyusahkan tuan-tuan".

Setelah selesai meninjau persekitaran, aku memberi beberapa arahan yang perlu dilakukan oleh penjawat awam agar bersegera memberi bantuan. Ketepikan birokrasi termasuk Akta Acara Kewangan 1957. Aku Perdana Menteri Malaysia. 

Aku juga. Maaf aku Isteri PM.




 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan