Theflowersellingboy

Khamis, 5 Disember 2013

BANJIR : Kalau AKU Perdana Menteri dan Kalau AKu Isteri Perdana Menteri



Terengganu, Pahang dan Johor dilanda banjir. Ramai yang telah dipindahkan ke kawasan/tempat yang lebih selamat. Syabas dan terima kasih kepada semua pihak termasuk penjawat-penjawat awam yang bekerja bertungkus lumus dalam kerja-kerja pemindahan, menyelamat dan bantuan bekalan makanan dan perubatan.

Negeri kediamanku tidak banjir. Alhamdulillah.

Semasa bertugas dulu, aku telah merasa dan tahu akan susah payah mereka yang dilanda banjir. Tiada kata yang dapat aku ungkapkan untuk menggambarkan kesusahan mereka. Ya, sungguh berat mata aku memandang, berat lagi bahu mereka memikul. 

Kediamanku yang terletak diatas bukit, sudah tentu tidak banjir. 

Malah air dari atas bukit, kawasan kediaman pegawai-pegawai kerajaan, termasuk rumahku juga, mengalir turun ke kawasan-kawasan rendah, dimana terdapat rumah-rumah binaan kampong, rumah awam kos rendah, beberapa blok rumah pangsa dan beberapa taman perumahan rumah teres setingkat.

Air dari atas bukit itu mengalir dengan deras memasuki kawasan rendah , merempoh apa saja termasuk rumah-rumah ditanah rendah itu , bertakung dan berkumpul, tidak tahu ke mana mahu mengalir lagi kerana air dari sungai yang berdekatan juga telah senak berikutan air pasang laut yang mengalir bergerak dari kuala ke hulu.

Hujan berterusan. Tidak ada tanda-tanda mahu reda dan berhenti.

Sebulan sebelum berlaku banjir, telah keluar arahan tidak membenarkan sesiapa pun untuk bercuti.

Aku bertugas. Semua orang bertugas. Peralatan menyelamat terlalu terhad. Oleh itu kami mengharungi air banjir itu untuk melakukan kerja-kerja menyelamat. 

Aku tidak pandai berenang walaupun waktu sekolah dulu aku mengikuti pelajaran berenang. Berenang , dalam kolam renang yang airnya tenang. Sudah tentu tidak cukup baik untuk digunakan dalam kerja-kerja menyelamat mangsa banjir ini.

Sedih , kasihan melihat keadaan rumah mereka. Mereka segera bersama, membawa barang yang mana sempat dibawa, tanpa banyak soal kerana yang penting ialah keselamatan mereka dan anak-anak, mengharungi banjir untuk ke tempat yang lebih selamat.

Tinggallah peti sejuk, tinggallah tv, tinggallah decoder, tinggallah mesin basuh, tinggallah micro wave, tinggallah basikal kecil anakku, tinggallah dapur gas, dan banyak lagi yang tidak rela ditinggalkan, tapi air mata hanya sanggup merenang, menitis sebagai mengucapkan selamat tinggal. 'Tinggallah rumah ku yang sebuah itu', mereka membuat pandangan terakhir sebelum menuruti kami.

Beberapa hari kemudian, air mula surut. Mereka dengan segera balik ke rumah. Mereka  masih memasang harapan yang terbaik.

Hancur luluh harapan mereka. Semua yang ditinggalkan punah, tidak boleh digunakan. 

Rumah penuh dengan selut dan lumpur. Bau busuk. Ada najis diluar dan dalam rumah. Banjir memberikan satu kerja kepada mereka, membersih rumah, melonggokkan barang-barang dan peralatan yang punah untuk dibuang dan membersih kawasan persekitaran.

Aku melawat setiap rumah yang dilanda banjir. Aku tumpang sedih. Tapi tujuan lawatan ialah untuk membuat penilaian akan tahap kerosakan sebelum memberi bantuan kewangan.

Aku dalam keadaan serba salah apabila melihat sendiri tahap kerosakan yang dialami  dan rayuan belas kasihan mereka agar wang bantuan setimpal atau tidak terlalu kecil berbanding dengan tahap kerosakan. 

Sebenarnya tanpa melihat sendiri tahap kerosakan, aku sendiri boleh menilai dari jauh bahawa tahap kerosakan itu melebihi dari bantuan kewangan yang disediakan kerajaan. Oleh itu mendengar rayuan mereka itu, aku rasa sebak. 

Mereka mohon belas ikhsan supaya dapat diberikan bantuan kewangan agar dapat membantu mereka membeli dapur gas, peti sejuk dan mesin basuh. Mereka hendak beli yang murah saja, yang terpakaipun, tidak mengapa.

Aku tidak terdaya untuk menunaikan harapan dan rayuan mereka itu. Siapalah aku. Aku hanya penjawat awam yang menjalankan tugas menurut peraturan dan had kuasa yang ditentukan.

Yang aku boleh buat dan bantu ialah mengeluarkan segera wang bantuan. Laporan penilaian kerosakan dan laporan polis yang mengesahkan rumah mereka dilanda banjir sebagai syarat sebelum bantuan dikeluarkan, iatu bayaran tunai RM3,500.00, aku ketepikan.

Mengapa perlu menyusahkan mereka dengan laporan polis sedangkan harta benda mereka sudah punah. Itu rasionalnya aku mengenepikan laporan polis. 

Tapi laporan penilaian kerosakan aku perlu sediakan juga. Tapi bukan bertujuan untuk melambatkan bayaran. Ia hanya satu rekod yang mengesahkan wang yang dikeluarkan itu sebenarnya telah digunakan untuk membantu mangsa banjir.

Kalau tidak bersedialah aku untuk berhadapan dengan audit. Mana pergi duit bantuan banjir?

Dalam semangat untuk memberi bantuan segera, ada juga keadaan yang boleh melambatkan bantuan.

Pihak politik mencadangkan supaya diadakan majlis memberi bantuan. Maknanya, di tetapkan pada hari-hari tertentu dengan mengumpulkan mangsa-mangsa berkenaan untuk diberikan bantuan. Terpaksalah mangsa itu bercuti untukhadir dalam majlis bantuan banjir.

Dalam majlis berkenaan, pimpinan politik akan menyampaikan bantuan. Bantuan secara tunai.

Hari ini aku dapat perkhabaran PM akan membuat lawatan ke kawasan banjir itu. Syabas diatas keperhatinan PM itu. Dan ianya terlalu banyak membantu . Mangsa-mangsa banjir akan sedikit sebanyak terubat perasaan susah dan derita mereka.

Bila PM turun padang banyak perkara boleh selesai. Misalnya membuatkan keputusan diluar dan mengatasi peraturan yang ada dari segi jenis dan bentuk bantuan, jumlah bantuan, dan kesegeraan bantuan.

Aku percaya PM akan menerima berbagai-berbagai rayuan. Dan sebahagian rayuan itu tidak mampu dan bukan dibawah bidangkuasa penjawat awam.  PM boleh dan berkuasa melakukannya.

Bila PM turun, yang lain-lain akan turun juga.

Namun aku harap PM turun padang bersama isteri. Tunjukkanlah bahawa ketika rakyat perlukan bantuan, PM dan isteri ada bersama disisi mereka . Isteri PM sanggup terbang dan turun mengharungi air melepasi pinggang semata-mata untuk bertemu rakyat yang ditimpa malang itu.

Jadi bukan saja terbang ke Paris atau bandar-bandar besar yang lain, tapi terbang untuk turun mengharungi air, membantu orang susah.

Cuma harapan rakyat agar PM dan isteri tidak hanya melakukan penerbangan dan membuat tinjauan dari udara saja tanpa turun mengharungi banjir.

Aku percaya PM tidak sampai hati berbuat demikian.

Tapi kalau aku jadi PM dan kalau aku isteri PM, maka pada ketika inilah aku mahu tunjuk bahawa rakyat didahulukan, rakyat dihati kami berdua.



 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan