Theflowersellingboy

Ahad, 29 Disember 2013

Berbagai Persoalan Tentang Kenaikan Harga



Kenapa harga naik, ada pihak yang suka memberi nasihat atau mengingatkan orang berpendapatan rendah agar bekerja lebih keras untuk dapat wang tambahan, berjimat cermat jangan membeli barang mewah, menerima kenaikan harga itu sebagai ketentuan takdir, kenaikan harga sebagai satu fitrah kerana tiada negara yang tidak mengalami kenaikan harga.

Adakah disebabkan orang susah berpendapatan kecil itu saja yang tidak suka harga naik? Adakah orang berpendapatan kecil saja yang amat terbeban dan hanya tahu merungut dengan kenaikan harga tanpa mahu berusaha lebih? Adakah orang berpendapatan kecil itu suka membeli keperluan yang mewah dan boros berbelanja kalau harga tidak naik? Adakah orang berpendapatan kecil itu malas, tidak mahu bekerja keras? Adakahorang susah berpendapatan kecil tidak tahu bersyukur kerana tidak tenang dalam menghadapi kenaiakan harga?

                                             Atau

Adakah orang yang berpendapatan besar itu tidak terkesan dengan kenaikan harga? Adakah orang berpendapatan tinggi saja yang tahu bersyukur dan sanggup menghadapi kenaikan harga dengan tenang? 

                                             Dan

Kenapa tidak banyak pihak termasuk perdana menteri, menteri, professsor, ahli akademik, NGO , pakar dalam berbagai bidang tidak mahu mencari sebab mengapa harga itu naik? Kenapa ada menteri mengatakan tidak ada kenaikan harga sedangkan harga barang itu memang naik yang membuatkan kuasa beli telah menurun? Kenapa ada juga menteri yang kata rakyat sokong kenaikan harga atas dasar tiada aduan dari rakyat? Mengapakah gerakan rakyat meminta harga turun tidak ditafsirkan sebagai aduan rakyat yang tidak menyokong kenaikan harga? Mengapa pula perkataan turun harga itu telah disamakan dengan guling kerajaan? Mengapa pula ada pihak yang menyatakan bukan salah kerajaan dengan kenaikan harga? Tapi mengapa pula kerajaan mahu mengambil tindakan keatas rakyat yang meminta harga diturunkan, jika kerajaan tiada kena mengena dengan kenaikan harga?

Itulah diantara banyak persoalan berkaitan dengan kenaikan harga. Walaupun persoalan-persoalan itu berbagai-bagai, tapi semua orang tidak suka kenaikan harga, jika:

i) kuasa beli menjadi kurang

ii) mengeluarkan wang poket sendiri

iii) hidup terlalu tertekan.

Orang berpendapatan tinggi termasuk perdana menteri, menteri, professor dan pakar-pakar dalam berbagai bidang serta ketua-ketua NGO juga akan menerima kesan kuasa beli menjadi kurang.

Tapi bagi perdana menteri dan menteri, kereta negara belikan. Penyenggaraan kereta termasuk beli minyak, negara bayar. Rumah , negara sediakan atau negara yang bayar sewa. Air api, negara yang bayar. Bayaran tol, boleh tuntut negara bayar. Minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam, negara yang tanggung dalam setiap kali menguruskan tugas rasmi seperti mesyuarat dan mealakukan lawatan. Hotel pun negara yang bayar.

Jadi perdana menteri dan menteri tidak mengeluarkan dari poket sendiri. Sebab itu mereka tenang dalam menghadapi kenaikan harga dan sentiasa meminta orang pandai bersyukur.

Bagi selain dari perdana menteri dan menteri, mereka yang berpendapatan tinggi juga mempunyai berbagai keistimewaan. Antaranya mendapat berbagai elaun, dan  peluang yang luas dan terbuka untuk mendapat tambahan pendapatan. 
 
Orang-orang seperti ini juga boleh tenang dalam menghadapi kenaikan harga dan sudah tentu mudah untuk kata bersyukur dengan rezeki yang diterima.

Jadi orang miskin dan berpendapatan rendah saja yang terjejas kuasa beli, yang terpaksa keluar duit dari poket sendiri, dan hidup sentiasa tertekan dari dulu sehingga kini, dan besar kemungkinan selama-lamanya jika kerajaan atau mana-mana pihak mengatakan antara lain kerajaan tidak bertanggungjawab denagn kenaikan harga dan kenaikan harga ini perkara biasa maka dengan itu kita hendaklah hadapi dengan tenang, jangan boros, tambah kerja dan jangan malas. Bersyukurlah dengan rezeki yang ada.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan