Theflowersellingboy

Khamis, 19 Disember 2013

Muflis: Antara Individu dan Negara, Apa Bezanya.




Menjawab satu soalan di Parlimen, PM menyatakan bahawa 68,299 dari jumlah 129,640 (52.68%) orang yang telah diistiharkan muflis adalah terdiri dari mereka yang berusia 45 tahun kebawah dalam tempoh tahun 2005 hingga tahun 2012. 

PM amat bimbang kedudukan seperti ini. Banyak kesan buruk pada diri  belia itu sendiri, masyarakat dan negara. Yang jelas , tenaga produktif bagi perkembangan ekonomi negara terbazir begitu saja. Belia yang muflis tidak akan dapat memberi sumbangan kepada kemajuan negara. 

Oleh sebab itu, dilaporkan bahawa dari Januari 2012 sehingga Oktober 2013, Jabatan Insolvensi Malaysia telah melaksanakan  lebih 120 program bagi mendidik golongan belia dari terjerumus menjadi muflis.

Apakah yang menyebabkan mereka jadi muflis?

Ada kajian dibuat bahawa antara sebab-sebab muflis ialah:
i) Kurang pengetahuan tentang pengurusan kewangan,
ii) Banyak berhutang misalnya hutang kereta, rumah dan kad kredit,
iii) Perbelanjaan yang tidak terkawal.

Kajian itu juga berpendapat bahawa jika 30% gaji digunakan bagi membayar hutang, orang itu menghadapi masalah kewangan. Ertinya kalau gaji satu ribu, tiga ratus untuk membayar hutang, orang itu menghadapi masalah kewangan. Orang ini adalah bakal jadi muflis, jika baki yang ada tidak diurus dengan baik.

Itulah antara sebab-sebab seseorang itu menjadi bengkerap. Kesannya, memusnahkan diri sendiri, menjadi beban kepada masyarakat, dan tidak memberi menfaat kepada negara. 

Jadi orang yang cenderung untuk melakukan hutang dan  berbelanja tanpa kawalan perlu sentiasa diingat akan bahaya tabiat itu pada diri sendiri, masyarakat dan negara. Pengetahuan dan amalan menguruskan kewangan dengan baik hendaklah diterapkan kepada mereka. Dan sampaikan juga maklumat mengenai kesan dan akibat yang ditanggung apabila seseorang itu jadi muflis. 

Maknanya, kita timbulkan kesedaran kepada semua orang, bukan saja belia, bahkan semua orang, bahawa tanpa mengamalkan pengurusan kewangan yang baik dan berkhemah, seseorang itu akan jatuh bengkerap, walaupun sekaya mana asalnya seseorang itu.

Mengapa jadi muflis? 

Kita berbelanja lebih dari yang kita ada. Belanja melebihi kemampuan. Kita berbelanja tanpa mengaturkan keutamaan. Semua kita hendak. Kita melakukan perbelanjaan yang membazir, yang tidak perlu dan utama. Kita boros dalam berbelanja. Belanja secara tidak berkhemah. Sebab itu wang kita tidak cukup. Tapi nafsu berbelanja tidak pernah disekat.

Maka dengan sebab itu kita perlu meminjam dari sumber lain, misalnya dari kawan, dari along dan dari mana-mana saja sumber, atau melakukan perbelanjaan secara berhutang dengan menggunakan kad kredit misalnya, yang akhirnya menjerat diri kita. Kita tidak mampu bayar, akhirnya jadi seorang yang bengkerap. Paling malang kita jadi muflis pada usia yang muda.

Jadi kita mesti elak dari menjadi muflis.

Seseorang individu yang bengkerap kesannya memang buruk. Dan Sesebuah negara jatuh bengkerap, kesannya lagi lebih buruk kerana ia melibatkan kehidupan seluruh rakyat.

Itulah yang menjadi kebimbangan semua rakyat, termasuk PM sendiri.

Dengan itu kita wajar mengelakkan negara Malaysia dari jatuh bengkerap.

Tapi bagaimana caranya? Caranya antara lain:

i) negara tidak wajar berbelanja melebihi pendapatan; 
ii) tidak melakukan pinjaman terlalu banyak sehingga beban membayar hutang terlalu tinggi; 
iii) berbelanja secara berkhemah, tidak boros dan membazir;  
iv) tidak melakukan jenayah kewangan seperti rasuah.

Dalam kata lain, Malaysia mesti diurustadbir oleh orang dan kumpulan orang yang beramanah yang mengambil  tanggungjawab serta yang berpengetahuan dan mengamalkan pengetahuan yang dimiliki bagi mengurus bidang-bidang terbabit.

Negara kita kaya. Kita kaya dengan sumber alam. Kita kaya dengan kepelbagaian bangsa, budaya dan agama. Jika kita mempunyai pengurustadbir yang disebutkan seperti diatas, cita-cita kita untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera akan tercapai, insyaAllah.

Tapi jika sebaliknya, kekayaan itu  disalahurus atau tidak diurus dengan baik, negara kita juga akan terjerumus menjadi negara miskin, tidak aman dan bengkerap/muflis.

Bagaimana dengan kedudukan Malaysia ketika ini? Kedudukan Malaysia adalah seperti berikut:

 i) Perbelanjaan  mengatasi pendapatan secara berturut-turut bagi tempoh tahun 2004 sehingga 2013   (bajet defisit);
ii) Hutang negara telah meningkat kepada lebih 529.6 billion ringgit atau 53.6% dari KDNK, hampir mencecah had yang dibenarkan oleh undang-undang negara. Ertinya kita sudah sampai tahap air ke paras hidung, hampir lemas.
iii) Malaysia pada kedudukan ketiga dari persepsi amalan rasuah, menurut satu kajiselidik oleh Asia-Pacific Survey Report Series 2013.
iv) Pengaliran wang haram keluar dari Malaysia pada tahun 2010 ialah RM196.8 billion, meletakkan Malaysia yang kedua tertinggi di dunia, menurut Global Financial Integrity.
v) Laporan Ketua Audit melaporkan berbagai kelemahan dalam pengurusan kewangan kerajaan seperti dalam projek NFC yang berjumlah 250 juta.


Sesungguhnya 4 perkara diatas menunjukkan isyarat yang jelas bahawa pengurusan kewangan kerajaan yang ada adalah tidak sihat yang boleh membawa negara ke arah muflis atau bengkerap.

Bengkerap bermakna Malaysia tiada lagi sumber kewangan. Jadi bagaimana untuk menguruskan negara demi kesejahteraan rakyat.

Berbeza dengan individu yang bengkerap, yang terkapai-kapai dan tidak akan mampu untuk mendapat sumber kewangan bagi membiayai kehidupan seterusnya, sesebuah negara boleh mendapatkan sumber kewangan secara paksa dari rakyatnya melalui kuatkuasa undang-undang dengan cara: 

i) mengenakan cukai baru misalnya GST; 
ii) menyusun semula cukai sedia ada dengan tujuan untuk mendapat hasil tambahan seperti cukai keuntungan hartanah (RPGT), 
iii) menaikkan caj atau tarif bagi sesuatu perkhidmatan misalnya tarif eletrik, 
iv) mengurangkan atau memotong subsidi seperti subsidi gula dan minyak, 
v) bersetuju menaikkan kadar tol yang diminta oleh pemegang konsessi seperti yang dipersetujui dalam perjanjian bagi mengelakkan bayaran pampasan kepada pemegang konsessi, 
vi) dan bersetuju menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi membolehkan kerajaan memperolehi hasil yang bertambah terutama apabila GST dilaksanakan.   

Kerajaan gagal menguruskan kewangan negara dengan baik, boros berbelanja, membazir dan salah laku dalam perbelanjaan sehingga terpaksa berhutang dengan begitu banyak. 

Apabila tiada lagi sumber maka rakyatlah menjadi sasaran bagi kerajaan mendapatkan hasil untuk terus berkuasa mentadbirkan negara, dan bagi mengelakkan negara jatuh bengkerap.

Jadi kebimbangan PM tentang muflis itu adalah benar, bukan satu hayalan atau cerita yang dibuat-buat atau cerita dongeng. Cuma PM tidak pula bimbang dengan cara wang negara itu diurus sehingga menyebabkan berlakunya hutang negara yang tinggi yang membolehkan negara jatuh bengkerap/muflis.

Mengapa PM tidak bimbang? Sebab PM boleh mendapatkan wang atau hasil dari rakyat dengan cara-cara yang disebutkan diatas. 

Siapa yang susah, dan beban siapa yang bertambah?

Rakyat juga yang susah. Rakyat juga yang menanggung beban yang semakin bertambah.

Adakah rakyat marah?

Sudah tentu rakyat marah sebab hidup bertambah susah dalam sebuah negara yang kaya raya.

Benar ke begitu? Benar ke rakyat marah? 

Sudah lebih 56 tahun negara merdeka, rakyat masih juga susah, tapi masih lagi memilih UMNO/BN menguruskan wang negara. Maknanya rakyat rela dengan cara kerajaan menyusahkan rakyat.

Jadi tidak perlu marah-marah dengan cukai GST, kenaikan tarif elektrik, kenaikan harga gula, minyak , tambang LRT, tol dan macam-macam lagi. Sebab, rakyat yang memilih kerajaan yang sama semenjak merdeka sehingga kini, mungkin selama-lamanya. Rasalah kepahitan hidup pilihan rakyat sendiri.

Kalau marah, betul-betul marah tidak perlu demonstrasi. Kita semua sepakat tolak UMNO/BN dalam pilihanraya akan datang.      





Tiada ulasan:

Catat Ulasan