Theflowersellingboy

Sabtu, 14 Disember 2013

Legasi Penjajah British: Pening Lalat Bertukar Kepada Pening Gajah




Ada seorang kawan yang gatal mulut tanya: 

Apakah legasi yang ditinggalkan oleh penjajah British. Siapakah yang mengamalkannya di negara ini.

Pening lalat juga nak menjawab. Sebab, aku bukan ahli sejarah. Nak baca buku sejarah tentang kedatangan Britisah ke Tanah Melayu pun , sudah menjadi malas. Tambah-tambah lagi ada orang kata, sejarah ini adalah cerita yang ditulis oleh orang/pihak yang menang. Sudah tentu orang/pihak yang menang itu menulis segala yang baik mengenai mereka. Yang buruk, jahat dan tidak patriotik adalah lawan mereka.

Logik juga pemikiran orang yang berkata demikian. Jika begitu makanya cerita yang ditulis oleh yang menang itu adalah hanya sebuah lagenda yang mewar-warkan kehebatan mereka.

Tapi, legenda atau dongengan, aku mesti menjawab soalan kawan tadi. Itulah yang membuat aku pening-pening lalat.

Akhirnya ilham datang, tak semena-mena bertali arus memasuki dalam otak kepala. Dia nya bermula apabila teringat semasa bermastautin di England suatu ketika dulu.

Jalan raya atau lebuh raya di England hebat-hebat. Ada 6 lorong bagi satu arah misalnya jalan dari Birmingham ke kota London, ikut M1. Bukan main laju kenderaan di pandu untuk menjemput seorang kawan di Heathrow, yang baru tiba, untuk melanjutkan pelajaran. Best, tak ada jem.

Dalam hati teringat, macam mana orang putih ni boleh buat jalan selebar dan secantik ini. Tak ada tol pulak. Kalau di Malaysia perjalanan sejauh itu (kalau tak silap Birmingham ke London lebih dari  200 km) sudah tentu banyak tol yang kena bayar. Kopak poket dibuatnya.

Mana orang putih ini ambil wang?

Wang dari bijih timah, balak  dan getah kitalah. Habis disapunya, baru lepaskan Tanah Melayu.

Aku tersenyum dengan jawapan dalam hati itu.
Datang pula bayangan seorang tua dalam otak kepala. 

Menurut orang tua yang aku kenal yang bekerja sebagai special constable (SC) pada zaman penjajah dulu, kerja dia dan kawan-kawannya ialah untuk mempertahankan ladang getah tuannya iaitu seorang orang putih, dari kacau ganggu kominis. Kata orang putih itu kominis ini jahat, mesti lawan sampai mati. 

Maka dia dan kawan-kawannya pun lawanlah kominis. Semasa bertempur, dia hanya cedera dan kakinya terpaksa dipotong. Lima orang kawannya mati.
"Mati katak", cerita orang tua itu.

 Aku tahu maksudnya, tapi tidak bertanya lanjut akan tahap mati katak itu. Yang pasti dia terlalu marah dan menyesal kerana dia tahu bahawa sebenarnya dia mempertahankan kepentingan orang putih itu saja, bukan kepentingan negara.

Sekali lagi aku tersenyum. Aku tidak pening lalat lagi. Aku sudah tahu dua legasi yang ditinggalkan oleh penjajah.

Pertama  menggunakan kekayaan negara Malaysia untuk faedah diri dan negaranya dengan mengaut kekayaan sumber alam Malaysia seperti bijih timah, balak dan getah.

Kedua menakut-nakutkan penduduk Tanah Melayu khususnya orang Melayu tentang kominis. Kominis mesti dilawan sampai mati walaupun yang mengaut harta kekayaan ialah penjajah British.
  
Aku tidak lupa bila orang tua bekas SC itu kata bahawa penjajah atau tuan majikannya (pemilik estet getah) tempat dia bekerja itu sangat baik kerana tidak pernah mengganggu dia untuk menunaikan solat termasuk solat Jumaat. Dia dan kawan-kawannya bebas merayakan berbagai perayaan dan melakukan berbagai perkara yang khurafat seperti mempercayai keramat. Agama dan budaya Melayu selamat, tidak pernah diganggu oleh penjajah British.

Ceritanya lagi, sebahagian besar pekerja ladang estet dan lombong bijih timah diambil dari luar, dari India dan negeri China. Sebab katanya penjajah lebih yakin kepada orang luar ini untuk melakukan kerja yang memerlukan pengeluaran yang besar-besar, tidak seperti orang Melayu yang suka bekerja secara gotong royong disawah padi dan kebun-kebun getah yang kecil. Pengeluaran hasil yang besar-besar dan penggunaan tenaga yang dibayar upah adalah satu fenomina baru bagi orang Melayu.

Orang-orang asing itu ditempatkan berasingan dari orang Melayu. Orang India di ladang getah dan orang cina dikongsi-kongsi lombong bijih timah. Selain dari itu dibawa bersama kaum cina dan india yang terlibat dalam perniagaan.

Sekali lagi aku tersenyum. Pandai betul penjajah ini. Sengaja dibawa orang asing. Dengan itu semangat keterasingan itu dapat dikekalkan. 

Ini satu lagi legasi yang ditinggalkan oleh penjajah yang diperpanjangkan ketika ini. Sebab itu kita mempunyai bilangan pekerja asing yang banyak.

Walaupun pekerja asing itu telah lama bekerja tapi mereka tetap bukan warga negara selagi British berada di Tanah Melayu. Tapi bila British keluar baru warga asing ini mesti dijadikan   warga negara Tanah Melayu sebagai satu syarat untuk Tanah Melayu merdeka.

Jadi sekarang dapat juga aku menjawab pertanyaan kawan tadi tentang legasi penjajah yang ditinggalkan. Aku cuma dapat memberi 5 legasi saja iaitu,

i) Mengaut kekayaan sumber ekonomi untuk kepentingan diri,
ii) Menimbulkan perasan takut dan tidak selamat kepada orang Melayu agar mereka sentiasa patuh membabi buta,
iii) Menggunakan terlalu banyak tenaga warga asing.
iv) Tidak mencampuri hal agama dan budaya orang Melayu
 v) Pecah dan perintah dengan mengadakan penempatan dan jenis pekerjaan yang berbeza antara orang tempatan dan pekerja warga asing.

Itulah legasi yang dapat aku fikirkan berdasarkan pemerhatian aku di England dan dari cerita bekas SC yang telah lama meninggal dunia. Aku percaya apa yang diberitahu adalah benar belaka, boleh dipercayai berbanding dengan sebahagian yang ditulis dalam buku sejarah dan yang telah diajar disekolah.

Penjajah British datang ke Malaysia hanya untuk mengaut sumber kekayaan negara, bukan mencampuri urusan negeri-negeri di Malaysia demi menjaga keselamatan negeri-negeri berkenaan. Yang penting dapat menguasai sumber ekonomi. Sebab itu British tidak mahu mencampuri hal-hal berkaitan agama Islam dan budaya orang Melayu.

Pening lalat aku datang semula apabila memikirkan apa jawapan kepada soalan kedua: Siapakah yang mengamalkan legasi yang ditinggalkan oleh penjajah British itu, yang antaranya mengaut kekayaan negara dan suka menimbulkan perasaan takut dan tidak selamat khususnya kepada orang Melayu demi mengekalkan kuasa.

Siapa kah gerangan mereka itu? Pening lalat aku semakin meningkat kepada pening gajah. Tapi aku tak mampu naik minyak seperti gajah.


  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan