Theflowersellingboy

Selasa, 17 Disember 2013

HARGA NAIK: Berfikirlah Secara Rasional




Harga barang dan perkhidmatan meningkat naik. Itu yang selalu dihebuh-hebuhkan oleh banyak pihak. 

Tapi benarkah begitu? 

Untuk menjawab soalan semudah itu kita mestilah bersikap rasional. Mesti ada kewarasan dalam berfikir. 

Kalau kita gunakan emosi apatah lagi emosi yang melampau, kita sememangnya mudah terpengaruh dengan kata-kata pihak yang tidak mahu berfikir secara rasional. Kita cepat percaya bahawa sememangnya harga meningkat naik.

Dengan berfikiran secara rasional, secara menggunakan akal yang waras, kita akan dapati bahawa kenyataan tentang kenaikan harga itu mudah saja kita ketepikan. Ianya berbentuk spekulatif saja oleh pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan, khususnya parti pembangkang.

Tidak mungkin kerajaan BN yang prihatin dengan kesusahan rakyat, yang memahami denyut nadi rakyat, sampai hati untuk membiarkan harga barang dan perkhidmatan naik. Apa faedah politik yang akan diperolehi oleh BN dengan kenaikan harga itu? Sudah tentu negatif. Tidak mungkin ini yang dikehendaki oleh BN.

Dalam PRU 13 yang lepas rakyat telah memenangkan BN dengan memberi kerusi melebihi PR bagi membolehkan BN membentuk kerajaan. Sokongan rakyat itu adalah kerana BN telah membuat aku janji semasa kempen PRU bahawa sekali-kali BN tidak akan menyusahkan rakyat.  Tidak rasional BN akan menaikkan harga. Ini satu tindakan yang menyusahkan rakyat.

Ini mungkir janji namanya. BN tidak sedikitpun mempunyai niat untuk mungkir janji . Ianya telah terbukti semenjak merdeka sehingga sekarang ini. Mana mungkin rakyat memilih BN sebanyak 13 kali pilihanrya jika BN tidak menepati janji, tidak amanah diatas janji yang telah dibuat.

Setelah rakyat berbudi, BN tahu membalas budi rakyat itu. Sudah tentu kesenangan, keselesaan dan kesejahteraan rakyat yang menjadi keutamaan BN. 

Mengapa tidak nampak akan sifat murah hati BN memberikan bantuan dalam bentuk tunai kepada rakyat.

Selain dari kenaikan harga ini sebagai spekulatif, sebenarnya rakyat telah banyak dikelirukan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan usaha-usaha kerajaan bagi mengukuhkan ekonomi negara.  Sebab mereka tidak berfikir secara rasioanl. Tidak ada kewarasan dalam berfikir.

Satu contoh yang jelas ialah langkah kerajaan dalam merasionalisasikan subsidi. Walaupun mereka itu tahu bahawa subsidi adalah penghalang kepada sifat daya saing dalam sesebuah ekonomi, dan ianya tidak baik, tapi mereka mengelirukan rakyat dengan mengatakan pemotongan subsidi yang dilakukan kerajaan bertujuan untuk menaikkan harga bagi barang yang disubsidikan, misalnya gula.

Kenaikan harga gula tidak ada kena mengena langsung dengan pemotongan subsidi gula. Harga gula adalah ditetapkan oleh kuasa pasaran atau market forces, iaitu faktor permintaan dan penawaran gula dalam pasaran. Ini adalah perkara asas dalam pengurusan ekonomi. Takkan perkara asas seperti ini tidak diketahui oleh pembangkang. Macam mana nak berangan-angan untuk mentadbir negara.

Berfikirlah secara waras wahai pembangkang.

Begitu juga dengan harga minyak. Tiada langsung kena mengena dengan pemotongan subsidi minyak.

Sebenarnya pembangkang ini tidak mahu meningkatkan daya saing negara dalam pentas dunia yang sengit bersaing. Mungkin tujuannya untuk menghancurkan kedudukan ekonomi negara, dan dengan itu membuatkan rakyat hidup susah, lantas marah terhadap kerajaan BN, lalu tidak akan memilihnya pada pilihanraya akan datang.

Jika kita berfikir secara rasional maka segala tindakan kerajaan itu kita dapati satu tindakan yang rasional. Adalah tidak rasional untuk mengatakan tindakan kerajaan bertujuan untuk menyusahkan rakyat. Hanya kerajaan yang gila saja akan berbuat demikian.

Apabila sesuatu harga barang dan perkhidmatan itu dikatakan melebihi dari harga sebelumnya, ianya tidak bermakna ianya satu kenaikan harga. Fenomina ini adalah fenomina biasa dan sesuatu yang logik akan berlaku dalam perjalanan menuju ke hadapan. Tidak mungkin kita boleh kembali ke masa yang telah lepas dimana misalnya harga satu bungkus nasi lemak hanya lima sen saja. Sekarang harga itu tidak boleh bertahan, sudah menjadi satu ringgit.

Mengapa logik seperti ini tidak boleh dilihat?

Lagipun berbagai pilihan kita boleh buat. Kalau nasi lemak mahal, kita  boleh makan tose yang tidak menggunakan santan kelapa. Bagus untukkesihatan badan, mengelak dari kolestoralyang tidak baik kepada jantung kita.

Begitu juga dengan harga ayam. Kita ada pilihan untuk makan selain dari ayam. Lagipun bekalan ayam dipasaran sebahagian besarnya adalah ayam injek. Tidak baik untuk kesihatan. Sebab itu kita banyak menghadapi masalah kesihatan. Oleh itu kita makan selain ayam misalnya ikan. Ikan yang kita nak makanpun kita boleh buat pilihan. Kita pilih ikan air tawar berbanding ikan laut yang kita kata mahal.

Semua ini kita dapat lakukan jika kita mahu berfikir secara waras.

Sekarang hebuh tentang spekulasi harga tol akan naik. Maka hebuh dan marahlah penentang kenaikan harga tol yang dispekulasi akan naik itu. Mengapa mereka ini tidak gunakan otak untuk berfikir mencari gantian kepada lebuhraya bertol untuk perjalanan mereka.

Kerajaan adalah rasional. Kerajaan tidak memaksa pilihan sesorang dalam melakukan perjalanan. Misalnya jika mahu ke KL dari Melaka, gunakan jalan yang tidak bertol yang dulunya kita telah gunakan sebelum ada lebuh raya bertol. Sampai juga ke KL. Bahkan lebih selamat kerana kita tidak akan bawa kenderaan dengan laju. Lagipun melatih kita untuk bersifat sabar.

TNB perlukan modal untuk membuat pelaburan bagi menguruskan penjanaan elektrik dengan lebih cekap untuk kesengan rakyat. Syarikat itu hanya perlukan tambahan sebanyak hanya tidak lebih 5 sen bagi satu kilowatt arus letrik yang digunakan. Ianya celah gigi saja, jika kita mahu berfikir secara rasional.

Kita masih lagi ada pilihan dalam hal berkaitan dengan penggunaan tenaga letrik ini. Kita boleh pakai pelita, lampu gasolin, atau paling baik unggun api. Bukankah itu yang kita gunakan semasa membesar dulu. Sekarang mengapa kita perlu mengada-ngada.

Oleh hal yang demikian, jangan kita terlalu pantas mengatakan BN tidak prihatin kepada rakyat jelata. Bertenang dan bersabar. Dengan cara itu, otak kita tidak mudah diracuni oleh pihak yang suka melihat rakyat mengadakan tentangan terhadap segala usaha kerajaan yang baik. Berfikir secara waras seperti yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan BN.

Percayalah, BN tidak pernah mungkir janji. Percayalah bahawa rakyat sentiasa ada dihati BN. Percayalah bahawa BN sentiasa mengenang budi rakyat. Percayalah bahawa sebenarnya tidak ada kenaikan harga. Harga yang berbeza berbanding yang telah lepas adalah satu fitrah, suatu fenomina yang tidak akan dapat sesiapa tahan. Ianya satu takdir, jika kita percaya kepada RUKUN IMAN.

Jadi mereka yang berkata berlaku kenaikan harga adalah sebenarnya tidak menggunakan otak dengan cara yang betul dan waras. 

Maka kita yang berfikiran waras ini wajar menyokong apa saja tindakan kerajaan BN kerana asas tindakan Kerajaan BN adalah atas kewarasan otak pemimpin-pemimpinnya dalam menguruskan negara. Dengan itu GST yang akan muncul pada 2015 nanti adalah juga mengambil jalan fikir yang rasioanl dan waras. Sudah tentu DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT. Maka berilah ucapan alu-aluan kepada GST: Berbagialah kita bersama GST. 

Itulah cara berfikir yang kita dan BN kehendaki. 


 



  

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan