Theflowersellingboy

Rabu, 11 Disember 2013

Cara Terbaik Untuk Menyingkirkan Kedudukan Pesaing Politik Dalam Parti Orang Melayu




Menteri dalam negeri dakwa pemimpin no.2 PAS adalah Syiah. Katanya beliau ada bukti, seperti yang dilaporkan banyak media. Cuma menteri itu kata dia tak sebut nama orang no.2 PAS itu. Dia juga tidak juga memberi tahu siapa orang no. PAS yang dimaksudkan.
 
Mat Sabu dan PAS telah memberi reaksi walaupun menteri itu tidak menyebut nama batang tubuh orang PAS no. 2 itu. 
 
Pada fahaman Mat Sabu dan PAS serta fahaman orang yang berfikiran waras, walaupun  menteri itu tak sebut nama Mat Sabu,  orang no .2 PAS itu adalah Mat Sabu. Beliau adalah Timbalan Presiden PAS yang baru dipilih lagi sekali, kedudukan no 2, selepas presiden iaitu Tuan Guru Hadi Awang, dalam hiraki parti politik PAS.
 
Dalam menyatakan beliau tidak menyebut nama Mat Sabu, beliau juga tidak menafikan beliau tidak pernah mengatakan orang no.2 PAS adalah syiah. Maknanya beliau masih lagi berpegang kepada dakwaannya.

Siapa orang no. 2 PAS itu?

Semua orang jelas, termasuk menteri itu bahawa orang no.2 itu adalah Mat Sabu. Beliau mahu bersilat dengan kata-kata. Apa motif kita tidak tahu. Apa sebabnya dia saja yang tahu. Dia bukan sembarangan orang. Pelajaran pun tinggi. Tak mungkin dia tidak faham kedudukan Mat Sabu dalam kepimpinan politik PAS seperti kedudukan beliau sebagai salah seorang naib presiden umno.

Bila kita kata PM Malaysia yang ada sekarang ini, maksudnya amat jelas sekali PM itu ialah DS Najib. Adakah menteri dalam negeri itu tidak mengikut logik seperti ini?

Jadi tidak perlu bersilat dengan kata-kata. Kalau sudah terlanjur kata, minta maaf sajalah. Tapi jika masih yakin dengan dakwaan dan ada bukti, sebut saja nama peribadi itu, yang semua orang sudah jelas siapa batang tubuh yang dimaksudkan.
 
Tak mungkin menteri itu ada sifat penakut. Takut diambil tindakan undang-undang oleh pemimpin no2 Pas itu.  Beliau menteri. Menteri dalam negeri pula. 

Lagipun apa perlu takut kerana menteri itu kata ada bukti tentang  syiahnya pemimpin PAS no .2 itu. Dan sudah tentu beliau terlalu faham akan kata-kata 'Berani Kerana Benar'. Jadi sebutkan saja nama pemimpin no 2 PAS itu. Sudah tentu pemimpin itu ada nama.

Itu satu hal.

Satu hal lagi tentang syiah. 

Syiah nampaknya diserang. Serangan berlandaskan akidah dan serangan berlandaskan politik. 
 
Serangan berlandaskan akidah ini bertujuan bagi menyekat akidah yang dipegang oleh syiah itu meresap dan diterima oleh orang melayu yang menerima sunnah wal jamaah. Nampaknya kedua-dua pihak UMNO dan PAS, dua buah parti yang bersaing untuk mendapat sokongan melayu,  serta sebahagian besar orang melayu mempunyai pendirian yang sama, iaitu tidak mahu syiah dalam membimbing kehidupan mereka. Syiah mesti disekat , dihalang bahkan diharamkan di negara ini.
 
Dalam kata lain orang melayu adalah penganut Islam ahli sunnah wal jamaah. Selain dari itu dianggap sebagai menyeleweng.
 
Kedudukan seperti diatas, sebagai ahli sunnah , orang-orang melayu mudah terusik hati dan perasaan apabila seseorang itu dikatakan pengikut selain dari ahli sunnah, misalnya pengikut syiah atau kominis. Perasaan marah dan bencinya kepada orang yang didakwa sebagai selain dari ahli sunnah, khususnya yang didakwa sebagai syiah amat membara. Orang ini mesti disingkirkan. Orang ini mesti didakwa.

Orang itu perlu disingkirkan . Orang itu perlu didakwa. 
 
 Siapa? Orang jenis macam mana? Apa kedudukannya?
 
Semua orang Melayu tidak berniat untuk menyingkirkan orang seperti itu. Sebaliknya akan berusaha untuk menarik semula orang itu dalam pegangan yang sama. Jika orang itu masih berdegil maka biasanya tindakan undang-undang akan diambil.
 
Tapi tidak semua siapa itu dilayan seperti itu. Ada niat lain sebenarnya.
 
Niat yang lain inilah yang dikatakan serangan bermotif politik. Tidak ada niat sayangkan orang itu. Tidak ada niat untuk  menarik semula orang  itu ke pegangan yang sama. 
 
Niat yang terpasang dalam hati, yang telah terbuku dikalbu ialah untuk menyingkirkan orang itu. Sudah tentu orang yang hendak disingkirkan itu adalah pesaing yang boleh mengancam kedudukan politiknya. Sama ada pesaing politik dalaman mahu antara parti politik. Senjata yang paling ampuh dan yang diterima tanpa soal lagi antaranya ialah akidah seseorang melayu itu. Selain dari ahli sunnah, jika orang itu didakwa syiah atau kominis misalnya, akan ditolak oleh orang melayu.
 
Soal benar atau tidak sesuatu dakwaan bukan satu pertimbangan bagi orang politik yang opportunis. Ada kah orang politik yang tidak opportunis?
 
Mat Sabu adalah antara peribadi yang juga dicemburui oleh ahli-ahli PAS . Bezanya dengan menteri dalam negeri ialah ahli-ahli PAS yang mencemburui pengaruh Mat Sabu itu tidak mendakwa Mat Sabu itu syiah. Tidak pasti, ada yang melakukan secara senyap-senyap.
 
Yang penting dalam persaingan politik orang melayu ialah untuk menyingkir pesaing. Gunakan alasan yang telah diterima tanpa ada soal dan tanpa ada siasat kebenarannya. Syiah, kominis, yahudi, murtad, liwat, pengamal LGBT , liberalisma dan pluralisma paling berkesan sekali sebagai senjata pemusnah politik seseorang melayu.
 
Sekiranya dakwaan menteri dalam negeri itu dapat dibukti benar bahawa orang no. 2 PAS , yang semua orang tahu orang itu ialah Mat Sabu, itu syiah, maka bukan saja menteri dalam negeri dan UMNO mendapat faedah politik, pesaing dan mereka yang mencemburui pengaruh dan kedudukan Mat Sabu dalam PAS juga akan dapat faedah politik.
 
Oleh itu dakwaan menteri dalam negeri itu bukan dakwaan dalam bentuk serangan akidah. Dakwaan itu bermotifkan politik. Adalah terlalu susah untuk mempercayai seseorang yang mempunyai latarbelakang pendidikan agama yang baik  begitu sampai hati untuk mendakwa seseorang itu mempunyai akidah yang dikatakan menyeleweng. 
 
Ertinya beliau sendiri tidak percaya apa yang beliau dakwa. Dakwaan itu hanya dakwaan politik bagi mengalahkan pesaing politik yang diketahui mempunyai pengaruh yang besar dikalangan orang melayu , dan termasuk juga bukan melayu. Kedudukan UMNO dari segi sokongan orang melayu akan terancam, dan sekaligus kedudukan menteri dalam negeri juga terancam. Jadi menghapuskan pesaing yang berpengaruh adalah jalan selamat untuk UMNO dan untuk menteri dalam negeri.

Bagi orang politik yang falsafahnya bahawa tiada yang mustahil dalam politik, apa saja boleh digunakan, asalkan kedudukan terjamin selamat. 
 
Mereka tahu dosa. Mereka juga tahu pahala. Melakukan rasuah adalah berdosa. Membunuh juga berdosa. Mencederakan orang juga berdosa. Memfitnah berdosa. Segala yang mungkar adalah berdosa. Mereka tahu semua ini.
 
Tapi demi kedudukan politik, bisa saja diatur dosa pahala. 
 
Apa yang dilakukan oleh menteri dalam negeri ini bukan perkara baru. Ianya telah dilakukan dalam kes liwat Anwar Ibrahim. Berkesan sekali.
 
Kita tunggu perkembangan seterusnya.
 
 
   
 
 
 
 


 
  



 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan