Theflowersellingboy

Rabu, 25 Disember 2013

Najib: Manifesto PRU 13 dan Aku Janji BN, dan Mungkir Janji.




Beberapa tahun lepas rakyat Malaysia menunggu dengan penuh debaran. Banyak yang berteka teki dan buat macam-macam spekulasi: bila tarikh pilihanraya PRU 13? Semua spekulasi dan teka teki tiada yang betul, kecuali hanya seorang saja yang mempunyai jawapan yang betul.

Dari jumlah rakyat 28 juta, hanya seorang saja yang boleh memberi jawapan yang betul, iaitu DS Najib, Perdana Menteri Malaysia. Hebat sungguh PM kita ini. Tiada seorang yang boleh baca fikiran PM, Najib, sama ada orang itu pakar politik, pakar pilihanraya atau tok-tok nujum pilihanraya. Semua tarikh pilihanraya mereka tidak betul.

Akhirnya PM beritahu mereka, beritahu seluruh rakyat Malaysia, PRU 13 ialah pada 5 Mei 2013.

Selepas tarikh itu diumumkan, masing-masing pihak, parti-parti kerabat BN dan parti-parti sepakat PR, dan penyokong-penyokong mereka yang tidak berparti, mempertingkatkan gerakan berkempen bagi meraih undi. Macam-macam janji ditawarkan.

Disamping itu berbagai pihak pengkaji, mengemukakan ramalan pihak mana yang menang dan pihak mana yang akan kalah. Semua pengkaji itu mengatakan hanya satu pihak saja yang menang iaitu sama ada BN menang atau PR yang menang.

BN dan PR pula merasakan masing-masing ada kekuatan untuk menang. Tapi ada juga pihak yang mengatakan akan berlaku seri. Maka timbullah istilah Parlimen yang tergantung.

Akhirnya, semua salah. PRU 13 sebenarnya mencipta sejarah. Ia menghasilkan keputusan menang-menang (win win situation) semacam dalam rundingan diantara dua pihak dalam sesuatu urusan. Tiada mana pihak yang rugi atau kalah.

BN menang kerusi. Maknanya jumlah kerusi BN melebihi jumlah kerusi PR. PR menang bilangan pengundi. Maknanya pengundi yang mengundi PR lebih banyak berbanding yang mengundi BN. BN dapat 47 % pengundi dan PR dapat 52% pengundi.

Jadi BN menang. PR pun menang.

Yang penting menang kerusi, bukan menang pengundi. Itulah sistem yang diamalkan di Malaysia bagi membolehkan sesebuah parti membentuk kerajaan dan menerajui negara. Jadi BN lah yang jadi kerajaan.  

Kemenangan BN (menang kerusi) adalah kerana kekuatan yang tidak mampu ditandingi PR. Jentera pilihanraya BN tidak ada masalah dari segi wang, orang dan peralatan. Ditambah pula kuasa (atau menyalah gunakan kuasa) menggerakkan  agensi kerajaan dan penjawat awam dalam kempen pilihanraya.

Walaupun PR tidak mempunyai kekuatan seperti BN, kejayaan PR mendapat pengundi yang ramai berbanding dengan BN, wajar menjadi ingatan kepada BN agar dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan lebih telus dan terbaik untuk menarik pengundi yang telah meninggalkan BN, datang kembali menyokong BN pada PRU 14 nanti. 

Satu daripada perkara yang wajar dilihat dengan penuh tanggungajwab ialah Manifesto BN serta janji-janji PRU 13. 

Sebelum diturunkan apa yang telah dimaktubkan dalam manifesto BN serta aku janji yang telah dibuat, molek rasanya diturunkan beberapa petikan ucapan PM semasa melancarkan Manifesto PRU 13 BN di Stadium Putra Bukit Jalil di hadapan 50,000 orang hadirin, pada6 April 2013.

i) "Inti pati PRU 13 adalah sama ada kebolehpercayaan rakyat memberi kepercayaan kepada Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Hadi atau saya sebagai PM".

ii) 'Siapa yang kita yakin jadi PM. Jika jawapannya ialah Najib, pilihlah BN".

Sekarang BN telah memenangi kerusi lebih dari PR. Ertinya bilangan kawasan pilihanraya yang telah memberi kepercayaan kepada BN, sekali gus kepada DS Najib , melebihi yang diberikan kepada PR.  PR pula mendapat kepercayaan sebahagian besar rakyat. 

Sekiranya kita ikut jalan fikir PM seperti diatas, iaitu sesiapa yang mendapat kepercayaan majoriti rakyat, orang itulah jadi PM. Ertinya Anwar Ibrahim seperti yang telah disepakati oleh PR, atau sesiapa saja dari salah seorang pemimpin mereka berhak jadi PM. Bilangan rakyat yang meyakini PR, sekali gus Anwar Ibrahim atau kepimpinan PR adalah melebihi dari Najib.

Najib bukanlah orang yang mendapat kepercayaan majoriti rakyat seperti syarat yang beliau telah tetapkan semasa pelancaran manifesto PRU 13 BN tempoh hari.

Ertinya DS Najib telah melanggar syarat yang dia sendiri tentukan. Memang benar, sistem kita berdasarkan penguasaan kerusi, tetapi jika kita sendiri mahukan majoriti kepercayaan rakyat sebagai asas penentuan untuk diistiharkan menang, lalu jadi PM, maka apakah moral politik yang ada pada Najib untuk jadi PM. Sewajarnya Najib tidak boleh berbolak balik apa yang beliau sendiri tentukan. 

Najib tidak wajar menerima jawatan PM itu kerana tidak mendapat 'kebolehpercayaan majoriti rakyat'

Ini adalah permulaan kepada mungkir janji Najib sebaik saja keputusan PRU 13 diumumkan.

Seterusnya mungkir janji dalam melaksanakan manifesto PRU 13 serta Aku Janji yang telah dibuat.

Sebanyak 17 Teras dalam Manifesto PRU 13 BN untuk dilaksanakan. Terlalu panjang jika hendak dibicarakan  ke semuanya. Kita ambil lima saja iaitu i) Menangani kos sara hidup ii) Pembangunan infrastruktur bertaraf dunia dan transformasi luar bandar iii) Membina kecemerlangan pendidikan negara iv) Meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam dan v) Memerangi gejala rasuah.

Kita teliti juga lafaz Aku janji BN 
i) BR1M dinaikkan dari RM 500 sehingga RM 1,200; 
ii) Baucer  buku ditambah dari RM 250 ke RM 300; 
iii) Rumah mampu milik - 1 juta rumah akan dibina swasta dan PRIMA;
iv)PDRM -4,000 anggota polis ditambah setahun;
v) Harga kereta dikurangkan berperingkat antara 20% - 30%;
vi) Orang bujang -bantuan naik dari RM250  sehingga RM600;
vii) Pan Boreneo -2,300 km lebuhraya dari Sematan, sarawak ke Serudung Sabah;
viii) Kerja baru -3.3 juta pekerjaan dalam tempoh lima tahun;
ix) Kerjaya guru -kenaikan pangkat segera ikut prestasi kepada 420,000 orang guru;
Komuniti India -RM500 juta tingkatkan pegangan ekuiti kaum.

Semua pihak wajar memantau janji-janji yang telah dilafazkan oleh BN itu. Tepati janji atau mungkir janji.


i) Menangani Kos Sara Hidup 

Bagaimana BN menangani kos sara hidup rakyat yang tertekan dengan kenaikan harga barang.

Satu dari caranya memberi BR1M yang dijanjikan sebanyak RM1,200. Berapakah yang akan diberi nanti? Cuma RM650 sahaja.  Mungkir janji lagi.

BN telah menaikkan harga petrol yang berselindung dibawah rasionalisasi subsidi, dengan mengurangkan subsidi minyak. Walau apa pun alasan, pemotongan subsidi minyak telah menaikkan harga minyak, dan seterusnya memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan lain yang menggunakan minyak.

BN juga setelah menubuhkan kerajaan kerana majoriti kerusi, telah menaikkan harga gula atas alasan menjaga kesihatan rakyat. Maknanya setelah 56 tahun menjadi kerajaan hanya selepas memenangi kerusi PRU 13, BN jatuh kasih dan sayang kepada rakyat, tidak mahu kesihatan rakyat terjejas.

BN juga dengan pasti akan mengenakan cukai baru kepada semua rakyat, tidak kira yang berpendapatan rendah , sederhana dan yang berpendapatan tinggi. Mulai April 2015 bersedialah rakyat untuk membayar GST (Government good for Stealing and Thieving). GST ini akan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan secara menyeluruh.

Januari 2014, tarif letrik juga akan naik. Sama dengan kenaikan harga petrol, tarif letrik yang naik ini juga memberi kesan kepada harga barangan dan perkhidmatan yang menggunakan arus letrik.

Kos tambang LRT, bas dan pengangkutan lain juga naik pada 2014.

Mungkir janji lagi. Membebankan kehidupan rakyat.

ii) Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia  

Antara yang BN janjikan ialah mengurangkan bayaran tol antara bandar secara berperingkat.

Berita yang disampaikan oleh seorang menteri mengatakan bahawa kadar lebuhraya bertol akan dinaikkan pada 2014. Walaupun ada dipihak kerajaan menyatakan bahawa ianya belum muktamad tetapi itulah sebenarnya hasrat kerajaan kerana kerajaan terikat dengan perjanjian yang telah ditandatangani dengan pemegang konsessi lebuhraya.


Bertambah lagi beban kos sara hidup yang akan ditanggung oleh rakyat. Demikianlah mungkir janji BN.


iii) Membina Kecemerlangan Pendidikan Negara

Satu dari hasrat yang hendak dicapai ialah membawa Malaysia ke tahap 'kategori ketiga teratas' dalam sistem pendidikan terbaik  dunia dengan membaikki kualiti sekolah kebangsaan.

Sekarang apa sebenar yang telah berlaku. Untuk itu sistem pendidikan kita mesti dinilai. Siapa yang wajar menilai? Mestilah sistem pendidikan itu dinilai oleh pihak luar yang bebas yang juga menilai sistem pendidikan negara lain.

TIMMS ( Trends in International Mathematics and Science) dan PISA (Program for International Student Assesment) telah menunjukkan bahawa prestasi pendidikan di Malaysia menurun. Misalnya purata skor pelajar dalam matematik pada tahun 1999 sebanyak 519 menurun kepada 508 pada tahun 2003, 474 pada tahun 2007 dan 440 pada tahun 2011. Hal yang sama juga berlaku bagi subjek sains.

Begitulah kedudukan kecemerlangan pendidikan negara kita. Kategori ketiga teratas ke kategori kedua tercorot?

Bagi teras untuk meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam ; dan memerangi gejala rasuah ianya juga tidak menunjukkan bukti yang menggembirakan.

Pada awal tadi saya kata PM kita hebat. Dialah yang menentukan segala-galanya. Saya juga kata, jika BN mahu mendapat majoriti rakyat kembali ke pangkuan, BN kepimpinan BN hendaklah melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab telus dan terbaik.

Jika kepimpinan BN beramanah, tidak mungkir janji maka saya percaya majoriti rakyat akan kembali menyokong BN. 

Dan PM yang hebat itu sudah tentu mempunyai kemampuan untuk melaksanakan janji-janji yang telah dibuat, antaranya jangan membebankan kehidupan rakyat dengan kenaikan harga barangan dan perkhiidmatan dan cukai GST.

Sudah tentu rakyat tidak akan percaya lagi dengan keikhlasan PM meminta maaf kepada rakyat semasa beliau melancarkan Manifesto  dan Aku Janji BN untuk PRU 13 seperti diperturunkan,

"Sebagai manusia, kita tak boleh lari daripada kesilapan tetapi kami berjanji akan berusaha akan memberikan yang terbaik. Kita berusaha kotakan apa yang kita janji".

Nah, wahai DS Najib kotakan janji anda, janji BN. Jangan menyusahkan rakyat dengan berbagai alasan.

Rakyat mengharapkan tiada lagi mungkir janji.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan