Wawasan 2020 ialah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju mengikut acuan kita sendiri.
Namun maksud acuan kita sendiri itu masih boleh membuka ruang perdebatan. Apakah standard, apakah ukuran dan apakah yang berbeza dengan negara maju yang lain?
Tetapi saya tidak bertujuan untuk membuka ruang perdebatan akan maksud acuan sendiri itu. Yang hendak di perkatakan ialah persiapan kita rakyat Malaysia menuju kearah dan menjadi sebuah negara yang maju.
Sebelum itu mari kita lihat sembilan cabaran yang perlu kita hadapi untuk menjadi sebuah negara yang maju seperti yang telah dirangkakan iaitu:
1.Malaysia sebuah negara yang bersatu.
2. Rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka
3. Rakyat dan negara Malaysia yang demokratik.
4. Rakyat Malaysia yang bermoral dan beretika.
5. Masyarakat Malaysia yang liberal
6. Masyarakat Malaysia yang saintifik dan progressif
7. Masyarakat penyayang
8. Agihan kekayaan yang adil dikalangan rakyat
9. Masyarakat yang menikmati kemakmuran dan berdaya saing.
Berdasarkan 9 cabaran itu, berdasarkan tempoh masa yang masih berbaki hanya 8 tahun lebih saja, berdasarkan perkembangan dan kemajuan yang ada, matlamat yang kita cita-citakan itu untuk menjadi sebuah Negara Maju pada 2020 nampaknya tidak menunjukkan peluang yang cerah untuk berjaya. Saya mengatakan tidak akan tercapai.
Biarkanlah kata-kata saya itu tidak akan menjadi kenyataan. Dan pada tahun 2020 nanti jika usia masih ada, dan jika Malaysia akhirnya menjadi sebuah Negara Maju maka saya sendiri akan berkata, "Padan Muka Saya".
Tunggu dulu, sebelum ada pihak yang mahu berkata seperti itu, saya ingin membangkitkan beberapa persoalan untuk sama-sama kita renung.
Pertama soal kebersihan.
Ada kah kita sudah bersedia dengan sifat ,sikap dan perangai menjadi rakyat yang mengutamakan kebersihan?
Lihat restoran, warung dan kedai makan kita. Kotor dan menjijikkan. Ramai pula yang menjadi pelanggan dikedai atau warung yang berhampiran dengan longkang yang kotor, berbau busuk, hanyir yang dipenuhi sampah buangan. Air longkang yang bertakung tidak dapat mengalir disebabkan dipenuhi sampah sarap. Lalat yang berterbangan menghinggapi makanan. Malah penyedia makanan tanpa rasa bersalah menyediakan makanan sambil merokok.
Lihat persekitaran kita. Sungai yang dulu airnya jernih telah berubah warna menjadi keroh, coklat dan ada yang bertukar menjadi hitam. Baunya busuk sekali. Lihat juga jalan raya kita yang mulanya cantik tapi ada diantara kita tanpa rasa bersalah membuang sampah dan buangan-buangan yang lain diatas jalan raya itu. Kita lakukan juga walaupun kita sedang memandu kenderaan.
Bagaimana perangai kita membuang sampah sesuka hati sedangkan tempat membuang sampah telah disediakan tapi tidak digunakan. Kalau pun digunakan cara sampah dibuang itu tidak sebenarnya untuk tujuan menjaga kebersihan. Tidak dibungkus dan dimasukkan dalam bekas/tong sampah secara sempurna. Tong sampah yang telah penuh juga tidak pula segera dikutip oleh pihak yang bertanggongjawab.
Kita suka menjemput penyakit dan menyebabkan keracunan makanan.
Kedua, kita bukan masyarakat yang penyayang dan perihatin
Pembunuhan , penganiayaan, dan berbagai kekejaman semakin bertambah. Anak-anak baru lahir yang dibuang dengan kejam, dibunuh, dan dicederakan. Ramai yang tidak memberi keutamaan kepada warga tua yang memerlukan tempat duduk semasa menunggu mendapatkan sesuatu perkhidmatan seperti diklinik atau didalam bas atau pengangkutan awam yang lain.
Ada juga orang yang sihat tubuh badan, segar bugar muda belia yang sempurna fizikalnya dengan tidak rasa bersalah dan malu menggunakan ruang tempat letak kenderaan khas untuk OKU.
Cukup contoh-contoh itu. Banyak lagi.
Maka apalah yang dapat kita harapkan dari segi pencapaian sebuah negara yang bersatu padu; berjiwa bebas dan merdeka; yang demokratik; yang bermoral dan beratika; yang liberal; saintifik dan progressif dan cabaran yang lainnya.
Cuba fikirkan pula dari segi salah guna kuasa; rasuah; integriti; ketelusan dan keterbukaan. Pada tahap mana kedudukan kita dan negara kita.
Boleh kah kita menjadi sebuah negara maju pada 2020?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan