Theflowersellingboy

Rabu, 21 September 2011

Musim Sejuk Akan Tiba Namun Dia Tidak Akan Kunjung Tiba

Setiap kali tiba musim sejuk pada bulan Disember kami sekeluarga akan menerima seorang tetamu istimewa dari England Mr. Dennis Higgins yang kami panggil Uncle Den. Kami sentiasa menunggu ketibaannya.

Uncle Den sudah berusia 75 tahun. Tidak pernah berumah tangga. Seorang bekas pelayar kapal yang telah singgah dibanyak pelabuhan dan negara di dunia ini. Beliau juga seorang anggota gereja Katholik. Beliau mempunyai adik beradik yang lain. Cuma yang beliau sempat memperkenalkan kepada kami seorang saja. Seorang adik  perempuan  yang kami panggil sebagai Unty Kit. Unty Kit berusia dalam lingkungan 70an. Tinggal  menyewa di sebuah pangsapuri di Bandaraya Birmingham. Juga tidak pernah berumahtangga. 

Uncle Den akan terbang ke Kuala Lumpur untuk berihat di Malaysia selama 6 bulan sehinggalah kemusim panas di England pada bulan Jun. Beliau amat tidak suka dengan musim sejuk . Badannya yang telah berusia 75 tahun itu tidak lagi mempunyai simpanan lemak yang banyak bagi mengeluarkan kepanasan yang cukup bagi mengimbangi hawa sejuk yang mencengkam Bandaraya London pada musim sejuk itu. Pilihannya tidak lain ialah untuk berkunjung ke negara berhawa panas . Malaysia menjadi pilihan kerana di sini dia mempunyai anak angkat, Hj. Manap yang dulunya tinggal bersama beliau semasa belajar di England. Kami pula  mempunyai kaitan kekeluargaan dengan keluarga Haji Manap. Oleh itu setiap kali Uncle Den berkunjung ke Malaysia, rumah kami juga akan sentiasa dikunjungi.


Hairan juga dengan Uncle Den ini yang tidak tahan dengan cuaca sejuk. Katanya dia benci dengan cuaca musim sejuk itu. "Terlalu sejuk meresap sehingga ke tulang" , pernah beliau merungut. 


Sebaliknya kami  sekeluarga berangan-angan untuk merasai cuaca empat musim di negara Eropah itu. Macam mana rasa cuaca dan pemandangan  pada musim bunga, musim panas dan musim gugur. Sudah tentu kami hendak merasa kesejukan pada musim sejuk. Kami juga teringin untuk bermain salji, memegang air beku berwarna putih itu dan melontarnya sesama kami terutama anak-anak. Sudah tentu anak-anak kami rasa seronok dan gembira.

'Bolehkah kami bertahan dengan kesejukan di musim sejuk itu atau kami rindukan cahaya matahari di Malaysia' , adalah antara persoalan yang sentiasa dibibir apabila kami teringatkan kata-kata uncle Den yang tidak suka dengan musim sejuk itu.


Akhirnya kami mendapat berita Uncle Den telah tiada lagi. Beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya dirumahnya seorang diri. Seminggu selepas itu baru disedari apabila adiknya di Birmingham yang membuat panggilan talipon tidak mendapat jawapan. Lantas ke London. Uncle Den telah mati. Kami telah dihubungi.

Wajah uncle Den sentiasa dimata kami. Seorang yang baik, berbudibahasa, taat pada ajaran agamanya dan tidak pula memandang rendah budaya dan agama orang lain. Itulah yang mengikatkan hati kami menerimanya setiap munculnya bulan Disember . "Terlalu sejuk, saya tidak sanggup dengan kesejukan dimusim sejuk", antara kata-kata yang selalu keluar dari mulutnya sebaik saja menjejak kaki di bumi Malaysia. 

Rupa-rupanya Malaysia yang kami selalu merungut terlalu panas, ada pihak yang mencintainya. Tapi sayang sekali orang itu tiada lagi. 


Musim sejuk bulan Disember akan tiba , namun dia tidak akan kunjung tiba.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan