Sebut saja fasal Hudud atau lebih tepat lagi pelaksanaan Hukum Hudud berbagai reaksi yang timbul : ramai juga yang takut, panik mengelabah tidak tentu arah , 'seperti budak kecil takut hantu yang tidak pernah mereka lihat', dan ada juga yang cuba cari jalan melepas diri dari disanggah dengan alasan 'belum tiba masanya' dan 'tidak sesuai dalam masyarakat berbilang agama'.
Mari kita lihat orang-orang ini yang memang terkenal dan penting-penting belaka.
Sebagai penghormatan kita dahulukan dengan negarawan negara, bekas Perdana Menteri, tidak lain Tun Mahathir.
Tun Mahathir lah yang memulakan bangkitan Hukum Hudud ini setelah agak lama perkara ini tidak menjadi hal penting untuk sebuah berita. Kelihatan beliau bijak ( bekas Perdana Menteri sewajarlah demikian) memilih waktu dan ketika untuk menjadikan hukum hudud ini sebagai satu isu yang mempunyai nilai berita yang paling tinggi harganya , ditinjau dari segi sensasinya , kontroversi, komersil dan sensitiviti politik dan agama.
Buktinya , semenjak dibangkitkan beberapa minggu yang lepas, isu hukum hudud ini masih lagi mendapat sentuhan dari berbagai pihak. Pakatan Rakyat pula telah diberitakan akan membicangkan isu hukum hudud ini dikalangan pimpinan pada 28 September 2011 iaitu pada masa dan hari yang telah dijadualkan membincangkan Belanjawan 2012 nanti.
Dan yang paling penting ialah mewujudkan suasana saling tidak mempercayai, pertelagahan dan perselisihan serta percakaran diantara anggota-anggota politik dalam Pakatan Rakyat dengan matlamat untuk meraih keuntungan politik Barisan Nasional khususnya UMNO dalam menghadapi pilihanraya yang banyak pihak menjangkakan akan diadakan tidak berapa lama lagi.
Tindakan Tun Mahathir itu kita boleh ringkaskan dalam bahasa yang mudah sebagai 'KAKI LAGA'. Siapa kah gerangan yang akan luka cedera? Sehingga kini tidak ada pihak yang boleh tersenyum suka termasuk Tun Mahathir sendiri kerana belum pasti benar siapa yang cedera luka.
Bangkitan Tun Mahathir adalah dalam bentuk 'mencabar' Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Aziz agar laksanakan Hukum Hudud seperti yang dihajatkan Menteri Besar itu semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dulu, kerana katanya sekarang beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri yang telah dikatakan menghalang pelaksanaan hukum itu. Oleh itu Tuan Guru Dato' Nik Aziz bolehlah berjumpa Perdana Menteri Dato Seri Najib memohon untuk melaksanakan hukum hudud ini.
Menteri Besar Kelantan itu yang masih lagi ada surat rasmi Perdana Menteri dulu (Dr. Mahathir) yang memberi amaran supaya hukum hudud itu tidak dilaksanakan, menganggap cabaran Tun Mahathir itu sesuatu yang 'lucu'. Mengapa tidak, katanya surat yang dikeluarkan Perdana Menteri itu masih lagi dan tidak pernah ditarik balik. Jadi macam mana hendak disempurnakan 'hajat ambo'.
"Betul juga kata Tuan Guru ni. Lucu sungguh cabaran itu".
Ketua Pembangkang pula Dato' Seri Anwar Ibrahim atas sifat peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud ini kerana ianya tidak melibatkan mereka yang bukan Islam.
Maka seperti biasa pemimpin-pemimpin dalam DAP , En. Lim Kit Siang, En. Lim Guan Eng dan En. Karpal Singh sahabat DS Anwar dalam Pakatan Rakyat secara konsisten dengan cepat memberi reaksi menentang pelaksanaan hukum hudud ini.
UMNO juga sudah bersedia menunggu peluang keemasan ini mahu mengambil faedah politik dengan meletakkan posisi ditengah-tengah agar dapat 'makan yang dikiri dan makan yang ada dikanan' melalui Timbalan Presidennya Tan Seri Muhyiddin Yassin dengan mengatakan kurang lebih "UMNO menyokong Hukum Hudud cuma masanya belum sampai lagi untuk melaksanakannya".
Maka apabila beliau menyatakan sokongan itu , UMNO cuba meyakinkan orang Islam yang duduk dikanan bahawa UMNO tidak pernah menentang hukum Islam; dan alasan pelaksanaan ditangguhkan tanpa jangka masa yang ditentukan diharap akan dapat menyakinkan orang bukan Islam yang menentang hukum itu 'bahawa jangan khuatir hudud tidak akan dilaksanakan'. Matlamatnya hanya satu iaitu untuk meraih undi dari yang dikiri dan yang dikanan. Pilihanraya nak dekat kan?
Tapi saya cuma cuba meneka apa yang ada dihati kecil Tan Seri itu berdasarkan 'latarbelakang' nya bahawa sebenarnya beliau juga 'bersetuju' dengan pelaksanaan hudud . Cuma beliau alah dengan kemahuan politik. Ini cuma tekaan kerana saya bukanlah ada apa-apa kepakaran membaca suara hati orang.
Seorang lagi orang penting UMNO berjawatan Naib Presiden Dato' Ahmad Zahid Hamidi menyatakan dengan maksud yang hampir sama seperti TPM iaitu 'hudud tidak sesuai dalam masyarakat yang berbilang agama'. Cuma seperti TPM beliau alah dengan kemahuan politik. Ini juga tekaan seperti diatas tanpa ada kepakaran.
Saya masih menunggu kalau-kalau ada ulasan atau pernyataan dari Menteri yang bertanggongjawab dalam bidang agama Islam tentang hudud ini Dato' seri Jamil Khir yang dulunya saya amat minati dalam Program Perdana Hal Ehwal Islam . Ini 'core subject' beliau. Kalau tidak jawab atau beri kenyataan, gagal jadi menteri jaga agama Islam kerana orang lain termasuk yang bukan Islam pun berani muncul menunjulkan peribadi menyatakan tentang hudud.
Dan personaliti terpenting sekali ialah kenyataan dari Perdana Menteri semasa iaitu Dato' Seri Najib. Beliau amat jelas sekali tanpa ada lapik berlapik menyatakan bahawa Hukum Hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia. Sikap dan pendirian beliau sama seperti bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir.
Makanya apalah ruang yang ada atau dimanakah ruang yang mahu di buka bagi Menteri Besar Kelantan untuk melaksanakan Hudud.
Perdana Menteri dulu kata 'jangan buat'; Perdana Menteri yang berkuasa pada ketika ini pun berkata dengan maksud yang sama 'tidak boleh'.
Yang paling teruk sekali jika ada pihak yang mengatakan lebih kurang begini "PAS berani cakap saja nak laksana hudud tapi sebenarnya tidak mampu berbuat demikian. Ini semua mainan politik".
Sebenarnya ada pihak mengatakan sejalan dengan maksud itu. Bila? Duluuuuu. Siapa? Sendiri mesti ingatlah.
Oleh kerana Perdana Menteri sekarang yang juga Presiden UMNO dengan jelas menolak pelaksanaan hukum hudud maka pernyataan-pernyataan dan ulasan serta alasan dari yang lain-lainya menjadi terkulai layu menunggu saat menjadi kecut dan kering jatuh ketanah di baham oleh cacing-cacing yang berkeliaran. Itupun jika cacing itu ada selera.
Jadi Menteri Agama bagaimana? Berani beri ulasan atau pernyataan atau pandangan yang lain arah dari Perdana Menteri, Presiden UMNO, bos besar?
Berdasarkan apa yang pernah saya dengar dalam Program Perdana Ehwal Islam bahawa Islam meraikan perbezaan pandangan. Ianya satu rahmat. Cuma saya kurang pasti sama ada Ustaz Jamil Khir yang mengeluarkan pandangan itu atau penceramah yang lain. Yang saya pasati semua penceramah yang bergelar ustaz menyatakan seperti itu. Oleh itu mengapa tidak diambil pendirian ini. Berilah pandangan walaupun berbeza dengan pandangan bos. Apatah lagi kita memegang amanah menjaga kepentingan agama Islam. Bukan kah kita semua bersetuju bahawa kita hanya mesti takut kepada Allah. Selain dari Allah sama saja macam kita.
Akhirnya saya paparkan salah satu dari enam Rukun Iman yang orang Islam mesti percaya iaitu selain percaya kepada Allah, Malaikat, Rasul dan Nabi-nabi ialah percaya kepada Kitab-kitab yang diturunkan Allah. Satu darinya ialah al-Quran.
Sessi Soal dan jawab (Q&A)
Dalam al-Quran ada menyatakan Hukum Hudud. Percaya tak ? Tentu percaya. Percaya kepada Allah? Mesti, orang Islam. Tapi mengapa tidak percaya kepada hukum hudud? Bukan tidak percaya, tunggu dulu, tunggu masa yang sesuai. Bila? Saya kata tunggu , tunggulah.
Yang tidak mahu hudud ni tak percaya ke? Percaya tapi tak boleh. Pasal apa?
Dia pun garu kepala. Sayang rambut banyak yang tiada.
Orang bukan Islam yang tidak setuju dan buat bising tentang hukum yang tidak membabitkan mereka pasal apa? Tak kan semua nak masuk Islam.Hormat lah agama orang seperti tuan/puan minta orang lain hormat agama tuan/puan.
Tutup mata dan pekakkan telinga. Muncungkan mulut.
Nampaknya sebahagian orang, Islam dan Bukan Islam terlalu gerun akan Hukum Hudud. Ada gerun kerana undi politik dan ada gerun yang dibuat-buat gerun supaya orang membenci Islam.
Orang yang gerun kerana hukumnya ialah orang yang mahu Hukum Hudud dilaksanakan kerana ia boleh mencegah orang melakukan perlakuan yang dilarang oleh hukum itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan