Theflowersellingboy

Sabtu, 17 September 2011

Yang Ingat dan Yang Lupa.Adalah Manusia.

Rentetan isu bangkitan Mat Sabu ini sungguh dinamik sekali, berkembang dari satu isu yang kontroversi yang mengajak masyarakat menilai  semula sumbangan setengah pihak/individu dalam memperjuangkan kemerdekaan Malaya ( Tanah Melayu) yang dikatakan 'tersingkir' dari pengiktirafan rasmi ke status Malaya semasa kehadiran British dahulu sama ada sebagai penjajah atau pelindung. 

Yang menariknya isu itu telah mengheret berbagai pihak untuk terlibat memberi berbagai reaksi . Ada reaksi yang sopan dan beradab yang mencadangkan supaya diberi peluang kepada Mat Sabu memberi penjelasan yang lebih lanjut; dan reaksi yang penuh emosi yang tidak mahu menerima sudut pandangan dari orang lain; dan yang menyedihkan sekali reaksi berbentuk ugutan dan hilang akal:  membuat laporan polis dan melucutkan kerakyatan Mat Sabu. 

Yang bertambah menarik lagi ialah reaksi itu datangnya dari bukan sembarangan orang dan golongan. Tun Mahathir dan Majlis Professor Negara khususnya Prof Zainal Kling telah menjadikan isu bangkitan Mat Sabu ini menjadi bertambah dinamik, panas macam goreng pisang.

Syabasyh dan tahniah kepada Mat Sabu, anda telah mengukir nama untuk dibilang. Dalam pilihanraya akan datang anda termasuk dalam bilangan pengundi-pengundi. Cerah masa depan.

Sebenarnya paparan hari ini adalah mengenai isu 'Mudah Lupa' yang ada juga sedikit kaitan dengan bangkitan Mat Sabu ini.

Saya memang tidak mudah lupa akan satu sajak yang telah dicipta dan dideklemasi oleh Tun Mahathir pada saat-saat senja menjadi Perdana Menteri. Saya tidak lupa untuk membaca semula sajak itu walau pun dulunya ianya tidak menarik langsung untuk dibaca dan untuk santapan halwa telinga. 

Rupa-rupanya sajak itu bercerita pasal sejarah orang Melayu yang secara keseluruhannya penulis menyatakan kedudukan orang Melayu 'dulunya' amat daif sekali iaitu 'orang Melayu dipijak, retak, teriak, haprak, kelas 2, hina, sengketa, derita, kerdil, terpencil, tiada daulat, tiada maruah, tiada bebas, lena, dan tanah lahirnya yang merekah berdarah'.  

Penulis tidak pula menyatakan taraf kedudukan semasa orang Melayu. Namun saya menganggapkan ianya telah pulih dan lebih baik berbanding pada masa 'dulu'. Lantas Perdana Menteri ketika itu meneruskan dengan ingatan: 

Janganlah mudah lupa lagi
Kerana perjuangan belum selesai.

Bait-bait 'Melayu Mudah Lupa' diulang banyak kali dalam puisi ini. Ertinya ingatan 'jangan mudah lupa' itu ialah ditujukan kepada orang Melayu, iaitu saya dan anda yang lain yang mengaku Melayu. 

Tun Mahathir sebagai orang yang mengingatkan saja. Orang yang mengingatkan ialah orang yang tidak lupa. Maknanya ada juga orang Melayu yang tidak mudah lupa. 

Bercakap pasal ingat dan lupa ini, saya mula teringat akan nama-nama A.Rahman Yaakub, Mat Indera, Shamsiah Fakeh, Ahmad Boestamam, Tok Janggut , Mat Kilau , Dol Said, Dato Bahaman yang telah saya temui semasa belajar sejarah dulu. Cuma nama-nama itu tenggelam timbul saja dan tidak diserlahkan sebagai orang-orang yang juga mempunyai kasih sayang kepada negara (Tanah Melayu) menentang penjajah.

Malang sungguh nasib mereka kerana orang lupa terhadap mereka. Dan yang lupa pula orang Melayu. Maka benarlah kata-kata puisi itu bahawa 'Melayu Mudah Lupa'. Atau mereka ini sengaja dilupakan!  

Bercakap pasal penjajahan yang menjadi asas kepada penentangan personaliti-personaliti diatas terhadap British dulu misalnya serangan keatas Balai Polis Bukit Kepong seperti yang dibangkitkan oleh Mat Sabu, setengah pihak termasuk Tun Mahathir mengatakan Tanah Melayu tidak dijajah secara teknikalnya. Maknanya British bukanlah penjajah. Tapi kita istiharkan 31 Ogos 1957 sebagai hari kebebasan dari penjajah dan menjadi sebuah negara merdeka. Siapakah penjajah itu. Tidak mungkin Mat Indera. Tidak mungkin bangsa Cina atau India. 

Siapa kah gerangan yang telah menjajah dan mengaut harta kita 'dulu' itu sehingga 'dulu'nya itu kita menjadi terlalu daif, hina berteriak, tiada daulat dan macam-macam kedaifan yang lain'. 

Saya mengatakan British sebab itulah yang telah diajar kepada saya semasa sekolah dulu. Saya pasti tidak lupa dengan perkara itu. Itulah jawapan yang saya beri. Jawapan itu mendapat markah penuh. Jika ada pihak mengatakan jawapan itu salah maka markah penuh yang saya dapati itu, saya khuatiri ada pihak-pihak akan membuat laporan polis untuk menyiasat supaya menarik semula markah penuh yang saya terima.

Kita sudah lupa gamaknya. Benarlah bait-bait puisi itu mengatakan Melayu Mudah Lupa. Termasuklah saya.

Saya juga teringat semasa di tahun pertama di Universiti Malaya dulu, tahun peristiwa berdarah 13 Mei, akan gerakan mahasiswa berdemonstrasi meminta Perdana Menteri, Tengku Ab Rahman  yang pertama meletak jawatan. Saya juga ingat antara orang sangat membenci Tengku ialah Dr. Mahathir, dan sebahagian mahasiswa terikut-ikut membenci Tengku lantas mendesak beliau supaya meletak jawatan. Saya tidak akan boleh lupa cerita ini kerana kami di hujani dengan bom pemedih mata.  

Sekarang kita jangan pula marah sangat kepada Mat Sabu yang dikatakan tidak menghormati Tengku. Ingat, kita jangan lupa kerana perjuangan belum selesai.

Banyak lagi hal ingat dan lupa ini kita boleh bicarakan. Secara rengkas antaranya perpecahan dikalangan orang Melayu dalam zaman merdeka ,' siapa' puncanya dan kenapa; peristiwa menjatuhkan maruah seseorang dengan fitnah yang tidak mengenal erti belas kasihan sehingga ada yang masuk penjara semata-mata untuk kekal ditahta, siapakah pelaku/pelaku-pelakunya; dan banyak lagi kisah duka derita . Mungkin kita lupa atau sengaja buat lupa atau terlupa kerana setiap dari kita akan sampai masanya untuk menjadi lupa. 

Kita perlukan orang/pihak lain untuk mengingatkan kita. Tapi setelah dingatkan jangan pula kita naik marah. Bukankah kita ini hidup ingat mengingat antara satu sama lain.

Sebab itu apa yang saya ingat saya paparkan disini. Kalau ada yang saya terlupa tolong ingatkan saya.  Yang saya ingat dan yang saya lupa saya tidak tahu dari segi nisbah antara keduanya.

Hanya saya percaya, ingat dan lupa ialah milik manusia dan bukan milik orang Melayu saja.

Ianya dikatakan milik orang Melayu apabila kita ada agenda tertentu yang kita saja yang tahu. 

Sesungguhnya banyak perkara yang belum selesai termasuklah isu pengiktirafan orang-orang yang pernah menentang British. Jangan lupa, ya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan