Saya telah berulang kali mengatakan bahawa Rumah Terbuka Aidilfitri (RTA) yang bakal diadakan di Permatang Pauh (PP) adalah satu peristiwa yang amat penting dan mempunyai nilai sejarah untuk dirakamkan.
Tapi syaratnya ialah RTA itu perlu menjadi pentas bagi menautkan kasih sayang seperti aur dengan tebing, saling mendekatkan yang jarak dimata dan yang kejauhan dihati, dan saling memohon dan menerima kemaafan.
Selain dari tujuan itu maka majlis RTA itu hanya bertaraf warung kedai makan saja, menjamu selera untuk majlis makan-makan. Untuk kenyang perut saja. Tidak merawat hati nurani.
Saya telah menyatakan bahawa majlis ini sungguh penting dan simbolik sekali.
Pertama ianya memenuhi syarat untuk mendekatkan yang jauh, jauh dari segi jarak dan jauh dari segi hati dan perasaan kerana banyak yang mengguris dan terguris.
Kedua, dua pihak yang bertentangan menjadi Tuan Rumah -Ahli Parlimen PP bersama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang disatu pihak mewakili parti Pakatan Rakyat (PR) dan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan mewakili parti Barisan Nasional (BN) dipihak yang satu lagi.
Ketiga, ianya melibatkan personaliti-personaliti yang penting dan utama yang saling berjuang dan selalunya bercakaran untuk satu kepimpinan, menjadi pemimpin negara Malaysia. Semua orang memang kenal mereka. Najib , Perdana Menteri semasa dan Anwar Ketua Pembangkang yang tidak jemu-jemu mencuba untuk menerajui negara.
Maka pentas di PP perlu dimenfaat secara optima : berbaik-baik , buang yang keruh dan ambil yang jernih. Hulurkan salam persahabatan kerana itulah maksud dan makna sebenar merayakan Aidilfitri, merayakan kemenangan. Menang menaklukki hati yang kejauhan kerana dirasuk oleh perasaan sombong , bongkak dan ego.
Memang benar bahawa tidak mudah untuk berbuat demikian. Saya hanya mampu berkhayal mengimpikan ianya akan menjadi satu kenyataan. Tapi untuk menjadi KETUA memimpin sebuah negara kedua-dua pemimpin ini mampu melakukan. Siapa dahulu menyapa, menghulurkan salam persahabatan bukanlah pertanyaan seorang pemimpin. Pemimpin yang sejati sentiasa mendahului yang lain.
Ingat yang mendahului itu ada premium politik. Tapi anggaplah itu keuntungan sampingan saja.
Andaikan apa yang dikhayal dan diimpikan itu menjadi satu kenyataan maka sesungguhnya negara Malaysia amat bertuah sekali mempunyai personaliti-personaliti yang tersedia untuk diangkat menjadi pemimpin. Najib ke Anwar ke , boleh saja kita angkat untuk menerajui negara kerana mereka berdua hanya berjuang untuk negara. Bukan bercakaran mengelirukan kita semua, merosakkan negara. Sama-sama kita berdoa yang terbaik saja.
Sebenarnya RTA di PP ini terlalu banyak 'kebetulan' (coincidences). Tidak dinafikan juga bahawa ia satu majlis yang telah dirancang. Dirancang atas maksud yang kita tidak tahu . Cuma boleh meraba-raba untuk meneka maksud yang tersirat.
Apa pun saya akan sentuh hal yang berkaitan dengan 'KEBETULAN' (coincidences) pada paparan terakhir berhubung dengan RTA di PP ini.
Bersambung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan