Theflowersellingboy

Isnin, 12 September 2011

Lain Nama Yang Diberikan, Lain Pula Nama Yang Dipanggil: Satu Fenomina Biasa

"Orang kampong kau ni tak kenal kau ke? Aku beri tahu nama kau, tapi tak seorang pun yang kenal". Seorang kawan memberitahu semasa mengunjungi rumah pada hari raya baru-baru ini. Beliau ingin mendapat kepastian dari orang kampong saya yang ditemui ditepi jalan  tentang lokasi rumah saya.

Maka saya pun ketawa kecil. "Kat kampong aku ni , orang panggil aku Ai. Dia orang tu tak tahu nama aku  yang sebenar".


Begitulah sedikit cerita ringkas mengenai dengan nama dan panggilan diri seseorang. Lain nama yang diberi, lain pula yang dipanggil sehingga boleh menimbulkan sedikit kerumitan. 

Fenomina seperti ini memang biasa dan telah ujud dalam masyarakat Melayu semenjak  lama lagi sehingga sekarang. Apakah sebab jadi begini? 

Tidak pula diketahui sama ada telah ada satu kajian dibuat mengapa berlakunya fenomina seperti ini.

Kita ambil beberapa contoh untuk memudahkan kita memberi pandangan atau pendapat mengapa ujudnya fenomina lain nama yang diberi, lain pula nama yang dipanggil.

Misalnya mereka yang diberi nama-nama  yang cantik-cantik dan indah-indah seperti Muhammad atau Ahmad. Mereka ini amat malang sekali. Mereka tidak  dipanggil sebagai Muhammad atau Ahmad. Paling baik mereka akan dipanggil dengan kependekan Mat saja. 

Yang dikatakan malang ialah mereka yang bernama Muhammad atau Ahmad ini  akan lebih dikenali dengan gelaran pada hujung namanya.  Contoh Mat Kerbau, Mat Panau, Mat Lembik dan banyak lagi. Panggilan seperti itu menjadi rujukan apabila hendak memperkenal atau mengenali atau membuat pertanyaan  seseorang yang bernama Muhammad. Tanpa merujuk nama panggilan seperti itu ia boleh menimbulkan masalah dan kerumitan untuk mempastikan siapakah sebenar orang yang dimaksudkan.


Apabila misalnya kita bertanya si Muhammad ini, orang akan bertanya :Mat yang mana satu? Mat Lembik ke Mat Kerbau?


Mengapa jadi begini? 

Pada pendapat saya adalah disebabkan nama Muhammad atau Ahmad ini adalah nama yang banyak dipilih oleh ibubapa apabila memberi nama kepada anak-anak mereka kerana nama-nama ini adalah  yang baik-baik , mengambil nama Nabi Muhammad SAW.
Oleh kerana terlalu banyak yang bernama Muhammad atau Ahmad maka gelaran-gelaran lain telah ditambah untuk memudahkan seseorang itu dirujuk. 


Cuma yang malangnya tambahan pada nama itu tidak sepadan dengan nama Muhammad itu kerana sebahagian besar gelaran yang diberikan adalah bersifat merendah/mengurangkan darjat atau peribadi seseorang. 

Mengapa dipanggil Mat Kerbau? Mat Panau? Mat Bisul? Dan  macam-macam Mat lagi.


Adakah sifat orang-orang Melayu yang suka merendah-rendahkan peribadi seseorang? Atau orang Melayu ini mempunyai jiwa rendah diri (inferiority complex)? 


Ada juga dikalangan ibubapa suka mengubah panggilan nama anak lain dari yang diberikan pada asalnya. Misalnya nama Fauzi akan dipanggil Ridhuan; nama Ishak dipanggilnya Hassan. 


Ada setengah pihak menyatakan bahawa berlakunya perubahan dari segi panggilan itu adalah disebabkan nama yang diberikan pada mulanya tidak sesuai apabila anak itu selalu saja diserang sakit atau meragam diwaktu kecil. 

Ada juga setengah mengatakan nama itu terlalu berat untuk dibawa oleh anak itu menyebabkan anak itu meragam dan sentiasa diserang sakit. Jika ini alasannya maka anak itu akan dipanggil dengan nama yang 'mudah-mudah' (yang tidak berat seperti nama-nama nabi-nabi atau orang-orang yang terkenal) seperti Selamat, Bujang, Dara , Awang dan sebagainya.

Dua contoh diatas boleh dikatakan berlaku pada masyarakat Melayu yang kurang berpendidikan atau masih lagi tidak banyak terdedah dan terbuka kepada dunia luar. 

Namun dalam masyarakat Melayu yang dikatakan moden juga fenomina seperti itu juga berlaku.

Misalnya anak yang bernama Najwa akan dipanggil Wawa. Anak lelaki yang diberi nama Sulaiman akan dipanggil boboi' atau dipanggil along jika dia yang tua, atau adik jika mempunyai abang dan kakak. Ada juga keadaan dimana anak yang dipanggil adik itu akan kekal dipanggil adik apabila mendapat seorang lagi adik. Maka apabila kedua-duanya sudah besar dan telah pandai berkata-kata maka yang adik itu memanggil abang/kakak yang dipanggil adik sebagai adik. Sudah jadi terbalik nampaknya.


Perkara yang dibincangkan ini nampaknya seperti sesuatu yang remeh. 


Tapi apakah tujuan kita memberi nama kepada anak kita kalau tidak bermaksud untuk dijadikan sebagai nama yang akan dipanggil? Kalau kita merasakan nama itu terlalu panjang untuk di panggil kenapa kita tidak beri nama yang pendek misalnya nama yang dipanggil keatas diri saya, 'Ai'.


Ertinya nama yang diberi, adalah juga nama yang akan dipanggil.


Jika tidak berbuat begitu saya cenderung untuk membuat tanggapan bahawa fenomina seperti ini berlaku mungkin satu manifestasi yang kita tidak sedar tentang kata-kata: "Cakap tidak seperti bikin". 


Saya juga tidak terkecuali kerana memanggil nama anak-anak tidak sama dengan nama yang diberi. Hanya saya dapat beri alasan bahawa nama panggilan itu adalah sebutan yang menjelmakan sifat memberikan kemanjaan dan kasih sayang saja. Saya percaya orang lain pun begitu juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan