Hari ini Sabtu September 3/2011 telah masuk hari keempat kita merayakan Idilfitri. Alhamdulillah secara keseluruhannya kita rakyat Malaysia telah menyambut hari kebesaran ini dalam suasana yang segar dan ceria sekali.
Namun ada juga sebahagian dari kita yang menyambut hari raya dalam suasana lesu dan duka sehinggakan kedatangan hari raya itu tidak dirasa berbeza dengan hari-hari yang lain. Malah ianya menambah sedih dan duka apabila melihat orang lain begitu ceria bergembira.
Ramai juga yang bersedih dan berduka.Yang fakir miskin serba kekurangan, apatah lagi yang mempunyai tanggongan yang banyak; yang menerima musibah kehilangan orang yang disayangi; yang terpisah dari keluarga dan masyarakat kerana menjalani hukuman; warga tua yang ada keluarga dan yang tiada keluarga yang tinggal dirumah orang tua-tua; yang berpisah sementara kerana tugas untuk negara; dan yang tinggal bersendirian sebatang kara.
Mereka semua sentiasa bersedih dan berduka setiap kedatangan hari raya.
Yang fakir miskin serba kekurangan terutama kepada mereka yang mempunyai banyak tanggongan, hari raya adalah hari kekesalan dan hari kempunan dihati kedua ibubapa. Banyak yang dikesalkan banyak yang kempunan dihati kerana sekian kali telah gagal untuk menceriakan suasana berhari raya untuk anak-anak tanggongannya. Apalah makna hari raya kalau pada hari itu suasana dan keadaannya tidak ada beza dengan hari-hari lain yang serba payah dan susah malah kadang-kadang lebih teruk dari itu.
Apakan tidaknya apabila mereka melihat anak-anak tidak bertukarganti pakaian, pakaian yang sudah lusuh , koyak rabak meliputi anggota badan. Memang menjadi terkilan dihati, ghalat rasanya melihat anak-anak berkeadaan begitu sedangkan kawan sebaya yang melintasi pondok yang senget hampir rebah berjalan penuh bergaya dengan pakaian serba baru beranika fesyen dan warna.
Mereka ialah anak-anak yang juga mempunyai perasaan. Mereka inginkan pakaian yang baru dan cantik untuk digayakan, untuk menarik perhatian siapa saja dengan harapan satu pujian 'comelnya budak ini' atau 'cantiknya baju dan seluar ini'. Tapi bilakah anak-anak itu akan dapat mendengar pujian seperti itu sebagai baja yang boleh menyegarkan jiwa dan perasaan mereka dalam proses membesar untuk menjadi remaja dan dewasa. Sesungguhnya mereka tiada baja yang subur. Mereka membesar di tapak yang gersang dan kosong. Mereka menunggu pengisiaan. Tapi bilakah waktunya? Inilah yang menjadi kempunan dihati kedua ibubapa.
Pengisian inilah yang amat penting.
Jika tiada pengisian, jiwa mereka juga akan menjadi kosong. Tiada apa yang diharapkan untuk satu masa depan yang lebih baik. Sama seperti hari raya yang mereka lalui, tiada makna sama sekali. Putus harapan. Dan kita semua, negara, akan menerima kesan, memalukan dan kerugian sumber manusia yang paling berharga.
Yang paling dikhuatiri sekali jika salah pengisian. Hidup susah dan derita disamping melihat yang lain senang lenang dan gembira sudah tentu memutikkan rasa perbezaan, rasa kecil diri, irihati dan cemburu, benci , buruk sangka terhadap mereka yang melebihi mereka. Semakin hari perasaan itu bercambah subur sehingga melahirkan rasa kecewa untuk menjalani kehidupan yang katanya penuh dengan ketidakadilan dan kezaliman yang dianggap sebagai satu penindasan. Maka memutiklah nafsu marah yang akan memandu kehidupan mereka membenci kepada yang lain yang diterima sebagai musuh.
Unsur-unsur negatif dan buruk memang mudah menyelinap dalam jiwa yang kosong.
Maka pada hari raya yang sebahagian dari kita menyambut dengan penuh ceria dan gembira perlulah kita panjangkan kepada si fakir miskin ini. Ya, ada sebahagian dari mereka menerima bantuan dari berbagai pihak setiap tahun menyambut hari raya. Ada juga yang terlepas pandang.
Tapi rasanya kita boleh buat lebih dari itu.
Sudah menjadi satu tradisi ketika ini masyarakat menyediakan 'wang' untuk diberikan kepada kanak-kanak yang mengunjungi rumah semasa beraya. Tapi pemberian itu hanya kepada mereka yang datang berkunjung saja. Kalau begitu maka sudah pasti anak-anak fakir miskin ini tidak akan datang berkunjung kerumah kita kerana 'siapalah mereka' yang berpakaian compang camping. Lagipun manalah kita mempunyai jiran fakir miskin.
Ertinya kita mesti menemui mereka. Mengunjungi rumah mereka. Ya, kita boleh mengunjungi rumah anak-anak yatim bagi memanjangkan kemewahan kita. Bagus juga. Namun mereka yang tinggal bersama ibubapa yang fakir miskin nampaknya pada masa ini belum lagi mendapat perhatian masyarakat untuk diberi pertolongan. Mereka beraya dengan penuh duka dan kesedihan.
Kita wajar cari mereka.
Sebahagian dari kita juga mengadakan rumah terbuka termasuk rumak terbuka rasmi yang diadakan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan. Maka kalau dapat dibawa bersama sifakir miskin ini kerumah terbuka itu alangkah besarnya dihati mereka.
Mengadakan rumah terbuka dan meraikan sifakir miskin satu cara yang terpuji. Namun diperhatikan juga majlis rumah terbuka itu terdapat unsur-unsur pembaziran. Makanan yang berlebihan terbuang tidak dimakan kerana terlalu banyak dan mewah sekali. Adakan secara sederhana walaupun kita hidup dalam kemewahan. Bukankah lebih baik kita menfaatkan untuk membantu sifakir miskin. Belikan mereka pakaian lebih dari sepasang untuk berhari raya.
Sesungguhnya sifakir dan miskin perlu diberi perhatian semasa kita menyambut hari raya. Ceriakan suasana mereka beraya, gembirakan hati mereka agar mereka tidak kesal dan kempunan dihati apabila melihat anak-anak mereka juga berpakaian cantik dan mampu bibir mengukir senyuman dihari raya.
Oleh itu untuk memudahkan kita berbuat demikian pada sambutan hari raya yang akan datang maka kita adakan pengkalan data orang fakir miskin ini. Kalau tidak dapat bantu semua kita mintalah kawan-kawan kita yang lain tolong memanjangkan kemewahan mereka kepada sifakir miskin ini. Ramai diantara kita yang hidup senang tapi tidak mempunyai peluang untuk membantu sifakir miskin kerana kita tidak tahu dimana mereka.
Harapan kita ialah untuk membantu menceriakan mereka agar mereka sentiasa merasakan tiada beza diantara kita dan mereka. Sudah tentu harapan utama kita ialah supaya mereka akan menikmati kehidupan sama seperti kita , tidak sebagai fakir dan miskin. InshaAllah.
Pengisian kita ialah pengisian kasih sayang bahawa susah mereka adalah tanggongjawab kita yang senang ini. Hanya dengan rasa kasih sayang kita mampu melakukannya.
Kepada mereka selain yang fakir miskin yang berduka dihari raya kita mendoakan mereka agar dikurniakan Allah kekuatan dan diberikan kesabaran mudah-mudahan pada hari raya akan datang suasana ceria akan mengiringi mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan