Assalamualaikum wbt dan Salam Jumaat kepada anda budiman. Semoga semuanya sihat-sihat belaka.
Sudah dua minggu lebih kita beraya. Majlis Rumah Terbuka (RT) masih lagi nampaknya rancak diadakan sama ada dirumah mahupun dipejabat-pejabat. Menghadiri RT ini adalah atas jemputan walaupun nama saja RT tapi tetamu yang datang adalah atas jemputan melainkan RT Rasmi yang dianjurkan oleh Ketua-ketua Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Semua orang, yang terima jemputan dan yang 'walk-in' boleh saja hadir.
Maknanya untuk menghadiri RT biasanya kita akan hanya hadir apabila dijemput melainkan kita buat muka tebal, redah saja asalkan ianya RT. Tapi berapa ramai yang sanggup berbuat demikian.
Pada tahun ini saya juga menghadiri RT atas jemputan. Terdapat dua jemputan kesemuanya. Satu jemputan dari seorang kawan yang menganjurkan dipejabatnya. Satu lagi jemputan dari seorang sahabat yang pernah bekerja sepejabat dulu yang membantu saya dalam hal-hal pengurusan.
Tahun ini dua saja jemputan. Tahun lepas empat jemputan.
Setelah bersara nampaknya jemputan dari setahun kesetahun semakin mengecil berbanding dengan setahun dua bersara. Berbanding dengan semasa berjawatan dulu bilangan jemputan pada tahun ini memberi satu gambaran yang jelas bahawa sebenarnya saya berada di waktu senja.
Waktu senja yang tidak ada cahaya. Jadi susah untuk mereka nak pastikan saya masih ada atau entah kemana. Maka susah bagi mereka untuk memanjangkan jemputan sebab tidak dapat mencari jalan kerumah, tiada cahaya diwaktu senja.
Mengimbau kembali semasa bekerjaya dulu, jemputan ke majlis tidak pernah putus-putus tiba. Bukan satu, tidak juga dua, malah tiga empat dan lima itu masih lagi kecil bilangannya. Bukan saja majlis RT, majlis kahwin, pertunangan, berkhatan dan macam-macam kenduri kendara seperti berangkat ke Mekah dan majlis-majlis lain anjuran masyarakat dan sahabat kenalan sentiasa memenuhi ruang buku ingatan. Apatah lagi majlis-majlis rasmi anjuran Kerajaan purata lebih dari 3 mailis seminggu.
Pada ketika itu, berbagai cara cuba difikirkan untuk tidak hadir sebahagian dari jemputan itu. Tapi masalahnya belum sempat saya mencari helah, ingatan dari tuan rumah atau pihak penganjur telah lebih awal diterima agar tidak mengecewakan mereka : "Harap sudi datang". Ingatan melalui talipon , surat menyurat dan pesan memesan dengan pihak ketiga supaya saya tidak gagal untuk menghadiri jemputan itu. Kadang-kadang terniat juga dihati untuk menutup saja talian talipon supaya tidak dapat dihubungi.
Waktu itu cahaya sentiasa menerangi alam baik malam mahu pun siang. Terang dan cerah saja menunjuk jalan kerumah.
Ketika ini sudah senja, gelap tidak bercahaya. Jalan kerumah susah nak jumpa.
Maka dua jemputan pada tahun ini amat menggembirakan saya sekeluarga. Saya tidak lagi cuba berfikir mencari helah untuk tidak hadir. Sebaliknya sebelum menerima jemputan sentiasa mengharapkan ada kawan yang sudi menjemput saya. Terbalik bukan? Dulu kawan-kawan mengharapkan supaya saya tidak dapat menguzurkan diri dari majlis mereka. Sekarang saya pula mengharapkan supaya mereka tidak lupa menjemput saya.
Begitulah halnya dengan kehidupan yang berwarna-warni. Masa mewah jemputan, buat macam-macam helah tidak mahu hadir. Bila tiada jemputan, sedih pula. Padan muka saya dan muka-muka orang yang mendekati senja. Siapakah yang mahu duduk atau duduk berdekatan dengan tempat yang gelap. Nanti mereka pun akan bersama-sama gelap, gelap masa depan. Lebih baik bernaung atau duduk dibawah cahaya yang terang benderang. Semua boleh kelihatan, boleh melihat dan dilihat. Cerah masa depan.
Harap-harap tahun depan ada juga yang sudi jemput ke RT lagi. Sekian jumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan