Theflowersellingboy

Jumaat, 2 September 2011

Air Mata Kesyukuran : Belum Tiba Masa Ku..2

Sebuah kereta merah Myvi memasuki ruang depan rumah. Mahat muncul dari kereta tersebut. Anak-anaknya yang asyik menonton tv dengan pantas bingkas bangun menuju kearahnya. "Ayah balik bawa kereta, yee kita balik kampong raya", suara gembira keluar dari hati anaknya yang bongsu berusia 7 tahun yang dipanggil Wawa. Mahat tersenyum menumpang keceriaan anak-anaknya yang telah  siap sedia, dari segi perasaan mahupun tubuh badan untuk balik beraya di kampong rumah nenek di Melaka. 

"Dah siap" tanya Mahat pada isterinya Asmah sebaik saja memasuki bilik tidurnya. Asmah sedang berbaring dan memusingkan badan memandang kearah Mahat yang sedang berdiri menunggu jawapan akan persiapan Asmah untuk balik ke kampong. " Dah bang", jawab Asmah malas. Mahat mengesyakki sesuatu yang mungkin mengganggu fikiran Asmah. Tapi Mahat tidak mahu bertanya. Dia tidak mahu memanjangkan kerisauan Asmah itu. Biarkan kerisauan itu berhenti dengan sendiri. Mungkin balik beraya  ke kampong ini akan mereda atau menghilangkan kerisauan Asmah nanti.

"Nak balik raya kampong ke bang?" Asmah dengan perlahan bangun dari berbaring. Malas nampak gayanya. Mahat segera memaling muka kearah Asmah. Matanya tajam merenung wajah Asmah untuk mencari sebab mengapa Asmah menanyakan soalan yang dia sendiri sudah ada jawapan. Lama juga renungan mata bertemu mata. Tapi Mahat masih lagi tidak mendapat meneka apakah yang ada dalam fikiran Asmah. Apakah sebabnya Asmah mengeluarkan soalan semudah itu. "Tu awak dah siap tu", jari telunjuk Mahat mengarah ke satu beg pakaian yang tersandar didinding sebelah almari. Jawapan secara tidak langsung Mahat itu memang difahami oleh Asmah.

Mahat terus ke bilik air untuk mandi.

Asmah masih lagi melayan fikirannya. Dia akan berhadapan dengan ipar duainya di kampong. Khabar berita pada raya kali ini semua yang berada di luar kampong sebahagian besarnya dari Kuala Lumpur akan beraya di kampong di rumah emak mertua. Abang iparnya yang tua yang telah mempunyai 19 cucu akan juga balik sama, kesemuanya; adik ipar seorang hakim akan juga ada bersama dengan anak dan isteri; adik ipar yang meminjamkan kereta Myvi juga turut sama. Kehadiran mereka seronok juga kerana memeriahkan suasana terutama anak-anaknya yang dapat berjumpa dan bermain dengan sepupu mereka. Nampaknya mereka tidak memikirkan taraf ekonomi . Mereka bersuka berkejar ria. Kadang-kadang bergaduh juga, berbaik dan bermain semula. 

Tapi itu anak-anak yang tidak tahu beza membeza. Asmah merasakan dia bukan setaraf untuk bersama dengan mereka. Suaminya hanya lulusan SPMV, seorang buruh mengutip sampah , kerja kotor dan paling rendah sekali. Ipar-iparnya yang lain, paling rendah seorang kerani disebuah Jabatan Kerajaan. Yang lain-lain mempunyai pekerjaan yang baik-baik belaka. Mempunyai rumah sendiri. Kereta sendiri. Mahat suaminya tidak mampu untuk membeli sebuah kereta baru, tidak juga sebuah kereta terpakai Kancil yang terkecil sekali. Balik raya ke kampong terpaksa bermuka tebal meminjam kereta iparnya. Baukan sekali malah telah banyak kali.

"Awak tak siap lagi?" Tanya Mahat dengan wajah yang menunjukkan kerisauan sebaik saja memasuki biliknya selepas mandi. Asmah tidak menjawab. Kakinya melangkah longlai menuju ke almari untuk mengenakan pakaian yang lain.

Matanya memandang lama merenung sepasang pakaian kurung berwarna hijau yang tersangkut diatas ampaian dalam almarinya. Pakaian itu membawa fikiran Asmah kepada sumbangan zakat yang telah diberikan oleh abang iparnya dua tahun yang lepas.

"Tahun ni abang ngah bayar zakat pada kau lah Mahat. Kau pun sekeluarga hidup susah". Itulah kata-kata yang telah dilafazkan oleh abangngahnya kepada suaminya Mahat yang disaksikan kakak iparnya Jamaliah dan anak-anaknya. Asmah duduk bersimpuh dekat Mahat. "Terima kasih bangngah", Mahat dengan rasa sayu menerima wang yang dihulurkan, seribu semuanya. Kakak iparnya juga memberikan lapan ratus ringgit kepadanya sebagai membayar zakat emas. Asmah sungguh terharu. Air mata kesyukuran mula menitisi pipinya. Dengan wang itu dia telah dapat membeli pakaian anak-anaknya dan baju kurung sepasang berwarna hijau.

"Tahun ni abangngah buat ke rumah terbuka keluarga?" Asmah memecahkan kesunyian. Mahat yang sedang mengenakan pakaian dengan segera menoleh pada Asmah. Wajah Mahat sudah mula ceria apabila melihat Asmah mula mengenakan pakaian kurungnya itu sebagai tanda bersetuju untuk beraya di kampong. Tambahan lagi soalan mengenai hari terbuka keluarga di rumah abangngahnya itu, sudah tentu hati Asmah sudah terpaut untuk menghadiri acara pertemuan keluarga itu. "Tak tau pula. Tapi tiap-tiap tahun rasanya, ada" Jawab Mahat dengan harapan menambahkan ceria hati Asmah untuk pulang beraya.

"Pakngah buat rumah terbuka ke Yah?" Tanya anak lelaki yang hanya seorang itu yang telah sedia masuk kedalam bilik mendengar perbualan ayah dan emaknya. Aidil yang baru memasuki tingkatan satu nampaknya tidak sabar untuk balik ke kampong. Yang lain-lainpun ikut sama masuk kerana sudah lama menunggu.  "Entah lah ayah pun tak tau. Ada kot?"  Jawab Mahat segera. Maka mereka, anak-anaknya bersorak gembira . Gembira untuk beratur mendapat duit raya.

Mereka semua telah memasuki kereta. Mahat telah siap sedia untuk memandu menuju keselatan. Doa perjalanan terkumat kamit dibaca. Kereta meluncur meninggalkan rumah mereka. Asmah memandang wajah anak-anaknya. Beralih pula kepada suaminya Mahat yang duduk memandu disebelahnya. Dia, Mahat dan anak-anaknya akan  berkumpul dirumah ibu mertuanya. Tidur bergelimpangan bersama dengan yang lain, bergaul mesra. Cuma Asmah merasakan Dia, Mahat dan anak-anaknya hanya segumpalan butir-butir pasir dalam deretan kilauan permata: emas, intan , berlian dan mutiara. Dia dan keluarganya hanya menerima ikhsan kilauan cahaya permata-permata itu untuk nampak muncul bersama. Air mata kesyukuran mengalir lagi. 'Belum Tiba Masa ku'. Kereta terus meluncur ke selatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan