23 September 2011 Jumaat , 1030 malam , Air Asia mendarat di Lapangan Terbang Pengkalan Cepa Kelantan (LTPC). Kami sekeluarga, isteri, anak-anak, dua menantu dan dua cucu menyewa sebuah exora di LTPC menuju ke sebuah 'homestay' di Kubang Krian.
Esoknya 24 September 2011 menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudara perempuan dengan pasangannya anak teruna dari Kelantan.
Sudah hampir 20 tahun kami tidak menjejak bumi Kelantan. Maka dalam perjalanan dari kediaman ke rumah pengantin lelaki itu yang jaraknya tidak sampai 4 kilo itu saya melihat pembinaan-pembinaan bangunan perniagaan dan rumah kediaman sedang berjalan. Nampaknya Kelantan khususnya kawasan yang kami lalui tidak ketinggalan membangun seperti kawasan-kawasan di negeri-negeri lain di Malaysia.
Tiba dirumah pengantin lelaki yang terletak dalam sebuah kawasan perumahan menghampiri pukul 1 petang. Rombongan kami disambut oleh tuan rumah En.Ridhuan bersama isteri , mengiringi anaknya pengantin lelaki untuk berjalan sama dengan pengantin perempuan menuju kesatu khemah khas yang disediakan. Tiada iringan kompang atau rebana . Dan tiada juga persembahan dari silat pulut atau silat pengantin. Tiada juga taburan beras kunyit. Terdengar lagu hari raya yang dimainkan. Mungkin kita masih beraya lagi.
Sampai di khemah khas kami dipersilakan mengambil tempat mengiringi kedua mempelai. Oleh kerana jumlah yang menyertai rombongan agak ramai juga maka ada sebahagian dari kami duduk bersama dikhemah tetamu yang lain.
Suasana majlis perkahwinan di sini agak berbeza dari tempat kami. Ianya agak sederhana. Jam satu petang tetamu mulai datang. Jumlah yang berbaris untuk mengambil makanan tidaklah bersesakan. Tidak seperti yang biasa kita lihat dimajlis-majlis perkahwinan di negeri-negeri di pantai barat semenanjung terutama di waktu ini yang dianggap sebagai waktu puncak, ramai yang berdiri menunggu kerusi dikosongkan.
Kami dipersilakan menjamu hidangan yang berbagai jenis termasuk kuih muih. Saya merujuk kepada pengantin lelaki yang duduk berdekatan menanyakan sesuatu tentang makanan yang dihidangkan. Ada yang dapat diterangkan dan ada yang dia sendiri tidak pasti malah tidak tahu nama makanan yang dihidangkan. Ada satu jenis makanan pada hemat saya adalah sejenis kuih. Tapi anak mengatakan ianya salah satu lauk pauk, mungkin ikan. Setelah dirujuk kepada pengantin lelaki beliau sendiri tidak tahu. Wah ada sedikit rasa kecewa.
Akhirnya saya cuba rasa. Memang benar ianya sejenis kuih. Rasanya amat manis sekali. Saya rasa ianya dari buah labu yang telah disira dengan gula. Cuma saya tidak mengesahkan dengan tuan rumah.
Kami semua menjamu selera. Saling pandang memandang wajah tuan rumah yang sungguh gembira dan manis sekali , semanis kuih labu yang saya rasa, semanis hidangan yang kami sama-sama jamu selera.
Saya dimaklumkan majlis ini berpanjangan sehingga malam, mungkin sampai pukul 8 tetamu masih datang. Tetamu datang runcit-runcit. Berbeza ditempat saya. Paling lama sampai jam 4 petang. Kadang-kadang pukul 3 kerusi meja telah dikemaskan. Tetamu yang terlambat datang terpaksa pulang begitu saja.
Kami sekeluarga mengambil peluang melawat beberapa tempat yang pernah kami kunjungi dulu. Pertama ke Pantai Cahaya Bulan. Ianya telah berubah. Pantainya tidak seperti dulu dimana dari resort tempat kami tinggal dulu kita boleh terus ke pantai. Ketika ini ada timbunan batu-batu besar. Tidak ramai orang digigi air. Terdapat banyak gerai-gerai menjual makanan dan sebuah tandas awam. Yang menariknya tandas awam itu bersih sekali tidak seperti setengah tempat yang menjijikkan. Tahniah PCB.
Sebelah malam makan di sebuah restoran yang bernama Chim Chum, restoran Thai. Makan ala stimbot. Rasanya sungguh enak sekali. Harganya amat munasabah RM18.00 satu kepala. Boleh makan sepuas-puas hati. Disini manisnya tidak menyengat seperti disiang hari tadi.
Keesokan hari ke Rantau Panjang. Sepanjang perjalanan banyak perubahan telah berlaku. Banyak bangunan yang baru dan cantik yang dapat kami lihat. Singgah di Pasir Mas untuk sarapan pagi. Kami semua memang berhajat untuk makan nasi dagang. Alhamdulillah disebuah gerai makanan, nasi dagang sedia menunggu. Kami memesan nasi dagang dan dua keping roti canai dan air milo. Kami makan begitu menyelerakan tambahan lagi tuan punya gerai begitu mesra sekali. Tutur kata dan budi bahasanya sungguh manis sekali, semanis hidangan nasi dagang dan roti canai.
Di Rantau Panjang membeli beberapa helai pakaian. Tidak banyak perubahan cuma tempat menjual telah bertambah besar.
Balik ke Kota Baru. Singgah makan tengah hari di restoran yang menyediakan hidangan nasi kukus. Sah, rasa manis tidak boleh dipisahkan dalam masakan orang Kelantan. Kami terus nikmati yang manis itu. Lagi pun itu lah yang sepatutnya yang perlu kami lalui merasai cita rasa dan keistimewaan hidangan orang tempatan.Kalau nak makan yang pedas-pedas saja ia tidak bermakna. Baik duduk dirumah saja.
Dalam kunjungan kali ini kami dapat saksikan sendiri bahawa sesungguhnya Kota Baru telah banyak berubah. Pembangunannya rancak sekali. Banyak bangunan-bangunan perniagaan dan hotel besar tersergam tidak seperti dulu. Dulu hotel yang terkenal hanya Hotel Temenggong dan Perdana. Sekarang telah ada hotel rangkaian antara bangsa seperti Hotel Reverview.
Maknanya Kota Baru juga berkembang sama seperti bandar-bandar lain tidak seperti gambaran yang dipaparkan dalam media arus perdana sama ada media cetak mahu pun elektronik. Mereka mewarwarkan bahawa dibawah pemerintah PAS, Kelantan termasuklah Kota Baru tidak berkembang. Mata yang melihat menafikan berita itu, 'seeing is beleiving', benarlah apa yang saya lihat bahawa Kota Baru juga berkembang pesat.
Hanya cuma ada juga kekurangannya. Bukan dari segi orangnya kerana orangnya baik-baik berbudi bahasa semanis makanan yang dihidangkan tapi Kota Baru kurang menekankan keindahan sekitar. Pokok dan bunga-bungaan yang menghijau dan mewarnai Bandar itu tidak kelihatan. Sepanjang jalan di dalam bandar, ke Rantau Panjang dan ke LTPC lankskapnya masih ketinggalan berbanding dengan bandar-bandar lain di pantai barat. Begitu juga dari segi kebersihan, masih perlu dipertingkatkan. Dirumah tempat kami tinggal, sebuah rumah banglo yang baru dan cantik binaannya tidak dihiasai dengan landskap yang cantik. Penuh dengan rumput yang panjang dan tidak terdapat sebarang tanaman bunga hiasan menyeri rumah.
Bandar Kota Baru sesak dengan kenderaan walaupun kesesakan tidak sehebat Kuala Lumpur tapi kesesakan kenderaan itu telah melengahkan kami untuk sampai ke LTPC. Kami diberi tahu perjalanan dari tempat tinggal di Kubang Krian mengambil masa antara 10-15 minit saja. Tapi dengan kesesakan lalu lintas kami telah mengambil masa 30 minit. Nasib baik kami dibenarkan untuk menaikki pesawat dengan syarat kami sendiri membawa beg-beg kami kerana kaunter bagasi telah ditutup.
Ini sebagai petanda bahawa Kora Baru juga sedang membangun.
Kesan kunjungan kami ke Kelantan khususnya Kota Baru adalah yang manis-manis belaka. Orangnya yang cantik manis, bertutur lembut dan berbudi bahasa. Adakah makanan yang manis-manis menjadikan mereka begitu? Tapi kalau banyak makan yang manis ada risiko pula, diabetes. Macam mana pun itulah kesan lawatan kami ke Kelantan Yang Manis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan