Theflowersellingboy

Rabu, 14 September 2011

CERITA/BERITA YANG MENJEMUKAN

Cerita atau berita yang memasyhurkan perasaan kebencian dan permusuhan antara kaum, sesama kaum, antara agama , sesama agama, antara parti politik, sesama ahli parti politik , antara NGO, sesama ahli NGO, antara dua negara, antara kumpulan negara, dan  antara manusia sesama manusia sudah menjadi satu amalan dan basahan, dan bukan kekecualian, di Malaysia dan diseluruh pelusuk dunia. 

Bilangan yang cenderung untuk membangkitkan perasaan kebencian dan permusuhan itu adalah kecil berbanding yang mahu hidup aman damai dan harmoni. Tapi bilangan yang kecil itu mempunyai pengaruh yang besar. Maknanya kesan yang boleh ditimbulkan adalah amat menakutkan sekali. 

Yang menjadi perawi, pembawa, penyampai dan pengembang cerita atau berita itu seolah-olah tidak mempunyai kisah lain untuk dicerita dan di beritakan. 

Otak mereka hanya berminat untuk memikirkan tentang bagaimana cara dan apakah cerita/berita yang boleh menimbul dan meransangkan rasa kebencian dengan menggunakan fakta dan maklumat yang tidak mudah di nafikan kebenarannya. Cuma hasratnya bukan untuk mencari penyelesaian tapi lebih kepada menimbulkan rasa kebencian.

Ambil saja contoh di Malaysia. Berita dan cerita yang tidak pernah gagal dibaca , didengar, di pertontonkan dan disebarkan pada setiap hari dalam apa saja media penyiaran  adalah perasaan benci membenci , iri hati, dan permusuhan. 

Sentiasa dimasyhurkan bahawa kaum ini mendapat layanan istimewa, kaum  ini anak emas bertaraf warga negara kelas satu dan kaum ini dapat berbagai-bagai perlindungan. Itu cerita dari satu pihak.

Cerita dari pihak yang lain pula menyatakan kaum itu terlalu tamak, sudah kaya masih lagi tidak berpuas hati mahu bolot segala-galanya.

Maka disemarakkanlah rasa kebencian dengan merujuk kepada  berbagai contoh tahap kehidupan , pegangan dan pemilikan dan penguasaan-ekonomi, politik, pelajaran. Statistik menjadi alat yang ampuh membantu menyemarakkan perasaan itu. Paling malang sekali agama diheret bersama.

Setiap hari diulang berita, diulang cerita, diulang tayang dan diulang papar, dan sudah pasti ada berbagai tambahan untuk mempertebalkan lagi rasa kebencian.


Hal sedemikian dibuat oleh semua kaum dan pihak tidak ada kecuali. Mahu pun dianya kaum Melayu, Cina atau India. Mahu pun dianya dari pihak Kerajaan atau yang menjadi Pembangkang. Sama saja minatnya. Begitu juga Badan Bukan Kerajaan yang lebih dikenali sebagai NGO. Apapun falsafah dan matlamat yang tersurat, Badan ini juga terbabit dalam menyemarakkan kebencian. 


Pihak yang terlibat dalam penyiaran telah menyebabkan perasaan benci dan permusuhan ini berkembang luas. Penyiaran dalam bentuk cetakan, elektronik, tulisan dan lisan. Alam siber semakin membuka dan meluaskan ruang penyiaran maka semakin bertambah ramai yang dapat merasai dan mengikuti cerita-cerita kebencian itu. Jumlahnya bertambah hari ke hari.


Soalannya : 

Apakah kita tidak jemu-jemu dengan berita dan cerita itu. Tidak jemu menyiarkan, menyebarkan, mengarang, mereka cipta, menulis, membaca, menonton dan membisikkan ditelinga cerita dan berita itu?


Sampai bila kita mahu buat begitu?


Apabila pihak yang bertentangan menuding jari pada kita, kita tidak suka dan marah. Kemudian kita menuding jari kepada mereka, kita marah jika pihak yang kena tuding itu marah kepada kita.  Apakah ada bezanya kita dan dia?

Adakah untuk survival kita perlu buat begitu. Survival bangsa kita, puak kita, kaum kita, agama kita, parti politik kita dan orang kita?

Siapa kah itu kita?

Siapa kah pula dia? 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan