Theflowersellingboy

Selasa, 13 September 2011

Malaya Tidak Pernah Dijajah British? Satu Penilaian Baru Sejarah Tanah Air.

Tahniah kepada Saudara Mat Sabu. 

Untuk  apa? 

Mat Sabu seorang ahli politik. Pada saya Mat Sabu telah menang dari dua segi. 

Pertama dari segi bidang yang diceburi iaitu politik. 

Walaupun ada setengah pihak, khususnya musuh politiknya melalui berbagai saluran media, yang perdana dan yang siber, cetak dan elektronik telah dan sedang cuba bermati-matian mengasak dengan berbagai cara dan propaganda bagi mengkominiskan beliau; mengheret anggota/bekas pasukan keselamatan terutama ahli keluarga yang terlibat dalam peristiwa Bukit Kepong yang masih hidup untuk menyerang dan memusuhi Mat Sabu;  dan membuat  laporan polis; membuat berbagai ugutan dan yang paling gila dan tidak masuk akal mendesak agar kerakyatan Mat Sabu di lucutkan, namun beliau masih lagi dengan gagah berdiri dan berani serta yakin mempertahankan apa yang telah diucapkan.

Dan Mat Sabu tidak keseorangan.  Dan tidak juga orang percaya beliau seorang kominis termasuk yang mengkominiskan beliau. Melihat wajah Mat Sabu, sifat dan kelakuannya beliau hanya  ada ketokohan sebagai pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan tidak ada langsung tokoh kominis. 

Gagallah propaganda pihak yang memusuhi beliau.

Yang menyokong Mat Sabu telah bertambah bukan saja dari ahli-ahli partinya bahkan dari orang-orang Melayu yang mahukan kepada kebenaran. Sokongan dari orang bukan Melayu juga bertambah. 

Saya tiada statistik yang dapat menyokong kenyataan ini. Cuma saya terlalu yakin dan percaya khususnya kepada orang Melayu bahawa mereka tidak akan percaya Mat Sabu seorang kominis atau menyokong kominis. Mereka tidak mahu terlibat dalam pembohongan. Tidak mahu buat dosa kering. Sekurang-kurangnya diri saya yang dulunya tidak ada langsung terbayangkan wajah Mat Sabu.


Media Arus Perdana perlu juga ingat bahawa orang Melayu termasuk ahli UMNO pun tidak boleh disuapkan begitu saja. Mereka akan mendengar dan yang paling penting berfikir. Mat Sabu kominis? Mengarut , jawab mereka. 

Yang buat laporan polis, yang menentang Mat Sabu adalah atas kepentingan politik dan peribadi , dan bukan menilai ucapan Mat Sabu itu dari sudut mencari kebenaran.


Kalau apa yang diucapkan itu tidak benar apakah kita perlu buat penyelesaian secara ugutan: buat begitu banyak laporan polis dan mendesak kerakyatan dilucutkan. Apa kah kerakyatan negara kita ini terlalu murah, mudah diberi dan mudah dilucut? 

Beri pandangan yang tidak sealiran dengan pandangan pihak berkuasa maka kita sudah buat satu kesalahan yang terlalu amat besar yang layak dilucutkan kerakyatan? Gila sungguh.


Mat Sabu mengatakan Mat Indera pejuang kemerdekaan. Pandangan ini tidak sama dengan pandangan yang telah dirakamkan oleh ahli sejarah. Maka timbul perbezaan. 


Saya nampak apa yang Mat Sabu hendak sampaikan ialah bahawa Mat Indera itu menentang penjajah iaitu British. Serangan keatas Balai Polis itu sebenarnya sebagai serangan keatas penjajah British kerana yang menjadi tuan ketika itu ialah British walaupun anggota polis sebahagian besarnya orang Melayu. 

Maka berlaku pembunuhan keatas anggota polis Melayu itu. Ini tidak bermakna Mat Indera hendak bunuh anggota polis Melayu itu. Yang disasarkan tuannya, orang putih. Malangnya yang bertuankan orang putih, yang mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong dibawah takluk British itu ialah oarang Melayu. Maka terjadilah pertembungan dengan mereka.

Tapi mengapa Mat Indera sanggup bersekongkol dengan Kominis? Tanya pihak yang mempersoalkan  Mat Sabu.

Saya juga amat tidak bersetuju cara Mat Indera yang bersekongkol dengan kominis ini sekiranya benarlah begitu. 

Tapi saya ingin juga bertanya kenapa pula kita sanggup bersekongkol dengan British yang menjajah negara kita? British yang telah mengaut khazanah negara kita.

Sehingga sekarang cerita Mat Sabu ini sentiasa menjadi tajuk/bahan berita. Yang memusuhi beliau sudah tentu menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak baik. Penyokong beliau khususnya ahli-ahli PAS akan tetap mempertahankannya. Yang paling penting ialah mereka yang mahu berfikir yang mahu melihat kebenaran.

Melihat kebenaran bukan bermaksud menyebelahi Mat Sabu kerana belum tentu apa yang dikatakannya benar atau salah. Tidak juga bermaksud mengatakan kerajaan dipihak yang salah atau benar.  Mereka yang mahu berfikir suka melihat supaya apa yang dikatakan Mat Sabu itu dibuat hujahan misalnya seperti orang berhujah dalam mempertahankan thesis mereka atau satu perdebatan atau perbincangan.

Saya mempunyai anggapan bahawa mereka yang mahu berfikir ini tidak mudah dipengaruhi oleh mana-man pihak. Rasa-rasanya bilangan mereka ramai juga.


Dengan demikian perdebatan (walaupun saya tidak cenderung kaedah ini, saya lebih memihak kepada perbincangan dikalangan yang terlibat dan pakar-pakar sejarah) , wajar diteruskan. Kedua-dua pihak jangan buat macam-macam alasan dan syarat, hanya mahu berdebat dengan yang setaraf saja atau dengan orang itu saja. Cara begitu namanya cara mengelak diri.

Apa kata saya cadangkan perdebatan itu melibatkan Timbalan Presiden UMNO, Ketua Wanita UMNO dan Ketua Pemuda UMNO dengan Timbalan Presiden PAS, Ketua Muslimat PAS dan Ketua Pemuda PAS.  Apa macam setuju? 
 
Oh tunggu dulu , kata prof. Zainal Kling dan disokong oleh Tun Mahathir bahawa Malaya tidak pernah dijajah, hanya diberi perlindungan saja oleh British. 

Dengan sebab itu tidak timbul soal berunding untuk merdeka.  Lantas perbincangan bukan cara yang wajar jadi pilihan. Macam British dulu yang ada kuasa, kita pun ada kuasa, jadi kita ugut mereka, buat banyak laporan polis, nyahkan mereka bila kerakyatan terlucut!

Oleh kerana tidak ada perundingan untuk kemerdekaan maka jalan penyelesaian dengan Mat Sabu pun dibuat secara ugutan. Begitu ke? Cantik dan molek sungguh orang-orang yang mempunyai pemikiran seperti ini!

Saya percaya bilangannya tidak ramai. Tapi kalau bilangannya dikatakan ramai maka saya anggap orang itu terdiri dari golongan seperti yang digambarkan dalam cerita Nujum Pak Belalang. 

Walaupun tidak nampak pencuri , tapi kerana takut dikatakan jadi anak luar nikah maka semuanya mengaku bahawa memang benar mereka nampak pencuri dalam bekas air telekan ahli nujum. 

Sebab itu sekarang ini kalau yang berkuasa kata bahawa yang putih itu hitam dan yang hitam itu  putih maka pengikut/kuncu-kuncunya akan mengangguk mengatakan benar begitu. 

Tapi dalam konteks hari ini mereka tidak kisah tentang jadi anak  luar nikah. Yang mereka penting ialah  'masyuk', projek ada 'masyuk' kah? 


Kejayaan kedua Mat Sabu ialah mengajak masyarakat untuk sentiasa berfikir akan sejarah kemerdekaan negara khususnya mereka yang terlibat dalam memperjuangkan kemerdekaan. Bukan hanya dimonopoli oleh satu pihak saja. Ertinya satu penilaian yang jujur perlu dibuat.

Oleh kerana Prof. Zainal kata kita tidak dijajah saya ingin bertanya:


i) Apa makna merdeka.
ii) Mengapa ada peristiwa bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Malaya dinaikkan mengganti bendera Union Jack


Ada banyak lagi. Tapi cukup dua saja.

Mat Sabu tentang British sebab British adalah penjajah. Takkan UMNO tidak tentang British melainkan UMNO yakin dengan kata-kata Prof. Zainal bahawa British tidak menjajah kita.UMNO boleh sekongkol dengan mereka. Mustahil bukan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan