Assalamualaikumwbth dan Salam Jumaat kepada anda budiman semoga semua dikurnia Allah kesihatan tubuh badan dan akal fikiran.
Sudah seminggu lebih kita beraya. Majlis Rumah Terbuka masih lagi berterusan.
Hari ini seorang sahabat telah sudi menjemput untuk hadir majlis yang serupa dipejabatnya/syarikatnya. Jadi boleh juga kita panggil Pejabat Terbuka Hari Raya. Tidak kisahlah Rumah Terbuka atau Pejabat Terbuka ke, majlis itu tetap bertujuan sama iaitu meraikan tetamu-tetamu sempena hari raya .Makan percuma. Apa saja yang terhidang boleh saja dijamah.
Agak ramai juga tetamu yang dijemput. Sebahagian besar adalah pekerja-pekerja syarikat atau yang ada kaitan dengan syarikatnya dan pelanggannya melainkan saya. Saya hanya dijemput atas dasar persahabatan saja.
Majlis itu sederhana tapi ceria kerana ramai tetamu yang datang silih berganti.
Maka sempat juga saya bertanya tentang keberhasilan syarikatnya itu walaupun saya dapat meneka bahawa syarikatnya telah meraih keuntungan dalam perniagaan yang dijalankan. Tahun ini saja telah beberapa kali beliau makan angin ke luar negeri. Dan pada akhir bulan ini akan ke England pula bersama isteri , melancong.
'Ah, alangkah seronoknya kalau perniagaan kita berjaya. Boleh melancong kemana kita suka'. Kata hati saya yang tidak dapat didengar oleh sahabat itu.
Sahabat itu tersenyum. Kemudian bercerita bahawa 'jatuh dulu baru tahu sakit'.
Maknanya untuk berjaya kita mesti rasa kesakitan atau susah payah. Dalam dunia perniagaan membawa makna mesti hadapi risiko rugi dan muflis. Kemudian katanya barulah otak kita berputar-putar memikirkan cara bagaimana untuk bangun. Katanya kita jatuh mesti bangun.
Untuk bangun pula tambahnya lagi mesti ada yang meransangkan semangat kita untuk bangun. Dan bagi sahabat saya itu ransangan diperolehi daripada ank-anaknya. Katanya semasa anak-anak sedang tidur, isteri sedang lena ketika itu lihatlah wajah mereka , renung baik-baik dan fikirkan masa depan mereka. Kita jatuh jangan bawa mereka semua jatuh.
Dengan sikap dan pendirian seperti itu kekuatan untuk mencari jalan bangun semula akan segera menguasai diri kita. Maknanya kita mesti mencari kekuatan dari sumber diluar dari diri kita tetapi dekat dihati, iaitu anak dan isteri.
Saya tidak mahir atau bukan tahu sangat dunia perniagaan. Tapi kata-kata sahabat itu boleh juga kita renung-renungkan atau diguna pakai jika kita mahu berjaya dalam perniagaan.
Mungkin falsafah yang sama boleh diaplikasi dalam bidang-bidang yang lain seperti bidang pelajaran. Sekali gagal dalam peperiksaan kita tidak boleh kecewa, usaha lagi. Lihatlah wajah kedua ibubapa kita yang terlalu berharap akan kejayaan kita. Berbekalkan kegagalan itu cuba lagi. Rasa-rasanya berjaya.
Sahabat saya mengakhiri ceritanya bahawa orang yang berjaya itu adalah orang yang pernah jatuh, dan sanggup bangun semula. Cuma katanya kita mesti mencari sumber kekuatan bukan saja dari kita bahkan dari pihak lain terutama yang dekat dihati kita yang kita sayang. Tambahnya lagi kalau tidak percaya tanyalah kepada orang sedang bercinta: "Sanggup buat apa saja walaupun menyeberangi lautan api".
Saya tersenyum saja kerana zaman remaja telah berlalu. Yang masih memberi kekuatan dan semangat ialah kasih sayang dari isteri, anak-anak dan cucu-cucu. Merekalah menceriakan hidup saja. Anda bagaimana?
Kalau jatuh , bangun semula tentu berjaya. Tapi jangan sebarang jatuh, papa dibuatnya.
Jumpa lagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan