Dulu dan sekarang adalah satu ukuran masa atau tempoh yang tidak jelas batas pemisahannya. Tempoh atau masa yang mana termasuk dalam tafsiran dulu dan sekarang mungkin berbeza diantara seorang dengan yang lain. Ianya tidak semestinya membawa pengertian dan tafsiran yang sama antara individu.
Oleh itu garis pemisahan diantara tempoh atau masa dulu dan sekarang adalah bergantung kepada individu itu sendiri dengan menghubungkan usianya pada masa kini dengan yang lepas.
Yang hendak diperkatakan ialah tentang anak-anak dulu. Tentang kedudukan , peranan dan hak mereka sebagai anak-anak.
Pertama, anak-anak yang mempunyai keupayaan tenaga akan bersama-sama membantu dan melakukan apa saja kerja atau tugas yang diminta oleh emak dan bapanya.
Kedua , anak-anak hanya mendengar dan menuruti apa saja kata dan suruhan kedua ibubapanya. Mulut mesti tidak boleh berkata apa-apa walaupun sekadar memberi pandangan sebagai pilihan dalam menguruskan sesuatu tugas. Yang dikata oleh ibu bapa terutamanya bapa adalah mutlak benar dan mesti di patuhi.
Ketiga, dalam banyak hal anak-anak adalah juga 'kepunyaan' mereka yang lebih tua termasuk bapa/emak saudara dan masyarakat. Mereka ada hak untuk menasihati, menegur, memarahi mahu pun merotan anak-anak yang pada pendapat mereka melakukan sesuatu yang salah atau tidak disukai.
Keempat, anak-anak mesti mengasing dan memisahkan diri dari mencampuri urusan orang tua-tua. Tidak boleh hadir dan turut serta mendengar perbincangan dikalangan orang dewasa/tua. Anak perempuan tempatnya didapur saja.
Kelima, hukuman atau denda dalam berbagai bentuk boleh saja dilakukan tanpa memberi tahu sebab mengapa hukuman itu dibuat. Tidak ada hak untuk didengari. Hanya layak mendengar apa yang diperkatakan oleh ibubapa.
Keenam, anak-anak yang dihantar mengaji agama dan ke sekolah akan diserahkan dengan pesanan dari ibubapa kepada ustaz atau guru berbunyi 'saya serahkan sepenuhnya anak saya dibawah jagaan ustaz/cikgu. Kalau dia buat salah, ustaz/cikgu boleh memukulnya tapi jangan sampai luka parah cukuplah'.
Ketujuh, anak-anak perempuan segera dikahwinkan walaupun mempunyai keupayaan untuk meneruskan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi.
Dan banyak lagi yang perlu dilalui oleh anak-anak dulu dalam proses membesar menjadi dewasa. Yang pasti kedudukan, peranan dan hak mereka adalah ditentukan oleh yang lebih tua terutamanya ibubapa. Mereka tiada pilihan, mesti taat dan mendiamkan diri bersetuju.
Cuba bandingkan dengan apa yang dilalui oleh anak-anak sekarang. Sesungguhnya ianya terlalu berbeza sekali. Kedudukan, peranan dan hak mereka lebih terbela dan dibela. Dan kadang-kadang mereka menjadi terlalu manja, berat tulang dan tiada rasa belas kasih untuk membantu atau menolong kedua ibu bapa, malas semalasnya dan tidak kurang yang derhaka melawan kedua ibubapa.
Anak-anak dulu nampaknya seperti terseksa dan didera. Tetapi mereka tidak pula menaruh perasaan benci dan dendam terhadap kedua ibubapa yang membentuk peribadi dan perwatakan mereka dengan cara yang boleh ditafsirkan sebagai menyeksa mengikut piawai dan undang-undang yang melindungi mereka ketika ini.
Nampaknya ada baik juga cara dulu, cara autokratik ibubapa berbanding cara yang demokratik pada ketika ini.
Kalau prinsip yang sama, maksudnya secara autokratik dipakai untuk mengurus negara bagaimana.? Bagus juga ke?
Cuma saja nakal bertanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan