Theflowersellingboy

Rabu, 28 September 2011

Kita Mesti 'Cool', Sentiasa Cool.

Sekarang ini satu kecenderungan baru telah timbul . Kecenderungan untuk menjadikan diri atau supaya diri itu dianggap atau cuba mendapatkan pengiktirafan tentang satu keterampilan diri yang dipanggil sebagai 'cool'. Ramai yang mahu melihat diri mereka dikatakan sebagai bersifat cool. 

Memiliki cool adalah sesuatu yang dicari-cari. Ia merupakan satu modal yang amat penting dalam memajukan diri supaya lebih diminati, lebih disenangi dan sebagai lonjakan untuk menjadi lebih popular. Ringkasnya cool ini  boleh digunakan untuk meraih sokongan agar lebih ramai orang atau golongan/kumpulan berpihak kepada kita. 


Kelihatan untuk menjadi cool kita mesti pandai menyesuaikan diri dengan kehendak atau kecenderungan sesuatu situasi dan suasana, orang  atau kumpulan orang. Maknanya kita mesti pandai melakukan berbagai watak yang sejalan dan serasi dengan kehendak itu. Misalnya jika kita berada dikalangan anak muda maka perlakuan kita adalah perlakuan yang memang menjadi basahan anak-anak muda itu. Mereka suka berkonsert maka kita perlu sama menghadiri konsert itu untuk mendapat pengiktirafan dari mereka bahawa kita adalah bersama mereka, denyut nadi mereka adalah juga denyut nadi kita.  Barulah kita dikatakan cool.

Dulu orang selalu mengatakan bahawa perlakuan kita itu sebagai 'boleh ketengah dan ketepi'. Ertinya apa saja posisi tidak menjadi masalah bagi kita untuk menyesuaikan diri. 

Maka bersifat cool ini adalah satu alat yang amat baik jika digunakan oleh orang-orang politik. Sebenarnya orang-orang politik telah lama menggunakan sifat cool ini. Cuma mereka menggunakan secara bermusim. Musim yang mudah kelihatan ramai orang politik menjadi cool ialah musim pilihanraya. Semuanya cool saja.     


Maka ketika musim pilihanraya, orang-orang politik ini akan buat apa saja. Sekiranya anda berpenyakit kudis gatal misalnya, anda jangan khuatir kerana orang-orang ini tidak akan takut dan merasa jijik untuk mendekati anda, malah sanggup memeluk tubuh anda dan memegang tangan anda begitu lama semasa bersalam sebagai tanda keperihatinan mereka terhadap diri dan penyakit anda. Masa bersalaman sudah tentu salam yang berisi.


Jika anda mempunyai anak-anak , dan ramai pula , kesemua mereka akan mendapat sentuhan kasih sayang dari orang politik ini. Malah jika ada yang kecil maka anak itu akan dikendong, didukung dan dibelai dengan penuh 'manja dan kasih sayang' yang ada diantaranya tidak pernah mereka lakukan kepada anak-anak mereka sendiri. Sesungguhnya mereka itu cool.


Jangan risau kalau anda seorang pengidap kencing manis yang terpaksa dipotong sebahagian dari kaki anda untuk dapat berdiri bersalaman dengan mereka. Jika anda seorang lelaki atau makcik/nenek tua, dan orang politik itu seorang lelaki, anda akan didukung dari bilik anda ke serambi misalnya untuk berbual mesra bertanyakan hal kehidupan anda dengan penuh perihatin dan simpati. Sudah tentu anda akan dijanjikan dengan kaki palsu untuk membolehkan anda berjalan seperti biasa.

Cuma anda tidaklah dapat melihat mereka datang dengan kereta mewah besar cantik berkilat. Bukan mereka takut anda akan meminta untuk menaikki kereta cantik besar itu tapi mereka mahu sama-sama merasai denyut nadi anda. Cukuplah mereka pakai kereta kecil lagi buruk. Dan kadang-kadang berbasikal.


Banyak lagi perlakuan-perlakuan cool dimusim pilihanraya.

Perdana Menteri kita juga nampaknya cenderung untuk bersikap cool. Sebaik saja menjawat jawatan itu, beliau telah memulakan acara coolnya dengan berjalan bersama rakyat misalnya di Brickfields dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur. Baru-baru ini beliau bercanda dengan seorang DJ dari sebuah stesyen radio. Beliau menghadiri konsert Suara Kami yang mendapat sambutan hangat dari anak muda. Beliau berbasikal di Pulau Pinag dalam progaram mengutip derma pendidikan. Dan beliau menaikki bas ke satu majlis perkahwinan. Beliau cool nampak gayanya.


Bagus kalau kita jadi orang yang menerapkan nilai-nilai atau perlakuan cool. Ramai yang menyukai kita, ramai yang menyebelahi kita. Cuma cool seperti diatas adalah cool berbentuk sandiwara. Apabila berbentuk sandiwara ianya tidak sejati. Apabila tidak sejati tanpa kita sedari sebenarnya kita tidak cool. Misalnya kita diminta untuk menanam pokok dalam program menghijaukan persekitaran dalam sebuah perkampongan orang miskin. Maka untuk tangan kita tidak menjadi kotor maka kita pakai sarung tangan untuk memegang dan memasukkan anak pokok itu kedalam lubang yang disediakan. 

Anda tidak cool dimata orang miskin jika anda berbuat begitu. Anda melakukannya kerana itulah yang sebenarnya yang menguasai kehidupan anda. Tangan mesti bersih dan dilindungan dari kekotoran.


Cool anda adalah cool sendiwara.

Sekiranya contoh diatas dianggap remeh dan masih kurang jelas tentang cool bersifat sendiwara ini cuba fikirkan keadaan berikut. 

Anda mahu menunjukkan anda cool dalam hal menaikki pengangkutan awam untuk menuju sesuatu destinasi seperti yang dilakukan oleh sebahagian besar orang. Mahu merasai ketidakselesaan perjalanan seperti orang lain.


Tapi anda telah biasa dengan yang selesa. Oleh itu kenderaan atau pengangkutan yang anda naik itu anda ubahsuai untuk memberi keselesaan pada anda dan rombongan. 


Ya, anda menaikki pengangkutan awam, sama seperti orang lain. Baguslah, anda cool . Cuma anda masih lagi selesa ke destinasi anda. Orang lain masih tidak selesa. Maka anda tidak cool sebenarnya. 


Misalan diatas nampaknya mempunyai persamaan apa yang telah kita diberitakan tentang perjalanan Perdana Menteri kita itu ke destinasi majlis kahwin. Cool ke?


Maknanya kita mesti cool dan sentiasa cool. Bukan cool yang bermusim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan