Sayanglah Jantung Mu kerana jika dia berhenti berdenyut maka kita tidak sempat untuk mengucapkan 'selamat tinggal dunia kesayanganku'. Kita berpindah kesatu alam yang baru, kekallah disana sehingga tiba masanya dibangkitkan semula.
Mukadimah saya itu macam dalam sebuah drama.
Sebenarnya itulah yang sebahagian besar dari kita hadapi ketika ini, sakit jantung. Sakit jantung atau cardiovascular disease (CVD) adalah merupakan pembunuh angka satu di Malaysia. Umur purata rakyat Malaysia yang diserang jantung ialah pada usia 59 tahun, tujuh tahun lebih cepat ( awal) dari purata umur orang Barat iaitu pada usia 66 tahun. Malah mereka berusia muda juga tidak kecuali dari serangan jantung.
Selain dari keturunan, sebahagian besar sakit jantung ini buatan kita sendiri, cara kita menjalani dan menguruskan diri, gaya hidup kita (lifestyle).
Ringkasnya apa yang kita makan dan bagaimana pula kita menguruskan anggota badan kita yang telah kita bajai dengan makanan kita itu.
Kita makan yang berlemak, hisap rokok, makan tidak seimbang, minum minuman keras? Kita tidak melakukan senaman atau bersukan secara konsisten? Semuanya itu dilakukan dalam tempoh yang begitu lama tanpa kawalan?
, dan apabila sampai umur 59 tahun kita bakal menjadi calun sebagai pesakit Institut Jantung Negara (IJN).
Kalau soalan-soalan diatas memberi jawapan ya, maka anda berpeluang menjadi seperti saya, sakit jantung: saluran darah tersumbat. Dan hanya saya sedar ketika berumur 54 tahun. Dan apabila sampai umur 58 tahun saya terpaksa menjalani pembedahan untuk membuat pintasan jantung atau Coronary Artery Bypass Graft (CABG), yang selalu orang sebut sebagai 'bypass'.
Mengenang semula masa yang berlalu, makanan yang saya makan dan cara menguruskan diri menjaga kesihatan anggota badan maka saya sahkan bahawa itulah yang menyebabkan saya diserang sakit jantung, khususnya saluran darah tersumbat. Gaya hidup saya yang terlalu suka makanan yang berlemak dan terlalu malas bersenam atau bersukan adalah punca kepada penyakit itu.
Maka kepada anda yang masih muda, yang masih lagi belum diserang sakit jantung ambillah langkah-langkah mencegah dari serangan sakit ini dengan memulakan gaya hidup yang sihat. Elakkan jenis-jienis makanan antaranya yang berlemak/berminyak dan makan secara seimbang. Dan yang juga terlalu penting ialah sentiasa secara konsisten melakukan senaman.
Tapi kalau anda mahu juga teruskan gaya hidup seperti yang saya pernah lakukan sebelum CABG anda kena fikir baik-baik, pandang sekeliling anda, tanyalah kepada pesakit jantung atau yang telah menjalani pembedahan. Hanya pesakit jantung dan mereka yang telah menjalani pembedahan jantung akan tahu menilai dan mengatakan 'jantung hatiku yang amatku sayang sekali'.
Saya mahu memaparkan sedikit dailog diantara saya dengan pakar jantung di IJN apabila saya diminta menjalani CABG,
"Kita terpaksa buat pembedahan. Angioplasty tidak boleh membantu. Risiko 96% kerana pembuluh darah Encik sudah keras ".
Maka termenunglah saya. Terpampanglah dimata saya akan wajah isteri dan anak-anak. Anak-anak yang kesemuanya belum tamat belajar. Sejuk seluruh anggota badan. Air mata mula mengalir.
Saya harap anda tidak akan jadi begitu.
Bersambung. Pengalaman menjalani pembedahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan