Theflowersellingboy

Ahad, 4 September 2011

Sejarah dan Pensejarahan: Nilai dan Latarbelakang Perakam

Sejarah dan pensejarahan atau peristiwa-peristiwa yang penting dan perakaman peristiwa-peristiwa itu adalah terlalu amat bergantung kepada nilai dan latarbelakang perakam atau penulis sejarah itu. Sejarah bukanlah sains mutlak. Satu peristiwa yang dikatakan penting oleh seorang perakam tidak semestinya dianggap penting oleh perakam yang lain. Satu peristiwa yang sama juga akan diceritakan dari sudut yang berbeza oleh perakam yang berbeza. 

Maka bukanlah sesuatu yang ganjil jika terdapat perbezaan dari segi sikap dan tanggapan mengenai sesuatu peristiwa yang telah terjadi yang telah dirakam oleh setengah pihak oleh pihak yang lain. Apatah lagi rasa ingin tahu dan ingin mengkaji generasi ketika ini akan memberi ruang kepada penemuan berbagai fakta dan maklumat yang mungkin berbeza dengan fakta dan maklumat yang telah digunakan oleh perakam sejarah asal bagi sesuatu peristiwa.  Tambahan pula ketika ini berbagai maklumat boleh diperolehi/diases dengan mudah dari berbagai saluran. Maka peristiwa yang asalnya ditulis dari perspektif perakam asal berkemungkinan akan diberi penilaian semula oleh penulis atau pengkaji yang baru/lain.

Dengan demikian apabila Mat Sabu membangkitkan kisah Mat Indera yang beliau anggap sebagai wira yang memperjuangkan kebebasan dari British maka ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan setengah pihak, antaranya pihak UMNO. Diberitakan beberapa pihak telah membuat laporan Polis untuk diambil tindakan keatas kenyataan-kenyataan  yang tidak sepatutnya yang didakwa yang telah dikeluarkan oleh Mat Sabu dalam satu ceramah di Pulau Pinang.

Perasaan tidak puas hati dan marah setengah-setengah pihak keatas Mat Sabu itu sebahagiannya boleh difahami kerana sebelum ini Mat Indera telah dirakamkan sebagai orang bersama denagan kumpulan kominis  yang telah menyerang  Balai Polis Bukit Kepong yang mengakibatkan banyak kematian. Kemarahan itu juga wajar dikeluarkan oleh kaum keluarga anggota polis yang terlibat.

Dalam masa yang sama kita juga wajar membaca mesej yang hendak disampaikan oleh Mat Sabu itu. Mesejnya adalah jelas sekali bahawa setengah-setengah sejarah atau peristiwa penting yang telah disejarahkan oleh orang terdahulu perlu juga dilihat semula, diberi penilaian yang saksama.

Dalam hal peristiwa Bukit Kepong itu Mat Sabu tidak pun mempertikaikan bahawa ada serangan keatas Balai Polis itu. Maknanya sama dengan apa yang dirakamkan oleh orang terdahulu yang telah diterima. Cuma Mat Indera menyerang siapa? Polis yang di Bukit Kepong itu mempertahankan siapa? 

Siapakah Yang Mat Indera serang?

Jelas Mat Indera menyerang Balai Polis yang sebahagian besarnya terdiri dari orang-orang Melayu. Ketika itu siapakah yang memerintah tanah air atau Tanah Melayu? Jelas yang memerintah ialah British. 

Maka mahu tidak mahu kita mesti mengakui bahawa sebenarnya polis-polis yang berkhidmat ketika itu adalah untuk menjaga kepentingan dan keselamatan orang putih. Cuma kita orang Melayu, sebagai rakyat yang sentiasa taat kepada pemerintah iaitu British sanggup berkorban nyawa demi kepentingan negara kita yang dibawah takluk British. Mat Indera pula tidak sehaluan dengan pemikiran seperti itu dan mahu mengeluarkan British dari tanah air. 

Adakah sikap orang Melayu yang berkhidmat sebagai anggota Polis itu kita perlu persalahkan kerana sanggup bertuankan orang putih? Saya tidak berpendapat sedemikian. Sebagai anak bekas SC saya merasakan mereka bukanlah suka sangat berkhidmat dengan British dan mempertarungkan nyawa untuk mereka. Tetapi keadaan ketika itu membuatkan mereka menjadi anggota polis, demi tanah air.

Begitu juga saya langsong tidak percaya Mat Indera berniat untuk membunuh polis di Bukit Kepong itu. Saya merasakan bahawa serangan keatas Bukit Kepong itu lebih kepada pernyataan rasa benci beliau kepada British. Apa boleh buat yang menjadi anggota polisdi Balai itu ialah orang Melayu. Maka berlakulah serangan dan pembunuhan.

Seperti yang saya nyatakan bahwa saya ialah anak bekas SC (Special Constable). Bapa saya serta kawan-kawannya telah ditempatkan diestet-estet kepunyaan Inggeris demi menjaga keselamatan  dan kepentingan harta benda Inggeris dari serangan mereka yang dianggap musuh yang dikatakan 'kominis' termasuk anak-anak watan yang memperjuangkan kemerdekaan. Sekiranya estet-estet getah ini tidak selamat maka bagaimana mungkin mereka boleh mendapat hasil untuk dihantar balik ke England. Sebab itulah bapa saya dan kawan-kawannya yang lain diambil bekerja sebagai SC kononnya untuk memperthankan negara!

Oleh itu apa yang telah dibangkitkan oleh Mat Sabu itu hendaklah direnung, dianalisa dan dikupas secara tenang tanpa emosi dan dipengaruhi kepentingan politik, sama ada politik Pas atau UMNO atau yang lainnya. Sebab sejarah dan pensejarahan adalah bergantung sangat kepada nilai dan latarbelakang perakamnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan