Menghadiri Majlis Pernikahan anak saudara pada 17 September 2011. Juga menjadi Saksi bagi pihak perempuan. Saya dapati acara dan suasana pernikahan pada masa ini agak berbeza dengan yang saya pernah lalui.
Ianya lebih memberi kesan, teratur dan memenuhi tujuan bagi satu pembinaan sebuah rumah tangga. Masing-masing pihak , pengantin lelaki dan perempuan, ibubapa kedua belah pihak terlibat sama dalam majlis nikah itu secara aktif. Dan yang menyaksikan diberi kefahaman yang jelas akan tujuan majlis yang dadakan itu.
Pada masa dulu sekurang-kurangnya semasa zaman saya dulu, suasana pernikahan lebih kearah menguji ilmu agama pengantin lelaki. Soalan-soalan yang ditanya lebih bertujuan untuk mendera dan menyulitkan pihak pengantin lelaki.
Jika berjaya menjawab soalan-soalan yang ditanya soalan yang lain akan ditanya lagi. Jurunikah mengharapkan agar pengantin akan akhirnya kecundang menjawab soalannya. Dan jika ini berlaku maka terukirlah senyuman sebagai tanda kehebatan mengemukakan soalan.
Tetapi tidak semuanya begitu.
Dalam melafazkan akad nikah, perkataan-perkataan yang mesti disebut dalam lafaz nikah itu diatur dalam satu ayat yang berbelit-belit. Sekiranya satu perkataan gagal untuk disebut maka diminta diulang lagi.
Sebab itulah lafaz nikah pada biasanya tidak pernah berjaya diucapkan pada kali pertama. Ada saja yang tidak kena dan minta diulang lagi. Kadang-kadang ada pengantin lelaki yang berpeluh tidak dapat mengeluarkan kata-kata, dan terpaksa diulang banyak kali dan dipimpin dengan menyebutkan lafaz itu, perkataan demi perkataan. Maka keadaan semacam itu disambut dengan gelak ketawa dari hadirin yang hadir terutama bukan disebelah lelaki, sebagai satu kejayaan yang menunjukkan kehebatan jurunikah mengatur atau mengemukakan soalan.
Sesungguhnya ia lebih menyulitkan dari memudahkan. Kalau terjadi suasana seperti itu maka ada suara-suara yang menyatakan bahawa ada pihak sedang menganiayakan pengantin lelaki itu kerana ada kemungkinan ada lelaki lain yang berminat terhadap perempuan itu. Katanya lagi seekor katak telah dikurung dibawah tempurung. Dan selagi tidak dilepaskan dari kurungan tempurung itu maka pengantin lelaki itu tidak akan berjaya melafazkan akad nikah.
Berbalik kepada majlis yang saya hadiri baru-baru ini, sebelum memulakan akad nikah, seorang Imam (jurunikah) dan pembantunya terlebih dulu membereskan perkara-perkara perlu yang lain.
Antaranya mendapatkan dua orang saksi dari kedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan , dan mendapat pengesahan persetujuan dari pengantin perempuan akan pernikahannya itu.
Kemudian , Pembantu jurunikah membacakan khutbah nikah untuk didengari dan difahami oleh semua yang hadir khususnya kepada kedua-dua mempelai yang bakal memulakan kehidupan sebagai suami isteri yang sah.
Selepas itu Jurunikah menanyakan beberapa soalan kepada pengantin lelaki dengan suara lembut dan meransangkan. Soalan-soalan yang ditanya ialah mengenai Rukun Islam, Rukun Imam dan Rukun Nikah. Pengantin lelaki nampaknya dengan lancar menjawab soalan-soalan yang ditanya. Semua jawapannya mendapat anggokan dari Jurunikah, semuanya betul.
Pengantin lelaki itu juga berjaya membaca ayat al-Fatihah dengan lancar.
Semasa Jurunikah menanyakan soalan Rukun Nikah, beliau telah menambah dengan mengatakan mungkin dengan niat bergurau bahawa 'perkara ini amat penting kerana jika tidak dapat dijawab, pernikahan tidak boleh diteruskan'. Maka sebahagian yang hadir yang mendengar kata-kata Jurunikah itu ketawa kecil sebagai mengingatkan pengantin lelaki supaya tidak lupa akan Rukun Nikah itu. Pengantin lelaki itu nampakya tenang saja dan mengukir senyuman.
Seorang yang duduk disebelah dan juga salah seorang saksi kepada pengantin lelaki dengan suara perlahan mengatakan "Rukun Nikah ada enam, bukan..... bukan, ada tujuh". Saya memandang wajahnya yang kelihatan bibirnya mengukir senyum dan dia meneruskan kata-katanya, "menghadiri kursus perkahwinan dan ujian darah HIV aid". Saya pun turut tersenyum sambil menganggok kepala tanda setuju. Sebab jika tidak berbuat demilian maka pernikahan juga tidak dapat diteruskan.
Pengantin lelaki itu dengan yakin menjawab bahawa Rukun Nikah itu ada 5 dan terus menyebutkan satu persatu.
Semasa soalan ini ditanyakan, saya teringat bagaimana saya menggunakan perkataan 'siswa' bagi mengingatkan Rukun Nikah itu semasa membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM dulu. Siswa adalah singkatan untuk Suami (lelaki), Isteri (perempuan), Saksi, Wali dan Akad bagi melengkapkan syarat-syarat nikah.
Pengantin lelaki juga dengan lancar dan terang melafazkan akad nikah yang boleh difahami dan didengar oleh semua yang hadir khususnya kepada Jurunikah dan Saksi-saksi. Maka lafaz itu telah diterima sebagai sah. Maka kedua pasangan mempelai itu sahlah sebagai suami isteri.
Doa kesyukuran dibacakan.
Pengantin lelaki seterusnya berikrar dengan membaca peranan dan tanggongjawabnya sebagai suami dihadapan hadirin termasuk isterinya.
Kemudian bapa pengantin perempuan melafazkan penyerahan tanggongjawab anak perempuannya kepada menantu yang baru saja disahkan menjadi suami kepada anaknya dengan memohon agar anak perempuannya itu diberi perlindungan, diberi kasih sayang dan ditunjuk ajar jika ada yang kurang.
Semasa membacakan penyerahan anaknya kepada menantunya itu, ada semacam kesedihan dihati bapa pengantin perempuan itu melepaskan anaknya itu walaupun beliau cuba berselindung disebalik suara yang cuba dilantangkan. Cuma tidak kelihatan air jernih yang keluar dari kelopak mata.
Tetapi apabila tiba giliran siibu, suasana berubah. Ibu yang cuba menyatakan hasrat dihati itu nampaknya dapat melakukannya dengan suara yang serak sebak dan sedih yang diiringi air mata menitis membasahi pipi. Malah yang hadir juga, iaitu yang perempuan ada yang turut sama mengeluarkan air mata . Mungkin mereka merasa sebak dengan kata-kata yang dikeluarkan bahawa "mulai saat ini kasih sayang anakku perlulah diberikan kepada suami, sayangilah suamimu, taatlah suamimu dan jangan lah lupa kepada kedua ibu bapamu. Ibu mengampunkan segala kesalahanmu semasa kita bersama dulu dan menghalalkan makan minum termasuk susu ibu".
Sesungguhnya majlis pernikahan pada masa ini yang saya sendiri hadiri dan bertindak juga sebagai saksi kepada pengantin perempuan adalah satu majlis yang amat baik dan teratur sekali. Pengantin lelaki, pengantin perempuan kedua-dua ibapa mempelai adalah jelas mengenai peranan dan tanggongjawab masing-masing. Maka tidak ada sebab dan alasan untuk perkahwinan itu menemui jalan buntu. Cuma kalau telah ditakdirkan buntu juga maka selesaikan dengan baik seperti semasa kita bernikah.
Kepada kedua mempelai diucapkan selamat menjalani satu kehidupan baru, kehidupan berumahtangga yang ada manis dan ada yang pahit. Manis dan pahit itu akan mematangkan kehidupan rumah tangga kita. Itulah rencah perencah asam garam yang menjadi resepi sebuah rumah tangga.
Jagalah isterimu, taatlah suamimu dan jangan lupa kepada kedua ibubapamu.
Yang paling utama jangan lupa Allah. Sentiasa mengharap dan berserah kepadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan