Theflowersellingboy

Isnin, 28 Februari 2011

Yang Malang.......


 kesian katak ni....

Malang menurut Kamus Dewan , Edisi Baru , Cetakan Tahun 1991 memberi makna malang kepada tiga iaitu i) nasib yang tidak baik, kecelakaan atau sial; ii) kedudukan yang melintang (mengalang). Jika ditambah di hadapan atau dihujung perkataan tersebut seperti  meMalangI ia bertukar makna sebagai menghormati, menyegani; MalangAP bermaksud mulut dibuka luas  ketika memanggil; MalangBANG bermakna perahu(kapal); dan   MalangKAN merujuk kepada tumbuhan(pokok).
 
Yang selalu atau biasa kita fahamkan malang itu bermaksud nasib yang tidak baik, kecelakaan atau sial. Kita akan bertcerita  'Malang' dari sudut pengertian ini.
 
Malang itu dikatakan tidak berbau. Ertinya kita tidak tahu bila dan ketikanya malang itu menimpa keatas diri seseorang. Terdengar juga orang berkata' malang sekali'. Misalnya "malang sekali kita tidak dapat menuntun wayang". Ini boleh juga bermaksud tiada peluang , atau apa boleh buat. Perkataan sekali yang mengekori malang itu tidak bermaksud seseorang itu hanya sekali saja ditimpa kemalangan. Perkataan itu tidak boleh berdiri dengan sendiri tetapi mesti disebut bersekali ( bersama) iaitu malang sekali untuk mendapat maksud yang dijelaskan tadi.
 
Siapa atau apa yang malang? Kepada siapa malang ini dirujuk atau digunakan.
 
Kita suka melihat malang dari segi 'YANG MALANG'. Binatang, Warna, Status Abjad, Tempat, Pokok/Tumbuhan dan Objek.
 
Dalam banyak hal 'Yang Malang'  itu digunakan sebagai kiasan.
 
Binatang yang telah dikenalpasti  menjadi 'malang' yang digunakan untuk mengkiaskan perbuatan, kedudukan, moral dan situasi ialah katak, kucing, ayam, kambing kerbau, biawak, buaya, lembu. Yang malang atau paling malang sekali ialah katak.
 
Saya percaya sebagian besar daripada kita telah mengetahui dan mungkin juga menghafal lirik lagu Bangau oh Bangau. Selain dari bangau, disebutkan juga  ikan, rumput,kerbau, perut, kayu,hujan,katak  dan ular. Siapa/ apa yang malang?
 
Yang Malang ialah binatang katak. Katak tidak dapat mengelakkan diri melainkan menjadi mangsa kepada ular yang dengan senang hati mengatakan bahawa katak itu memang makanan si ular, 'sudah menjadi makananku'.
 
Katak  binatang 'Yang Malang', ini juga digunakan dalam kiasan seseorang yang mati percuma saja. Kata orang mati tak berbaloi. 'Mati  Katak'lah dia apabila hendak menjelas seseorang yang mati tanpa ada pembelaan, atau mati sia-sia sahaja. Biasa kita dengar orang yang tidak ada pendirian dan selalu berubah tempat atau organisasi terutamanya organisasi politik dikatakan orang itu seperti katak . "Biasalah dia memang suka tukar parti, macam katak". Lihat binatang katak juga digunakan untuk menggambarkan kelakuan orang seperti itu sedangkan binatang lain seperti rusa, anjing dan yang lain melompat juga.
 
Binatang lain 'Yang Malang' ialah kambing dan kerbau. Misalnya seseorang yang takut mandi dikatakan seperti kambing dan kalau mandi tidak bersih dikatakan mandi kerbau. Sebenarnya kah kambing takutkan air. Bagaimana dengan anjing dan kucing dan yang lainnya. Adakah kerbau disebabkan suka berkubang maka kita katakan sebagai perbuatan orang yang mandi tak bersih. Bagaimana dengan badak air?  Orang yang menjadi mangsa bagi sesuatu keadaan dikatakan ' dia telah dikambinghitamkan'.
 
Cukuplah  setakat itu contoh yang terdapat dalam kiasan orang Melayu yang menggunakan binatang bagi menggambarkan watak, perbuatan atau tabiat, perangai, maruah seseorang  yang dianggap tidak baik, sia-sia, pengotor, hina dan sebagainya. Binatang lain 'Yang Malang' bolehlah difikir-fikirkan sendiri.  

Tumbuhan/pokok lalang digambarkan sebagai orang yang tidak tetap pendirian yang boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian. Kata-kata "dia tu macam lalang. Sekejap sokong sianu , sekejap sokong yang lain". Lalang apabila ditiup angin menolak kesatu arah, akan melentuk kearah itu. Bagaimana dengan pokok/batang padi. Bukankah akan melentuk liuk seperti lalang juga?
 
Cuba kita lihat bagaimana orang Melayu menggambarkan seseorang yang kedekut. Kedudukan/status/ gelaran orang yang macam manakah akan dikatakan sebagai kedekut atau bakhil.  Bukankah kita selalu dengar kata-kata 'Haji Bakhil'. Gelaran/title 'hj'  adalah 'yang malang'. Kita tidak kedengaran kiasan orang kaya bakhil, atau Tan Sri bakhil' dan sebagainya. Yang Malang juga diberikan kepada 'Lebai' dalam cerita Lebai Malang dalam cerita penglipurlara orang Melayu.
 
Kita pergi kepada objek pula. Objek apa ' Yang Malang'. Kita ambil satu contoh saja iaitu 'tembuk'. Tembuk ini dikiaskan kepada orang yang tidak tahu malu. "kau ini macam muka tembuk  tak sedar diri tiap-tiap hari kerumah orang itu sedangkan dia tidak melayan kau".
 
Abjad terakhir juga membuatkan seseorang itu jadi malang. Kalau nama anda dieja berrmula dengan 'Z', sudah tentu nama anda diletakkan terakhir sekali. Itu tidak menjadi hal. Tetapi apabila katakan berlaku suatu keadaan darurat misalnya yang berlaku di Mesir baru-baru ini dalam hal mengangkut pulang pelajar balik ke Malaysia. Semua orang mahu pulang lebih awal supaya cepat selamat. Bagaimana agaknya pegawai pengurus mengaturkan siapa balik awal dan siapa yang kemudian. Sudah tentu mereka ambil pertimbangan  mendahulukan yang sakit, perempuan , mereka yang  tinggal berdekatan dengan tempat orang berdemo dan sebagainya. Katakan anda termasuk dalam kategori yang dinyatakan dan nama anda bermula dengan  abjad 'z'.  Sudah tentu anda orang yang tekemudian sekali dikalangan kategori tersebut. 'Yang Malang' lagi jika anda tidak dalam kategori tersebut, dan nama anda bermula dengan abjad 'z' maka kapalterbang akhirlah yang mengangkut anda. 
 
Warna Hitam adalah warna 'Yang Malang'. Kalau seseorang  itu hendak digambarkan  sangat jahat atau hati keras maka  ' hatinya sungguh hitam sekali'. Gambaran-gambaran lain fikirlah sendiri.
 

Yang kekal malang diantara  'Yang Malang' ialah sebuah daerah di Indonesia yang dipanggil sebagai 'MALANG'.  Pergilah kesana jika ada kelapangan.
 

 Tajuk 'Yang Malang', ini tidak bertujuan untuk mengkritik kiasan-kiasan yang digunakan oleh masyarakat Melayu. Ianya hanya sekadar mencatatkan kiasan-kiasan yang meMALANGkan binatang-binatang, warna, status,pokok/tumbuhan dan objek.
 
Masyarakat Melayu juga ada kiasan-kiasan menTUAHkan bagi subjek-subjek yang kita sebutkan tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan