'pa ni ct.kalau nk call bole gune no ni. ct da beli tket blik dr jeddah ke kl naik oman air.dr cni pkul815 mlm.smpi msia 110 ptg 9 feb'.
sms diatas diterima dari anakku yang berada diJeddah selepas selamat dipindahkan dari tempat belajarnya di University of Mansoura melalui Iskandariah.Syukur Alhamdulillah anakku dan kawan-kawannya telah selamat berada di Jeddah, terhindar dari bahaya yang mungkin dihadapi di Mesir berikutan kebangkitan rakyat Mesir menentang pemerintahan yang ada yang dilabelkan sebagai diktator. Terima kasih juga diucapkan kepada kerajaan dan pihak-pihak yang terlibat dalam urusan membawa keluar rakyat Malaysia dari negara yang sedang bergolak itu
Sebenarnya aku telah mengadakan banyak panggilan telepon dengan anakku untuk mengetahui kedudukan di Mansoura untuk mengetahui keadaan ditempatnya. Apatah lagi bermacam-macam maklumat yang telah diterima: ada yang menyenangkan dan tidak kurang yang menakutkan. Tambahan pula pada peringkat permulaan kebangkitan rakyat Mesir itu, pemimpin-pemimpin tertinggi Malaysia tidak menunjukkan sikap yang perihatin dengan menganggap suasana di Mesir itu tidak memerlukan tindakan segera untuk membawa pulang rakyat/pelajar Malaysia balik ketanah air. Bertambah kecewa lagi apabila kos yang besar dijadikan asas pertimbangan untuk bersikap sedemikian. Namun selepas beberapa hari, atas sebab-sebab yang aku tidak ketahui, satu keputusan dibuat untuk membawa keluar rakyat Malaysia ke suatu tempat yang selamat iaitu di Jeddah, Arab Saudi.Namun sekali lagi timbul persoalan:siapakah yang akan menanggong perbelanjaan untuk membawa pulang ke Malaysia kerana ada pihak menyatakan perbelanjaan ditanggong oleh pelajar/rakyat itu sendiri.Ini telah menimbulkan kerisauan kepada ibubapa yang sebahagian besar mungkin tidak berkemampuan untuk membiayainya, tidak terkecuali aku sendiri.Lagipun kepulangan mereka adalah bersifat darurat. Sudah tentu mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menghadapi suasana seperti ini, mereka tidak ada pilihan. Justeru tanggongjawab sewajarnya tertanggong keatas pihak yang telah diamanahkan kuasa.
Alhamdulillah satu keputusan telah dibuat dan diumumkan Perdana Menteri bahawa Kerajaan bertanggongjawab sepenuhnya termasuklah perbelanjaan untuk membawa pulang ke Malaysia. Tambah Perdana Menteri bahawa tindakan yang diambil ini adalah selaras dengan konsep HANRUH (Pertahanan Menyeluruh)yang mewajarkan penggunaan segala aset samada aset Kerajaan atau persendirian bagi sesuatu maksud yang diperlukan.
Walaupun sebelumnya, rasa kerisauan menguasai setiap pemikiran ibubapa, tetapi pengumuman ini telah mengurangkan sedikit keresahan mereka. Terima kasih.
Pelajar/rakyat yang telah mendarat di KLIA semalam telah diberi galakan dan semangat dengan kehadiran Perdana Menteri dan Timbalan termasuk beberapa pemimpin bersama dengan sanak saudara pelajar/rakyat yang pulang itu.
Ibubapa/sanak saudara yang masih menunggu kepulangan orang yang disayangi, masih lagi berdebar-debar dengan perasaan dan pikiran masing-masing mengharapkan keselamatan mereka, termasuk aku sendiri.
Sebelum dibawa ke Iskandariah dari Mansoura, aku sentiasa menelipon anakku untuk mengetahui perkembangan ditempatnya.Anakku menyatakan di Mansoura tidak ada masalah yang besar, makanan telah lebih awal dibeli dan mencukupi. Apa yang menarik ialah pesanannya bahawa:papa jangan percaya beritayang bukan-bukan. Dapatkan berita dari beliau sendiri. Dia selamat dan kawan-kawan lain pun selamat".
Apabila berada di Iskandariah, ceritanya lagi beliau dan kawan-kawan ditempatkan di Rumah MARA bersama-sama dengan pelajar yang sedia ada. Terlalu ramai katanya. Aku memberi kata-kata galakan supaya bersabar menghadapi suasana seperti itu.Ini darurat, mestilah tidak selesa.
Sesungguhnya anakku dan mungkin kawan-kawannya yang lain, merupakan generasi yang tidak tahan lasak tidak seperti aku dan generasi sebelum merdeka. Kalau dulu ibubapa kita tidak pernah risau kalau kita tak balik rumah, sebab mereka yakin kita selamat, tapi sekarang kalau tak dengar suara anak yang berada di suatu tempat yang lain, kita akan rasa cemas. Sebab itulah sebahagian besar anak-anak mempunyai handphone. Dulu tiada teledera kerana ibubapa malah bapa saudara mempunyai hakmutlak keatas anak-anak. Tapi sekarang, jangan main-main.
Apabila selamat sampai di Jeddah, anakku tanpa membuang masa menempah tiket untuk pulang ke Malaysia. Katanya beliau dan kawan-kawan yang sama sampai di Jeddah dijangka akan mendapat penerbangan yang terakhir.
Sesungguhnya aku menaruh harapan supaya pihak yang bertanggongjawab termasuk aku dan ibubapa yang lain perlu memikirkan satu kaedah bagaimana menghadapi dan menguruskan suasana darurat seperti ini untuk mengurang atau mengelak berbagai keadaan yang tidak patut timbul. Misalnya dalam hal mendapat maklumat daripada pihak-pihak yang telah diberikan tugasan-tugasan tertentu. Berdasarkan no talipon yang diberi, aku telah buat panggilan talipon untuk mengetahui kedudukan samada anakku telah dipindahkan atau sebaliknya. Setelah nama anakku diambil untuk disemak, jawapan yang diberi ialah :tidak tahu dan minta berhubung dengan Jeddah dengan menberi no telepon yang perlu dihubungi". Aku menyatakan bahawa no itu aku telah hubungi dengan mendapat jawapan untuk menghubungi no yang lain.
Sesungguhnya aku tidak menyalahi mana-mana pihak. Aku memahami bahawa dalam keadaan seperti ini dan dalam kekangan yang ada tidak mungkin perkara seperti ini dapat diuruskan secara terbaik. Tapi kita juga tidak boleh menggunakan alasan seperti itu untuk menghadapi kemungkinan yang akan datang. Oleh itu satu kaedah/prosedur perlu difikirkan. Ini termasuklah bagaimana kita dapat menguruskan berbagai bentuk maklumat yang membuatkan ibubapa merasa resah dan gelisah. Ibubapa pula perlu menerima dan mempercayai maklumat daripada pihak yang diberi tanggongjawab dalam hal seperti ini.
Kejadian darurat seperti ini khususnya yang berkaitan dengan membawa keluar pelajar dari wilayah yang tidak selamat telah pun berlaku pada tahun 2006. Ingat tak peristiwa gempabumi di Jogjakarta, Indonesia. Aku tidak akan boleh lupa kerana melibatkan anakku yang masih ditahun tiga perubatan di Universiti Gadjah Mada pada tahun berkenaan. Menurut ceritanya rumah yang didiaminya bergegar dan dia dan kawan-kawan panik berlari mengikut arus. Ada yang lari arah bertentangan semata-mata untuk menbyelamatkan nyawa. Kebetulan aku baru saja lebih kurang 3 minggu menjalani bypass, membuatkan rasa amat tertekan dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun apabila anakku beritahu bahawa dia dan kawan-kawan akan dibawa balik dengan menggunakan pesawat TUDM aku dan ibubapa lain merasa lega.
Ini bermakna kita telah ada pengalaman dalam keadaan darurat seperti ini. Bolehkah aku mengandaikan kita telah mempunyai prosedur bagi menghadapi dan mengurus keadaan seperti ini? Tapi andaian aku ini mungkin meleset berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh berbagai pihak termasuk pihak yang berkuasa.
Dengan demikian ada kekuatan untuk mengandaikan bahawa kita tidak menggunakan pengalaman yang lepas bagi menyusun satu pelan tindakan dan prosedur tertentu dalam menghadapi dan mengurus keadaan darurat ini.Kalau begitu tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, marilah kita bersama-sama memikirkan apakah kaedah/prosedur dan sikap yang perlu ada dalam menghadapi dan menguruskan keadaan darurat ini.
Esok 9 Februari, jam 1.10npetang kapalterbang Oman Air yang membawa anakku dan kawan-kawanya serta yang lain akan mendarat di KLIA. Aku mohon doa dan berdoa supaya mereka selamat mendarat.
Sekali lagi aku mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, Kerajaan dan mereka yang bertungkus lumus menguruskan kepulangan pelajar/rakyat malaysia termasuk anakku.Tidak terlambat untuk aku mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan khususnya TUDM yang telah membwa balik anakku bersama kawan-kawannya dalam peristiwa gempabumi di Jogjakarta pada tahun 2006.
Dua kali pengalaman yang sama telah dilalui dan mendoakan supaya tidak akan menghadapi pengalaman yang sama. Memohon doa kehadrat Ilahi supaya bypass yang telah ku lalui dapat menghadapi keadaan seperti ini.
"Pa ma ct da nk naek plane.doakn ktorang sume slmt smpai.esokinsyaAllah smpi kliapkul 1 ptg naek oman air".SMS dari anakku yang diterima pada 12.30pagi. Semoga mereka selamat mendarat di KLIA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan