Dalam masyarakat Malaysia, sihitam ini tidaklah semalang orang hitam yang kita jumpa di Mekah itu. Bukankah kita ada lirik seperti ini: hitam-hitam sitampuk manggis, walaupun hitam dipandang manis. Penyanyi lama Melayu ada mendendangkan lagu: Yang Hitam Manis. Antara liriknya :Yang Hitam manis pandang tak jemu, pandang tak jemu. Walaupun tak kaya, tapi ramai orang suka.
Berbicara fasal kemiskinan ianya boleh ujud dalam sebuah kehidupan yang kaya dan mewah. Dalam wilayah dan negara yang dianugerahkan Allah dengan sumber alam yang melimpah ruah. Kemiskinan bukan milik negara miskin saja. Mereka tidak memonopoli fenomena ini malah berkongsi sama penderitaan dengan rakyat negara orang kaya. Mungkin mereka lebih teruk lagi, kebulur, tiada apa yang dapat disumbatkan dalam mulut untuk dikumpulkan dalam usus besar, untuk dijadikan bahan kumbahan. Berbeda dengan orang miskin dinegara kaya, sekurang-kurangnya boleh mengutip sisa buangan ditong-tong sampah atau dimana saja sejauh mata memandang. Orang miskin dinegara miskin agaknya lebih sesuai dipanggil papa kedana.
Kalau kita hidup miskin dalam sebuah negara yang mewah seperti orang hitam yang kita jumpa dalam perjalanan ke Mesjid Haram tadi, apakah agaknya panggilan yang mungkin ada dikepala mereka keatas orang kaya dinegara berkenaan. Tidak mungkin mereka memanggil yang kaya itu dermawan, tidak juga budiman. Apatah lagi yang kaya dan berkuasa itu tidak pernah sekalipun menjengok mereka menghulur sedikit habuan ketapak tangan yang sentiasa menadah, walaupun satu tapak tangan saja, kerana tangan yang lagi satu telah 'dikudungkan'. Kalau mereka dijengok pun, penguasa kaya itu akan menyumbatkan mereka kedalam kereta berjaring.
Besar kemungkinan mereka memanggil sikaya dan berkuasa itu Tuan, Boss atau hartawan. Kalau benarlah begitu, kita kata boleh tahanlah. Tetapi mereka manusia, walaupun hitam, mereka ada perasaan yang membimbing mereka untuk punya kasih sayang, marah, irihati, merajuk dan sebagainya sama seperti sikaya; ada selera untuk makan dan minum sebab perut mereka juga tahu lapar dan tekak mereka juga dahaga; mereka ada nafsu untuk mengekalkan zuriat kalau tidak pupuslah spesis mereka dialam maya ini.
Jangan pula kita kata mereka tiada maruah. Cuba lihat walaupun dalam kehidupan yang miskin, mereka masih berpakaian, walaupun ada yang compang camping tetapi lebih sopan kalau dibandingkan dengan pelancong-pelancong di pantai Pulai Bali , Indonesia. Manusia pelancong seperti ini pun jangan cuba kita kata rendah maruah.Nanti kena saman masuk mahkamah.
Jadi apakah agaknya panggilan atau gelaran yang pada pendapat mereka perlu dihadiahkan kepada sikaya tamak haloba dan pengaut harta itu. Mereka orang miskin jadi tidak mampu memberi hadiah dalam bentuk harta, benda apatah lagi wang serial dua.
Sudah tentu ada panggilan yang setaraf dengan kedudukan dan perangai sikaya ini yang tidak berani atau belum masanya untuk dizahirkan. Mereka simpan dulu. Tetapi berapa lama mereka boleh simpan. Satu masa dan ketika nanti ianya akan terzahir juga. "KAMU MANUSIA ZALIM"
Sekiranya "Kamu Manusia Zalim" yang terpancut dari simpanan otak dan perasaan mereka maka itulah resepi yang paling mujarab bagi sebuah revolusi, satu kebangkitan yang harganya sungguh mahal kepada simiskin mahupun sikaya.Sejarah telah dan baru saja segar mencatatkan ledakan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan