Theflowersellingboy
Ahad, 27 Februari 2011
Menghadapi Pilihanraya dan Perbelanjaan Keselamatan.......Pemilihan Calun 2
Kriteria usia juga perlu diberi perhatian. Tidak terlalu muda. Tidak juga terlalu tua. Hal ini juga boleh menyebabkan perdebatan yang panjang dan mungkin tidak ada kesudahannya. Masing-masing ada hujahan bagi mempertahankan pendapat.
Saya lebih berminat untuk melihat faktor usia ini dari segi tahap kesihatan, kelayakan akademik dan pengalaman kerana ianya amat penting kepada calun yang dipilih untuk dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat seperti yang dihajatkan oleh parti.
Secara amnya orang muda lebih sihat dari orang tua. Mempunyai kekuatan fizikal dan stamina yang lebih. Kuasa cerapannya juga lebih pantas.Pendidikan yang lebih tinggi. 'World view" nya meluas sekali tanpa sempadan. Ingin tahu dan mahu mencuba dalam hal-hal yang mencabar.Mereka adalah idealistik dan kadang-kadang tidak berpijak dibumi nyata. Berani mengambil risiko dan banyak lagi.
Kenyataan itu tidaklah bermakna orang tua tidak mempunyai ciri-ciri yang disebutkan. Ada juga kekecualiannya. Tetapi tidak ramai.
Had usia berapa seseorang muda itu boleh dicadang menjadi calun? Ini juga persoalan yang yang akan dapat dijawab dengan nilai subjektif. Namun saya berhujah, bahawa usia 30 tahun adalah had paling minima seseorang boleh dipilih untuk dijadikan calun untuk bertanding. Pada had umur ini mereka telah memasuki dan berhadapan dengan alam nyata setelah beberapa tahun tamat pengajian tinggi. Cabarlah mereka ketika ini dengan memberi kepercayaan untuk menjadi calun.
Usia yang dikatakan tua, buat ketika ini, pada pendapat saya ialah mereka yang telah berumur 60 tahun. Pada had umur ini, tidak wajar dicalunkan jika itu merupakan kali pertama percubaan. Tetapi jika sedang berkhidmat dan berhajat pula untuk terus memberi khidmat bagi penggal berikutnya boleh juga dipertimbangkan. Syaratnya hanya penggal itu saja, tidak ada masalah yang terbeban pada diri, parti atau negara. Juga kalau sudah tiada yang muda.
Mungkin orang tua berhujah bahawa di negara Jepun, Korea dan Barat, pemimpin mereka banyak yang tua-tua melebihi 60 tahun. Dalam politik tiada had umur untuk menyumbang khidmat melainkan mati saja.
Saya sejalan dengan pemikiran itu tetapi asasnya berbeza. Dinegara-negara tersebut pemimpinnya sihat-sihat belaka walaupun telah menjangkau umur melebihi 60 tahun. Maaf saya tidak pula merujuk kepada mana-mana kajian, hanya mengikuti perkembangan saja.
Bukan saja sihat tubuh badan mereka juga sihat fikiran. Mereka utamakan harga diri, integriti ada moral atau bermoral tinggi. Kalau tidak percaya rujuklah ke Korea dan Jepun. Apabila ketuanya atau seseorang pemimpin telah dikatakan ada masalah, atau memang bermasalah, tindakan minima mereka ialah meletakkan jawatan.Bukan saja pemimpin yang bermasalah itu meletak jawatan malah ketuanya juga meletak jawatan mengambil tanggungjawab bersama. Yang paling dahsyat ada yang bunuh diri di perkuburan. Saya percaya, setakat ini belum ada yang berbuat demikian, di Malaysia. Lagi pun bunuh diri dari sudut Islam ianya dosa besar. Tapi tiada pula yang letak jawatan! Mengundurkan diri,sendiri.
Alasan bahawa orang politik tiada had umur menyumbang perkhidmatan juga saya setuju malah saya luaskan lagi kepada orang bukan politik. Memberi sumbangan atau berkhidmat tidak terhad samasa ada jawatan kerajaan atau politik. Sama juga yang lain misalnya pesara kerajaan.
Ilmu pengetahuan pula amat penting. Kebanyakan kita mengukur ilmu pengetahuan dari segi kelulusan akademik. Saya bersetuju dan juga tidak bersetuju.
Hal ini saya akan bincangkan dipaparan yang akan datang.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan