Theflowersellingboy

Selasa, 15 Februari 2011

Sekadar Kenangan...........

                                     eeeh.........eeeh......eeeh dah bangun rupanya Yousef


Seorang guru yang mengajar bahasa Inggeris tiba-tiba muncul dihadapan rumahku. 'Congratulation' spontan  terkeluar dari mulutnya sambil menghulurkan tangan yang dengan segera ku sambut. 'Awak berjaya dalam peperiksaan darjah enam. Awak dan Sham yang lain gagal' sambungnya. Wajahya ceria bangga. Mana tidak inilah kali pertama murid disekolah itu lulus dalam peperiksaan tersebut.

"Thank you sir" aku menyambut tangannya sambil mempersilakan duduk dibalai. "Awak nak masuk  aliran mana, Inggeris ke Melayu. Tapi saya cadangkan masuk aliran Inggeris, peluang kerja besar. Boleh belajar oversea" . Soalan beliau bertali arus. Beliau tidak sabar  menunggu jawapanku. Nampaknya ada kecenderungan untuk mempengaruhiku.

"Tengoklah, saya nak tanya abah dulu". Itu yang diajar bapaku. Mesti taat .Tidak boleh buat keputusan sendiri. Jangan memandai katanya. Wajah ceria guru tadi menjadi sedikit pudar. Dahinya digaru-garu macam orang gatal digigit nyamuk. Suasana sepi sebentar.

" Awak jangan takut. Mula-mula masuk remove class. Setahun" . Beliau cuba meyakinkanku yang memang telah yakin. Yang menjadi hasrat dihati yang tersimpan untuk diri sendiri. Cikgu tadi mohon diri dah pukul sebelas katanya dengan pesanan supaya aku memujuk bapaku. Aku tak sempat mempelawanya naik kerumah. "Thank you sir" sekali lagi aku menyatakan penghargaan.

Aku tertanya-tanya kenapa tidak guru besar sendiri yang datang menyampaikan berita gembira ini. Ini satu sejarah. Sebelumnya semua murid gagal dan sebahagian besarnya menjadi penurih getah membantu pendapatan keluarga. Mungkin juga guru besar nak pencen setelah sepuluh tahun memimpin sekolah. Dah kurang minat. Tapi mengapa guru bahasa Inggeris. Hanya baru setahun mengajar. Beliau masih muda remaja, belum berumahtangga. Entahlah, keluhan jalan keluar yang biasa ku gunakan.

Aku telah pasang angan-angan, mahu belajar sungguh-sungguh, nanti boleh belajar oversea. Boleh masuk asrama penuh. Sudah tentu boleh cakap orang putih. Aku tersenyum sendiri sambil mula melangkah menuju kedapur. Emakku sedang memasak untuk makan tengah hari. Seperti biasa menunya sama sambal tumis ikan bilis. Itu saja. Kadang-kadang adalah seekor dua ikan kembong yang digoreng. Cukup menyelerakan.

Kejayaanku telah segera ku sampaikan. Emakku terus dengan kerjanya. Adik-adikku  kejar mengejar dihalaman rumah. "Mak beritau abah, orang nak masuk sekolah orang putih" aku mendekati makku. Beliau menjadi saluran hubungi rasmi anak dan bapa. Kalau nak minta belanja sekolah, nak beli buku, pensil atau apa saja saluran itu perlu dimanfaatkan. Itulah yang ada terbuka. Tidak boleh hubungan langsung. Tiada apa-apa reaksi diterima. Aku yakin emakku setuju dengan cadanganku tadi.

Jam 12.30 tengah hari bapaku muncul. Bau sekerap menusuk hidung sebaik saja bapaku melangkah naik kerumah. Hidangan telah sedia ada. Seperti biasa bapaku pergi mandi dahulu sebelum sama-sama menikmati hidangan.

Selepas makan bapaku perlu rehat dan tidur.Beberapa minit pun cukup asalkan dapat lenakan mata. Terlalu keletihan agaknya.

Aku berehat dibalai tempat pertemuan dengan guru tadi. Terasa diri hebat. Macam mana tak boleh pass.. Bodoh betul dia orang ni. Terbayang muka si Kassim, Yasin, Daud, Minah dan Ali yang duduk berdekatan dengan mejaku.Mereka  pemegang kekal number 25 keatas dalam setiap kali peperiksaan.  SiKassim pula adalah mangsa kekalku. Setiap kali ada soalan ilmu hisab, beliau akan menghampiri untuk meniru jawapan. Padaku tidak jadi masalah selagi ada yang dihulur, lima sen sekali tiruan. Tak kesah berapa soalan sekalipun. Lima sen sudah cukup untuk nasi lemak sebungkus. Aku mana ada duit. Jangan nak mengada , dapat pergi sekolah pun dah cukup kata makku mematikan hasratku untuk mendapat belanja.

Paling mewah dan lumayan ketika pelajaran bahasa Inggeris. Wah aku menjadi hero semua soalan beres. Tambah-tambah soalan 'fill in the blank'. Akulah yang pergi dulu kehadapan menyerahkan kertas jawapan sedang kawan-kawan yang lain terkebil-kebil, terkial-kial memikirkan jawapan. Sesetengahnya tak faham apa perlu buat. Aku melebarkan senyuman sebaik saja melintasi meja duduk kawan-kawan selepas menyerahkan jawapan. Ada kawan-kawan yang bernasib baik dapat menjawab sebahagian daripada soalan-soalan itu. Jawapannya sama yang telah ku jawab. Belum pasti ianya betul tapi mereka yakin dengan jawapanku. Lagipun apa pilihan yang mereka ada.Oh ya sebelum menyerahkan jawapan, Si Kassim yang duduk disebelahku, minta bantuan. Tiada masalah,syaratnya ada upah lima sen bukan banyak. Satu lagi jangan tiru semua. Si Daud yang duduk disebelah kanan Kassim akan meniru SiKassim. Seteusnya jawapan itu ditiru oleh si Yasin dan Aminah. Perjanjian tidak bertulis telah dibuat bahawa siapa saja yang meniru jawapanku kena bayar upah lima sen. Lagi ramai pelanggan, lagi banyak masuk.Lumayan.

Biasanya markah yang ku perolehi tak kurang daripada 90. Markah 100 bukan luar biasa. Mungkin inilah yang menyebabkan guruku minta aku memasuki aliran Inggeris. Ya aku mengangguk-angguk kepala sambil tersenyum.

"Jangan nak mengada-ngada. Banyak duit dia nak sekolah orang putih" terdengar tengkengan yang memutuskan lamunanku. "Aduhhh habislah". Terdengar bunyi langkahan kaki menuju kebalai tem
pat aku sedang mengelamun. "Abah kau panggil". Aku siap sedia, melangkah perlahan menuju keruang dapur. Belum sempat duduk "ha banyak duit kau nak masuk sekolah orang putih. Naik sekolah pun tak tentu". Terkebil-kebil mataku dibuatnya. Aku sedia tahu kalau nak selamat jangan beri jawapan. Semua jawapan adalah salah melainkan akur apa saja kehendak bapaku tadi. Emakku senyap sunyi dah kena sebiji agaknya.  

"Lebih baik kau ikut aku potong getah. Tengok  dak Daud tu", bapaku merujuk kepada kawan sekelasku Daud yang membantu bapanya menoreh. Si Daud pun sudah nekad untuk menoreh malah selalu ponteng sekolah membantu bapanya menoreh.

Ikut potong getah. Maknanya aku kena berhenti sekolah. Tak boleh naik sekolah menengah. Jangan cuba nak  cakap masuk sekolah orang putih. Macam mana ni. "Kita minta bantuan welpe" terketar-ketar suaraku mencadangkan untuk memdapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Seperti petir menembak sasaran  "Ape kau jangan nak mengajau aku. Kau ingat welpe tu bapak tiri kau". Kakiku lemah tidak terdaya, kelopak mata mula digenangi air. Jatuh menitis kelantai. Hendak melangkah , longlai rasanya. Lagipun menjadi pantang bapaku jika anak-anaknya cuba meninggalkannya pada saat ledakan kemarahannya. Mesti taat tunggu, sehingga disuruh pergi.

"Dah...... pergi". Tidak ku kira berapa lama aku menunggu. Yang pasti ia menyeramkan. Entah macam mana kakiku yang lemah tadi dapat digerakkan melangkah keluar menuju ke balai. Sambil bersandar, menutup mata , aku menarik nafas panjang. Sejuk air mata mengalir dipipi.

Eeeh....eeh...eeh. terdengar suara Yousef cucuku.  Aku segera berhenti menaip. "Yousef  sayang, dah bangun rupanya" aku lantas mendukungya.








 

    

1 ulasan: