Tetapi orang miskin dinegara miskin tidak berdaya untuk memancutkan kata-kata 'kamu manusia zalim'. Apalah yang mampu mereka buat sedang anggota tubuhpun terkial-kial untuk digerakkan. Inikan pula mahu bangun melenting marah. Biarlah mulut, mata, telinga dan anggota badan yang lain menjadi tempat hurungan lalat-lalat daripada cuba bangun menyatakan keberangan mereka. Lagipun siapa pula yang hendak dimarahi. Penguasa? Merekapun terkial-kial untuk mengais harta bumi yang tidak seberapa. Kalau rakyat bangun memberontak pun apa yang mereka boleh dapat dalam sebuah negara papa kedana.
Tapi awas, ceritanya berbeda dinegara kaya mewah. Apabila saja mereka terhimpit kedinding, diasak dan ditusak,dilanyak sehingga susah untuk bernafas, ketika itulah mereka membina kekuatan. Tidak ada apa yang merugikan mereka jika tewas mahupun mati bergelempangan. Bukankah itu perjuangan sehingga ketitisan darah yang terakhir. Perjuangan yang terlalu mulia pada kesempatan hembusan nafas terakhir. Mereka juga seperti harimau mahu meninggalkan belang.Apakah benda lain yang mereka boleh wariskan kepada generasi berikutnya, itupun kalau mereka tidak pupus.
Berbalik kepada cerita nasib orang hitam di Mekah tadi, setakat ini mereka masih lagi mampu menyanyi dan merayu minta belas ikhsan. Masih lagi boleh berlakun dan menipu demi menyambung satu kehidupan yang muram. Masih bersabar. Bukankah sabar itu setengah dari iman. Apatah lagi Masjid Haram sentiasa berada dimata mereka. Sejuk hati dibuatnya.
Berbeda di Mesir. Orang tertindas , orang miskin, orang susah, orang terhimpit , yang bekerja atau yang merempit telah dengan jelas menyatakan 'kamu zalim' dan 'kamu mesti turun'.
Perjuangan mereka berteraskan tiga penjuru/sudut yang saling sebab-menyebab-hasil-akibat .'MISKIN, RASUAH, MAHAL'. Diketiga-tiga penjuru inilah mereka membina kekuatan, semangat dan ketahanan. Dipenjuru-penjuru itulah telah subur berkembang rasa kebencian, kebosanan, meluat yang telah lama tersemai dan dibajai oleh pemerintah.
Mengapa ujudnya kemiskinan. Atau mengapa mereka miskin. Mengapa ramai yang miskin.
Ada berbagai jawapan yang boleh diketengahkan bergantong kepada minat dan kecenderungan serta kecondongan masing-masing. Orang-orang akademik atau para ekonomis memberitahu kita 'kemiskinan itu adalah satu konsep yang relatif'. Ia tidak boleh dihapuskan. Yang boleh dihapuskan atau dikurangkan ialah kemiskinan tegar. Apa pula kemiskinan tegar? Adakah sama dengan papa kedana?
Sebenarnya jawapan yang diberikan banyak menggunakan perbandingan statistik. Misalnya:Orang ini dikatakan miskin kerana pendapatannya RM500 sebulan dalam sebuah keluarga mempunyai 5 orang ahli. Mungkin orang ini menjadi kaya berbanding dengan mereka yang berpendapatan RM50 dengan bilangan ahli keluarga yang sama. Perbandingan ini terus diluaskan keperingkat antara negara. Stastistik tidak ambil kira perasaan dan harapan masa depan, tidak juga selera, cita-cita dan maruah.
Ada juga yang memberi jawapan bahawa yang miskin dinegara kaya itu adalah disebabkan mereka itu malas berusaha. Kalau di Malaysia memang termashur mereka ini dikatakan suka duduk kedai kopi, berborak dan bermain dam. Satu gejala baru,mereka ini suka melepak, merempit. Yang memberi jawapan ini meyakinkan kepada para pendengar dengan kata-kata dan statistik betapa banyak tanah terrbiar yang tidak diusahakan.
Jawapan itu ada juga kekuatan dan kebenarannya. Cuma ada masanya lebih kepada menuding jari tanpa satu tindakan yang berkesan untuk memperbaikkinya. Kalau adapun tindakan, kadang-kadang dicemari dengan pilh kasih, pilih bulu atau pun pilih warna. Warna ini tidaklah terhad kepada warna kulit saja. Faktor keakraban dijadikan juga neraca pertimbanagan.Yang akrab dan dekat ini semakin rapat dan mampat, sehingga ada masanya susah untuk bernafas. Yang jauh semakin jauh, tersisih dan hilang dari mata.
Jadi ada berbagai jawapan yang boleh diberikan mengapa mereka jadi miskin. Namun orang miskin ini tidak akan marah kalau pendapatan mereka dibanding-bandingkan. Lebih-lebih mereka akan berkata"dah bahagian masing-masing". Mereka juga boleh menerima kalau kemiskinan itu disebabkan mereka malas dan tidak mahu berusaha. Tapi bagaimana sekiranya harta negara dibahagi-bahagikan mengikut formula: kau ambil satu aku ambil sepuluh. Atau aku ambil semuanya sebab aku yang berkuasa.Sesaat, sejam,sehari,seminggu,sebulan,setahun dan satu dekad mungkin mereka boleh menahan perasaan. Tapi bagaimana jika ianya berterusan sampai tiga dekad seperti di Mesir itu? Kita telah diberikan jawapan.
Maknanya, rakyat jadi miskin dalam sebuah negara yang kaya adalah disebabkan pembahagian kekayaan negara yang menjurang begitu besar. Ditambah lagi harta kekayaan itu terkumpul dikalangan beberapa penguasa yang berkuasa melalui penipuan, rompakan dan kerja-kerja pelanunan dengan menggunakan institusi dan instrumen dibawah kawalan. Penipu, perompak dan pelanun di Mesir atau dimana-mana sahaja dengan kuasa yang ada boleh dengan mudah melakukan hajat mereka itu. Mereka boleh berselindung atas nama kesetabilan, keamanan, perpaduan dan macam-macam lagi.
Itulah agaknya yang berlaku di Mesir; Rasuah dan Miskin terpisah jangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan