"Dato' Lim jangan bagi itu pengerusi pening kepala la. Saya pening tak apa boleh tampal koyok. Jangan marah. Nanti tak dapat projek"
Aku sudah pasti hantu itu ada. Ada di mana-mana. Asalkan ada ruang adalah hantu. Hantu ini jahat. Jadi jihadku mesti diteruskan untuk membunuhnya. Tapi bagaimana ,sebab hantu tidak dapat dilhat tidak juga dapat dipegang.
Satu hari aku teringat petua orang tua-tua .Apabila nampak seseorang yang kita tidak kenal, diwaktu malam pula dan kita mengesyakki orang ini adalah hantu, hendaklah kita mengalihkan muka kearah yang bertentangan kemudian membongkok dan melihat orang itu melalui celah-celah diantara dua kaki. "Kita menonggeng", kata nenekku. Sekiranya orang itu kakinya tidak mencecah bumi itulah dia hantu.
Sungguh mudah orang tua-tua dulu melihat hantu. Aku telah cuba buat eksperimen menonggeng ini. Aku telah meminta adikku berjalan diwaktu malam dan aku telah melihat adikku itu dengan menonggeng seperti petua yang telah diberi tahu. Nyata adikku bukan hantu. Itu eksperimen bodoh sebab adikku jelas seorang manusia. Kalau dia hantu maka aku pun hantu juga.Bodoh.
Tapi adakah orang tua-tua dulu telah melihat hantu. Atau sengaja mengadakan petua untuk menjawab persoalan kewujudan hantu.
Bagi orang tua-tua dulu setiap yang dipersoal akan diberi jawapan.Soal logik, tepat atau betul bukan panduan. Yang penting berikan jawapan kepada perkara yang ditanya. Kalau tidak malulah. Mereka orang tua-tua. Mereka mesti lebih tahu. Mereka lebih dahulu makan garam. Kalau tidak bagaimana boleh meyakinkan anak cucunya. Boleh kawal anak cucu yang jahat macam hantu. Mereka menjawab bukan saja secara mengeluarkan petua malah ada cara lain iaitu menerusi kiasan. Malah taktik menakut-nakutkan juga digunakan misalnya 'jangan tunjuk pelangi nanti kudung jari'.
Aku pernah mempertikaikan perkara ini apabila emakku terus mempercayai pesan nenekku yang aku percaya telah juga menerima pesan yang sama dari emaknya. Emakku sungguh marah sambil katanya "Itulah kau budak-budak tak percaya cakap orang tua-tua". Itulah biasanya jawapan yang diulang-ulang untuk mematikan persoalan.
Adakah fenomina ini tidak wujud sekarang? Semasa menghadiri satu ceramah agama, seorang ustaz telah ditanya apakah hukumnya kalau seseorang Islam itu tidak berpuasa. Ustaz itu pantas menjawab. Ditanya lagi bab tafsiran. Menjawab juga. Ditanya lagi perbankan Islam. Terus menjawab. Ditanya lagi apa bezanya perbankan Islam dengan perbankan konvensional. Beliau juga ada jawapan. Jawab mesti jawab sebab dia ustaz. Kalau tidak jawab malulah.,
Oh terlalu lama aku mengelamun. Sasaranku ialah membunuh hantu. Tetapi dimana hantu. Di Bukit Kayu? Di Lubuk Antu? Atau dalam rumahku?
Aku mesti applikasikan prinsip yang digunapakai orang tua-tua dulu. Juga ustaz yang berceramah dipejabatku itu. Prinsip serba tahu. Sekiranya tidak aku tidak ada jalan keluar. Jalan keluar mesti ada. Bukankah setiap penyakit itu ada ubatnya. Kalau ubat tidak ada jawabnya, matilah dia. Mati tiada jalan keluar. Semua orang tetap mati. Sudah pasti aku belum lagi mahu mati. Jalan keluar mesti dicari.
Aku telah buat keputusan untuk menjadi hantu. Aku yakin dengan pertukaran watak ini aku dapat menangkap dan membunuh hantu yang jahat itu. Ehh aku mesti jadi jahat ke? Bukankah aku benci orang jahat, penghisap darah. Tidak mengapa, demi keselamatan dan masa depan manusia aku mesti berkorban. Aku hendak pastikan kayuhan generasi akan datang bukan ke Bukit Hantu atau Lubuk Antu tapi ke Bukit Aman atau Lubuk Aman. Aku akan jadi "Orang jahat berniat baik", macam Robin Hood. Kalau tidak tiada jalan penyelesaian.
Aku jadikan pejabatku sebagai markas untuk menjadi hantu.
Aku telah diberi tanggung jawab sebagai ketua sebuah organisasi. Kuasaku terlalu besar dan menyeluruh dalam hal yang berkaitan dengan pembelian dan perolehan. Aku perlu jelaskan apa maksud perolehan ini supaya ada keterbukaan, ketelusan. Perolehan itu terrmasuklah yang berkaitan dengan pertimbangan dan keputusan yang akan ku buat dalam satu jawatankuasa yang aku menjadi pengerusi bagi tawaran kerja dan perkhidmatan. Termasuk juga cadangan projek. Secara mudahnya aku boleh bagi orang projeklah! Boleh bagi kontrak lah! Lihat betapa hebatnya bidang kuasaku. Hendak jadi hantu mestilah begitu.
"Modal berbayar syarikat awak hanya dua ringgit tapi nak buat projek RM100 juta". Nada suara ku agak tinggi dan jelas. Dato' Lim tuan punya syarikat tenang saja. "I agree with you tuan. That we will solve later. No problem". Aku bertambah marah dan merenung muka Dato' Lim yang bersahaja itu seoalah-olah kebimbangan aku mengenai keupayaan syarikatnya diperlekehkan. Aku dengan mentah menolak cadangan syarikat Dato' Lim itu. Sambil sedikit membongkok dan menganggok kepala beliau meminta izin keluar sebaik saja keputusan dibuat. Aku rasa puas.
"Tuan, can I see you a minute". Pohon Dato' Lim sebaik saja aku sampai dipintu pejabatku. 'Apa pula halnya nak jumpa aku ini', bisik hatiku. 'Cadangan dah kena tolak, baliklah. Buat menyebuk saja', suara hatiku berkata lagi. "Sorry to take your time tuan, just a minute, please", Dato' Lim merayu lagi. Nampaknya aku kalah dengan rayuannya itu. "Ok", kata ku ringkas.
(Cuba teka apa yang berlaku dalam bilik dan selepas itu).
Search Amazon.com for From Wall Street to Bukit Merah: Strategies of a corporate leader
Tiada ulasan:
Catat Ulasan