Theflowersellingboy

Ahad, 20 Februari 2011

Jerangau Merah Dari Bario





<--Ini adalah Jerangau Merah


                             

             Ini adalah Tongkat Ali  -->






Mungkin ada rakyat Malaysia  terutamanya  di semenanjung tidak tahu dimana letaknya Bario. Tetapi mungkin ramai sudah tahu beras Bario dan Orang Ulu.

Bagi anak-anak muda yang telah sebati dengan komunikasi moden mencari Bario tidak ada masalah. Ada GPS (Global Positioning System) untuk menunjuk pandu lokasi yang hendak dicari. Bagi generasi sebelum merdeka, tidak kesemuanya, ia merupakan  satu masalah.

Kita tidak pula mahu membicarakan GPS dan fungsinya. Tidak juga mengesahkan geograpi Bario itu sendiri secara terperinci. Cukuplah sekadar memberi maklum bahawa Bario itu terletak di negeri Sarawak Bumi Kenyalang, sebuah kawasan pedalaman. Kalau ada orang Serawak yang tidak tahu, lagi malu.Apa tah lagi wakil rakyat yang mungkin tidak pernah kesitu. Awas kuasa rakyat semua orang sedia tahu. Bagaimana sekarang bakal-bakal yb?:  Pilihanraya Serawak tidak lama lagi akan diberitahu. Jangan buat tak tentu nanti terkedu! 

Sebentar tadi, disebuah pasar besar disebuah negeri yang telah lama terkenal, seorang penjual ubat petah berbicara mempromosi obatnya minyak serbaguna.' Minyak ini telah terbukti dan sangat mujarab sekali untuk mengubati bermacam-macam penyakit. Ia adalah dibuat dengan bermacam akar kayu yang terdapat didalam hutan negeri Serawak'. Itulah yang dinyatakan dalam kertas kuning bersaiz kecil yang digunakan sebagai pembungkus botol yang berisi minyak yang dijual.

Penyakit-penyakit yang boleh diubati adalah' gila babi, sawan, terkancing gigi, kejang badan, pitam, pengsan, mabuk laut dan darat, sakit kepala, sakit pinggang, salah urat, sakit dada, ampus, sakit perut/kembung atau luka kena pisau dan digigit binatang berbisa, sapukannya saja ditempat yang sakit'. Demikianlah penyakit yang disenaraikan serta cara menggunakannya.

Penyakit yang disenaraikan dalam Bahasa Inggeris kurang dua dari yang diatas Mungkin ada masalah terjemahan atau dua penyakit tersebut tidak terdapat dikalangan Mat Salleh.

Oleh kerana tidak faham Bahasa Mandarin, tidak pula dapat dituliskan disini apa yang dinyatakan dalam kertas kuning pembungkus itu. Yang jelas tidak ada Bahasa Tamil. Tidak juga bahasa Orang Ulu Serawak.

Terdapat nama pengusaha minyak jerangau merah ini serta wakil penjualnya dalam cetakan kertas kuning kecil itu.

Pengalaman kita yang berkaitan dengan penjual obat dikaki lima  ini, menunjukkan bahawa mereka adalah seorang pembicara yang bijak dan meyakinkan. Mereka ada strategi untuk melakukan obat yang dijual. Mereka bukan orang tempatan. Obat yang dijual adalah obat serbaguna.

Banyak lagi ciri-ciri perniagaan obat dikaki lima ini. Tetapi kita hanya mahu bercakap mengenai empat hal yang dinyatakan diatas.

Mereka pembicara yang bijak dan meyakinkan. Kelihatan mereka menguasai bidang yang mereka  ceburi.Dengan petah dan lancar, menggunakan berbagai gerakan bahasa badan (body language), kata-kata yang menarik dan kadang-kadang lucu serta menghiburkan para pendengar. Tambah menarik, pakaiannya mestilah pakaian yang dianggap atau telah diterima sebagai pakaian daerah berkenaan walaupun para pendengar tidak pernah kedaearh tersebut atau tahu letak tempatnya. Misalnya pakaian yang dipakai oleh penjual obat minyak jerangau merah dari serawak ini adalah terdiri dari topi yang bercacakan bulu burung {burung kenyalang?), kalong leher bermanek (seperti buah tasbih) dan seluar pendek. Secara amnya pemikiran kita akan mengatakan, sekurang-kurangya saya, bahawa  orang ini dari daerah pedalaman.

Strategi perniagaan mereka tidak boleh dipandang lekeh. Merujuk penjual ubat dikaki lima pasar yang dimaksudkan, penjual obat itu membuka ruang niaga dipinggir pintu besar laluan memasuki pasar . Tidak  dipastikan samada permit atau lesen berniaga telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Ramai yang singgah dan yang membeli.

 Ada dua saiz botol yang digunakan . Satu kecil dan satu lagi besar. Menurut penjual, botol besar boleh menampung tiga kali isian botol bersaiz kecil. Bilangan botol bersaiz kecil tidak banyak berbanding yang besar.Harga minyak botol kecil hanya RM10.00, manakala yang botol besar RM20.00. Ini bermakna, menurut logik penjual, adalah menguntungkan jika kita beli minyak dalam botol besar kerana kandungannya bersamaan dengan tiga botol kecil yang dinilaikan satu botol RM10.00. Sudah selamat RM10.00.

Saya meragui apa yang dinyatakan oleh penjual minyak itu dan mengesyakki kejujuran cara berniaganya. . Pertama, secara mata kasar, botol besar itu diragaui boleh menampong  tiga kali isian botol kecil itu. Saya tidak mencabar kenyataan penjual minyak itu kerana ianya  mungkin boleh menimbulkan suasana yang tidak selesa apatah lagi sebahagian yang mendengar nampaknya tidak mengambil pusing, malah mempercayainya. Dimana pihak yang berkuasa.

Kedua, mengapa botol kecil sedikit berbanding botol besar. Dari segi perniagaan, peniaga  akan mementingkan volume jualan untuk meraih untung yang lebih. Adalah lebih menguntungkan jika minyak itu dimasukkan ke dalam botol kecil kerana bolih membuka luas bilangan pelanggan. Apa tah lagi sebahagian besar mereka yang berhenti mengerumuni penjual ubat itu terdiri daripada orang berpendapatan rendah, kalau lebih pun sederhana tinggi. Tempat itu bukan pasar raya.

Cuba kita kira berdasarkan strategi peniaga tadi. Katakanlah jumlah yang hendak di jual ialah dalam gabungan 5 botol kecil dan 10 botol besar. Strategi ini memberikan pendapatan, jika semuanya laku seperti berikut:
Satu botol kecil RM10x5 botol = RM50.00
Satu botol besar RM20x10 botol = RM200.00. Jumlah pendapatan RM250.00

Kalau peniaga tukar strategi jualan kepada menjual hanya dalam botol kecil saja. Jumlah botol yang boleh dijual ialah 35 biji iaitu 5 botol ditambah dengan 10 isian botol besar(3x10=30). Satu botol kecil RM10.00 jadi 35 botol  jika kesemuanya dibeli menjadi RM10.00x35= RM350.00. Strategi jualan ini membawa keuntungan sebanyak RM100.00.

Perbandingan kita berdasarkan kaedah 'apple to apple' tidak rambutan dengan apple. Ertinya minyak yang dijual pada isipadu yang sama.

Kita dapati strategi peniaga ini (menjual dengan kombinasi botol besar lebih banyak dari botol kecil) tidak menguntungkan sedangkan hujahan kita diatas menyatakan peniaga ini bijak berniaga. Mengapa strategi yang tidak menguntungkan itu di pilih? 

Seperti yang dihujah bahawa secara mata kasar dakwaan peniaga dari segi isipadu isisan botol besar adalah meragukan. Kitapun tidak yakin bahawa peniaga tidak mahu menggunakan strategi yang boleh meraih keuntungan yang lebih. Bukankah membuat untung itu matlamat seorang peniaga? Lagi banyak untung lagi baik. Tapi mengapa pilih strategi perniagaan yang merugikan (menjual dengan kombinasi botol besar lebih banyak dari botol kecil?).

Kita masih mengatakan bahawa peniaga ini menggunakan strategi mencari keuntungan yang besar iaitu dengan menggunakan kombinasi menjual botol besar lebih banyak dari botol kecil walaupun kiraan menunjukkan bahawa lebih menguntungkan jika peniaga menjual kesemuanya dalam botol kecil.. Ini bermakna ada unsur penipuan dalam perniagaannya..

Seorang yang bersama berdiri berdekatan dengan saya menghulurkan wang RM10.00 untuk mendapatkan botol yang kecil. Dengan manis penjual menyatakan minta maaf telah habis. Lain kali beliau akan bawa lebih. Kelihatan orang ini kecewa sambil memberitahu saya bahawa beliau telah pun beli dua botol kecil tetapi sudah habis. Berhadapan dengan saya pun meminta botol yang kecil. Jawapan sama diberi. Tapi yang ini tetap membeli minyak itu tetapi botol yang besar.

Adakah ini silap mata. Anda pembaca fikir sendiri.

Kita juga ingin membangkitkan beberapa perkara:
i) Adakah jualan obat dikaki lima ini tidak perlu lesen/permit. Saya fikir kita tahu, tetapi sudah terang lagi bersuluh.
ii) Tidak adakah pihak yang berkuasa misalnya Kementerian Kesihatan mengambil langkah tertentu supaya produk yang dijual selamat digunakan. Atau kita tunggu sehingga ramai yang jadi mangsa, misalnya cedera, kalaupun tidak mati baru kita teraba-raba hilang punca dan mula menuding jari. Kita perlu ada kes baru bertindak (buat case study).
iii)Adakah pihak penggubal undang-undang hanya berminat untuk menyampaikan sumbangan berbagai bentuk dan mengabaikan perkara-perkara asas peranan dan tanggungjawab ahli perundangan.
iv) Dimanakah pihak-pihak yang berkaitan dengan pembangunan usahawan kecil. Adakah perniagaan seperti minyak jerangau merah dari Bario ini tidak ada potensi untuk dikembangkan. Atau ianya datang dari Bario sebuah daerah pedalaman, apa perlu dikesahkan.

Kita tidak sesekali bersetuju dan mencadangkan untuk menghambat dan menghapuskan bentuk perniagaan khususnya penjual obat seperti ini malah kita wajib membangunkannya. Berilah mereka peluang berniaga menurut yang sepatutnya. Hindarkan atau kurangkan ciri-ciri berniaga yang diragui kejujuran dan tidak beretika. Mungkin orang akan berkata: berniaga mana boleh jujur dan lurus. Mana ada etika. Matilah.

Kalau anda mempercayainya dan berpegang kepada prinsip itu, andalah orang yang bertanggungjawab mengekalkan gejala penipuan. Dan anda jangan marah jika ditipu

Akhir kata, bakal-bakal YB apa khabar . Selamat melobi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan