Theflowersellingboy

Jumaat, 25 Februari 2011

Senaman Untuk Doktor

 
                                     
"oh yeah, really? Dr. Venu tahu. "Jangan buat malu tokpa. Kan dah tersipu-sipu", kata Yousef cucuku.                  


Hampir enam tahun aku menjalani pembedahan jantung terbuka. Alhamdulillah keadaanku sekarang ini lebih ceria berbanding sebelum pembedahan. Setiap pagi aku dan isteri membuat senaman berjalan kaki dihalaman rumah dengan melakukan seratus pusingan. Ianya mengambil masa diantara 46 ke 48 minit. Lebih dari masa yang dinasihatkan oleh doktor IJN yang membuat pembedahan dulu. "Now your heart is ok. But don't forget to do light exercises, at least 20 to 30 minutes a day. You also can do it alternately, and watch your 'makan'".Itulah nasihat yang diberikan padaku.

Selama enam tahun, senaman itu tidak pernah gagal ku lakukan melainkan jika aku pergi bercuti atau tidur semalam dua dirumah anak-anakku  di Kuala Lumpur atau pun di Muar. Tapi akhir-akhir ini nampaknya kegairahan itu semakin lama semakin pudar menurun. Selepas solat Subuh, aku dan isteri sambung tidur sehinggalah jam sepuluh. Tiada siapa yang nak ganggu. Dua orang anakku  masih lagi belajar, seorang di Mesir dan seorang di England. Jadi  bebaslah kami berdua.

Senaman berjalan kaki mengelilingi halaman rumah sudah tidak boleh bertahan. 'Senaman itu tidak ada persaingan. Isteriku bukan pesaing bagiku, hempah hempoh dia mengayuh. Selalu tertinggal sepuluh atau lima belas pusingan. Lokasi senaman pun menjemukan, tidak kondusif, boring'. Tidak mampu bersaing dengan tilam empok dibilik tidurku yang sentiasa dingin mengulit.

Suatu hari, dada dibahagian kiriku terasa bagai ditusuk. Tidaklah terlalu sakit tapi boleh merisaukan. " Angin agaknya", pujuk hatiku. Ini sudah tentu pukulan sayur nangka masak cili api.  Sedap bukan main. Nasi bertambah.  "Mungkin juga ada kaitan dengan jantung", yang ini sungguh menakutkan.

Temujanji dengan doktor IJN telah dibuat. Hari Rabu. Dua hari lagi.

Hari keesokannya iaitu sehari sebelum ke IJN, diwaktu pagi jam tujuh aku dan isteriku  berjalan menuruni bukit melakukan senaman diluar kawasan rumah, untuk berubah angin mendapat satu suasana baru yang  tidak jemu. Itulah yang telah kami sepakati sebelum melelapkan mata  tadi malam.

Bukan main laju kami menuruni bukit. Isteriku memegang tanganku takut-takut tergelincir jatuh. Kami melalui sekolah dan Hospital Pantai. Kemudian berpatah balik menuju kerumah. Kali ini giliran kami mendaki. Isteriku termengah-mengah sambil berpaut pada tanganku. Tercungap juga aku dibuatnya . Akhirnya sampai juga ke kawasan rumahku.

Isteriku sudah mengalah. Duduk bersandar diatas bangku kayu sambil mulut terkumat kamit membebel "habis mati pokok bunga, kering tak bersiram", kecewa nampaknya.

Aku meneruskan senaman. Mesti keluar banyak peluh. Keluar yang masin, pecahkan lemak-lemak. Semuanya itu penyebab darah tinggi, menyekat aliran darah.  Jantung terpaksa bekerja kuat mengepam aliran darah kerana saluran darah semakin menyempit. Saluran darah jadi tersumbat. Heart attack. "Aduh du dui dui,  jauhkan aku dari serangan jantung itu ya Allah" tangan kanan ku meraba-raba dada sebelah kiri seolah-olah jantungku diserang.

Langkah kakiku makin laju dan deras. Tujuanku untuk mengeluarkan air masin yang menjadi punca penyakit. Lemak-lemak mesti dihancurkan semua. Besok hari Rabu aku nak jumpa doktor. Sudah tentu, berat badanku ditimbang, tekanan darah dibaca, tahap kolestrol diambil, ecg dilakukan dan tahap gula direkodkan.

Aku tidak mengira berapa pusingan yang telah ku lakukan. Itu tidak penting .Tumpuanku kepada berapa banyak peluh yang menjejer diseluruh anggota badanku. Adakah  baju 't'dan track suit sudah
lencun.  Malulah kalau doktor mendapati berat badanku bertambah, paras gula dan kolestrol meningkat. Tekanan darah juga meningkat. Bacaan ecg, ah yang ini aku tidak tahu. Aku tidak faham graf yang ditunjukkan padaku. Aku lihat macam graf harga saham , turun naik. Agaknya yang naik itu adalah yang terbaik, boleh jual segera. Kesitu pula hayalanku.

Aku mesti berjalan lebih laju. Laju, laju,laju, lajuuuuuuuuu. Esok nak jumpa doktor. Jangan buat malu. Tiba-tiba kepalaku rasa pening, mata menjadi semakin kabur, tangan kananku melekat pada dada sebelah kiri. Aku rasa sakit. Tanganku lemah, kaki longlai nak melangkah dan......

"Bang, pa, bang, pa pa, bang ", aku membuka mataku apabila terdengar panggilan yang sayup sayup itu. Isteri dan anak-anakku  menangis syukur gembira kerana aku telah sedar dari pengsan. "Kat mana ni; IJN ke". Isteri dan anak-anakku menggeleng kepala. "Pantai", jawab mereka semua.

Besok aku ke IJN. Aku nak beritahu Dato' Dr. Venu "Everything is ok". "Oh yeah, really?". Aku mungkin tersipu-sipu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan