Apakah cucuku ini akan mengecapi satu kehidupan yang aman dan sejahtera
Saya percaya semua orang tidak kira kedudukan, peranan dan tanggongjawab mengimpikan malah mengharapkan supaya dapat mengecapi kehidupan yang bahagia, aman dan sejahtera. Tidak ada seorangpun yang mahu jadi susah, miskin dan papa kedana.Semua orang berimpian atau berharap untuk menjadi senang, kaya dan berharta. Sekurang-kurangnya hidup selesa. Satu kehidupan yang aman dan sejahtera.Mungkin ada kekecualian. Yang ini luar biasa.
Tidak sekadar mengecapi, mereka juga mengharapkan supaya generasi pewaris akan juga menikmati kesejahteraan yang sama, malah mengharapkan lebih baik dari yang dikecapi.
Secara umum orang menganggap pembangunan ekonomi atau ekonomi yang tumbuh dan berkembang boleh memungkinkan atau faktor yang boleh menjadikan sesebuah negara dan rakyat mendapat taraf kehidupan yang baik, kalau pun tidak semua jadi kaya. Kita akan lihat kenyataan ini berdasarkan pertanyaan yang dikemukakan.
Apakah itu Pembangunan Ekonomi? Apakah input/input yang perlu ada dan penting bagi ekonomi sesebuah negara itu untuk maju dan berkembang? Apakah ekonomi yang berkembang sahaja matlamat akhir kewujudan dan kesinambungan sesebuah negara?
Berbagai pandangan telah diberikan berkaitan dengan pengertian pembangunan ekonomi ini. Ada yang melihat pembangunan ekonomi itu dari perspektif input yang perlu bagi mencapai pertumbuhan (kita panggil golongan ini sebagai 'growth focus') dan satu pihak lagi dari segi pertumbuhan dan agihan atau 'growth and distribution f ocus.
Golongan 'growth focus' ini sebahagiannya berpendapat bahawa sumber kewangan yang mencukupi dan penggunaannya yang cekap adalah merupakan syarat (pre-condition) bagi pertumbuhan ekonomi. Dengan demikian bagi memmpertingkatkan kadar pertumbuhan ekonomi, sesebuah negara itu wajar mempunyai sistem kewangan yang berkembang maju dan moden bagi membolehkan penggembelingan sumber tersebut dengan cekap.
Ada juga yang mempunyai pendapat yang bertentangan yang menyatakan bahawa sistem kewangan tidak mempunyai peranan yang besar dalam pertumbuhan ekonomi sesebuah negara malah ianya memberi peluang kepada pihak-pihak tertentu untuk mencari keuntungan.
Seterusnya ada yang berpandangan bahawa sumber kewangan bersama-sama dengan input-input lain seperti sumber semula jadi, buruh, pasaran, pengurusan, teknologi dan kemampuan keusahawanan adalah input-input yang diperlukan untuk sesuatu ekonomi itu berkembang.
Golongan 'growth and distribution focus' pula melihat pembangunan ekonomi dari segi kadar pertumbuhan dan agihan kekayaan ekonomi negara tersebut hasil daripada penggembelingan (mobilisation) sumber-sumber yang ada.
Ada juga yang menggunakan pendapatan per kapita bagi mengukur pembangunan atau perkembangan sesebuah ekonomi.
Samada golongan itu berpegang kepada hujah 'growth focus' atau 'growth and distribution' atau pendapatan per kapita, yang penting ialah kesejahteraan rakyat negara tersebut. Pembangunan ekonomi itu mestilah menjurus kearah mengurangkan atau mengecilkan jurang pendapatan dikalangan rakyat. Terdapat dua elemen yang penting sekiranya kita mahu pembangunan ekonomi itu memberi makna dan menfaat kepada rakyat iaitu i)ekonomi mesti tumbuh/berkembang dan ii) mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat. 'Growth with equity'.
Bagi persoalan kedua dan ketiga iaitu apakah input yang diperlukan dan adakah hanya pembangunan ekonomi sahaja bagi kesinambungan sebuah negara bangsa?
Jawapan kepada persoalan-persoalan ini lebih menjejak ke bumi jika kita buat rujukan kepada negara kita Malaysia.
Pada pendapat saya secara amnya terdapat empat input yang penting bagi membolehkan ekonomi sesebuah negara itu berkembang iaitu kewangan, sumber manusia, teknologi, kesetabilan politik.
Tanpa penyelidikan dan kajian yang terperinci, saya percaya kita mempunyai kelebihan dan kekuatan dalam kesemua aspek yang dinyatakan itu. Berbagai pembaharuan yang telah diperkenal dan di buat oleh kerajaan misalnya Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi serta sasaran Keberhasilan Utama Negara dan liberalisasi sektor ekonomi tertentu dan yang lainnya adalah menjurus kearah meransang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Matlamat kerajaan pun jelas iaitu menjadikan Malaysia Negara berpendapatan Tinggi.
Kerajaan juga memberi fokus kepada pembangunan modal insan dengan mendirikan berbagai institusi pendidikan dan latihan. Usaha terbaru yang diperkenalkan kerajaan ialah mempelawa warga Malaysia yang berada diluar negara yang mempunyai berbagai kepakaran untuk kembali ketanah air menyumbangkan khidmat mereka.
Dari segi teknologi juga ia bukan menjadi satu halangan kepada Malaysia untuk bergerak selaras dengan keperluan dan kaedah berurusan semasa samada diperingkat domestik mahupun global.
Dari segi kesetabilan politik kelihatan ianya setabil. Namun beberapa ubahsuaian dan pembaharuan perlu dilakukan. Politik Malaysia berteraskan demokrasi iatu pemerintah dipilih oleh rakyat. Ada kewajarannya untuk melihat tahap keberkesanan institusi-institusi mahu pun instrumen yang ada dalam menyokong proses dan penegakan demokrasi itu sendiri. Bahawa tidak dinafikan, kita tidak boleh mengambil sepenuhnya model demokrasi dan cara mentadbir dari mana-mana negera samada di barat atau di timur waemah dari negara jiran Singapura tapi kedudukan/ranking amalan demokrasi Malaysia seperti yang disenaraikan oleh World Democracy Audit ditakok 80 adalah merimaskan. Kedudukan kita baik sedikit daripada negara Mesir yang disenaraikan pada takok 91. Ranking ke 42 dari segi amalan rasuah juga mungkin tidak akan meransang dan satu daripada kekangan untuk ekonomi berkembang.
Merujuk kepada persoalan ketiga iaitu adakah pembangunan ekonomi saja yang boleh menentukan kesinambungan kehidupan negara bangsa?
Ekonomi kita berkembang tahun demi tahun dan pendapatan kita bertambah selaras dengan cita-cita kita untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Adakah itu jaminan yang ampuh untuk kita mewariskan negara kita kepada generasi yang akan datang. Atau dalam bahasa yang mudah adakah kita dan generasi pewaris akan menikmati kehidupan penuh sejahtera.
Makanya fokus kita tidaklah kepada meningkatkan pendapatan negara ketahap yang tinggi semata-mata. Malah pendapatan per kapita yang tinggi bagi sesebuah negara tidak memberi gambaran sebenar tahap dan taraf kehidupan rakyat sesuatu negara. Ianya tidak sihat jika kekayaan itu dimonopoli oleh sebahagian kecil rakyat. Lagi bertambah buruk sekiranya kekayaan itu berada pada pihak penguasa dan berkepentingan, apatah lagi diperolehi secara tidak sah. Satu perkara yang amat berbahaya di Malaysia jika kekayaan itu melebarkan jurang berdasarkan kaum.
Jadi apakah fokus kita yang sebenarnya. Seperti yang telah kita hujah diatas bahawa ekonomi perlu tumbuh dan berkembang.Tetapi tumbuh dan berkembang tanpa sasaran dan matlamat yang tepat ia tidak memberi makna bagi mengujudkan satu kehidupan yang sejahtera. Kehidupan yang berkualiti.
Oleh itu sasaran yang perlu diberi fokus ialah mereka yang kehidupannya daif, miskin dan tidak mempunyai keupayaan untuk bersaing tanpa memilih kaum, agama mahupun perbedaan politik tanpa meminggirkan mereka yang menggerakkan kerancakan ekonomi negara. Matlamat kita hanyalah untuk kesemua mereka dapat menikmati bersama kesejahteraan hidup dalam sebuah negara yang kita sama-sama cintai.
Bersetuju, dasar-dasar dan program yang telah dan sedang dibuat adalah menuju kesasaran dan matlamat yang dimaksudkan. Namun ada bahagian-bahagian yang perlu ditambahbaik , diubahsuai, diubah dan ditukarganti samada diperingkat dasar, program mahu pun pelaksanaan. Saya tidak bertujuan untuk memperincikan bahagian-bahagian tersebut, hanya cukup sekadar membangkitkan ranking yang dikeluarkan oleh World Democracy Audit berkaitan amalan demokrasi dan rasuah di negara ini.
Secara ringkas dan am kita perlu melihat dan mengkaji perkara-perkara berikut:
i) memberi pelajaran percuma disemua peringkat pendidikan kepada semua rakyat. Skim pinjaman daripada berbagai institusi telah melahirkan generasi muda yang berhutang,
ii) undang-undang dan peraturan yang boleh menyekat perkembangan dan potensi individu.
iii) meneruskan sekolah wawasan.
iv) kesesuaian menghadkan tempoh perkhidmatan ketua kerajaan diperingkat negeri dan persekutuan.
Sesungguhnya apa yang saya/anda impi dan harapkan ialah satu kehidupan yang aman dan sejahtera untuk kita kecapi bersama yang merangkumi pembangunan ekonomi, kehidupan sosial yang terurus sempurna dan kesuburan politik yang memberi nilai kepada keterbukaan dan integriti. Sebahagiannya telah dan sedang kita kecapi atau sekurang-kurangnya sebahagian besar rakyat dinegara ini. Ianya akan menjadi lebih manis apabila pewaris kita nanti akan mewarisi satu kehidupan yang lebih baik daripada kita. InshaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan