....... . dipadang pasir inilah gamaknya Mat Jenin disemadikan
Semua orang nak jadi kaya. Paling tidak, angan-angan nak jadi kaya.
Ingat tak cerita penglipurlara Melayu watak Mat Jenin panjat pokok kelapa sambil berangan-angan nak jadi kaya. Sudahnya mati katak jatuh dari atas pokok kelapa. Tambah cerita, Mat Jenin ni mati mukanya senyum suka. Agaknya dia mati terus jadi kaya.
Tapi sayang isterinya tak ada sama, waemah jiran sebelah pun tak ikut serta. Kalau mereka ada bolehlah Mat Jenin tayang-tayang dan banding-bandingkan 'kaya' yang ada. Lihat siapa lebih kaya!
Apa ukuran kaya? Sebenarnya Mat Jenin telah sedia beri jawapan. 'Kaya' mesti ada perbandingan, mesti ditayang-tayangkan. 'Kaya' Mat Jenin mesti lebih dari isteri dan jirannya. Tiada bandingan, tiada tayangan, 'kaya' tidak punya makna. Kesian Mat Jenin. Dah jadi kaya, tapi tiada pesaingnya.
Tapi ada persoalan 'kaya' yang tidak dijawab atau mahu dijawab oleh Mat Jenin. Misalnya, apa itu kaya; macam mana nak jadi kaya; siapa boleh jadi kaya; berapa lama boleh jadi kaya; apakah risiko jadi kaya.
Sebelum menjawab apa itu kaya, peningkan kepala sedikit dengan meluaskan perspektif 'kaya' itu. Ada orang suka tambah kata kaya itu menjadi kaya raya, kaya budi, kaya harta, kaya anak kaya bahasa dan macam-macam boleh ditambah selepas kata kaya itu. Tapi yang selalu kita dengar dan amat diminati orang ialah macm mana nak jadi kaya raya. Kalau kaya harta, ramai yang gembira. Kaya anak, itupun boleh juga. Bila dua sahabat berjumpa, soalan wajib ditanya ialah berapa orang anak. Soalan berapa banyak harta, selalunya mengekori kemudian selepas serasi diantara pembicara. Tak boleh tanya sebaik berjumpa. Kurang adab tak tahu bicara.. Orang seperti ni tak kaya bahasa, sama ertinya tak berbudi bahasa.
Lihat, 'kaya' diatas tidak jadi masalah. Kaya anak memang membanggakan; kaya budi, kaya bahasa itu yang dicari. Apatah lagi kaya raya. Namun ada kata 'kaya' yang menggerunkan bila diikuti dengan kata yang dianggap boleh membunuh. Ingat tak kata-kata ini: Kalau tak kaya kayap. Mungkin kayap itu sejenis penyakit yang membunuh.
Sekarang tiba masanya kita cuba menjawab macam mana nak jadi. Ini bukan skim cepat kaya Pak Man Telo yang terkenal suatu ketika dulu. Skim ini satu skim konvensional yang telah ujud sebelum zaman Pak Man Telo lagi. Skim ini tidak susah. Tak perlu ada ijazah MBA atau yang setaraf dengannya.Cuma tengok-tengok, pandang-pandang dan banding-banding. Dengan cara itu ianya meransang untuk kita turut sama.Tapi tengok-pandang-banding ada formulanya seperti yang diperturunkan dibawah ini:
Renjis merenjis, garu menggaru, siapa tau
Acah-acah tolak, salam menyalam, sorong masuk
Serapah jampi: puh sana, puh sini
Umpan terbaik lagi terpilih, buat kerenah, buat susah, biar dia naik lelah
Ancak dihulu tunggulah dihilir, nasib untung terkaitlah dia, jadi kita punya
Hati-hati, jaga-jaga, ada Jaga nanti susah.
Hendak jadi kaya mesti ada gaya, pandai bicara, bernafsu selera dan ada formula. Rupa-rupanya ada Rukun Kaya macam Rukun Negara, Rukun Sembahyang dan yang lainnya. Cuma Rukun Kaya agak istimewa dan berbeda. Tidak ada tertib yang dahulu didahulukan. Boleh segala. Kalau anda percaya kepada formula ini anda akan jadi kaya. Tapi Awas anda juga boleh jadi KAYAP.Yang pasti hanya Allah SWT sajalah yang MAHAKAYA.
Mat Jenin terus tersenyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan