Theflowersellingboy

Khamis, 17 Februari 2011

Kayuhan ke Bukit Hantu

 GAMBARAN HIASAN
 Ini bukanlah hantu,tapi mungkin hantu menyorok didalamnya

Aku teringat  semasa kecil zaman persekolahan dulu  akan cerita-cerita  hantu dan yang segolongan denganya yang selalu diulang cerita oleh mak dan nenekku diwaktu malam sebelum melelapkan mata. Aku , abang dan adik-adikku yang lain  tidak jemu-jemu mendengar cerita-cerita hantu itu. Kadang-kadang sepupuku juga turut serta. Ceritanya sungguh seram dan menakutkan. Apa saja nama hantu yang diceritakan wataknya tidak lepas dari menjadi pengacau, jahat suka mengganggu ,penghisap darah dan semua yang bersifat buruk. Muka, hidung, rambut ,mata , kepala, perut ,kaki, kuku kaki, kuku  tangan, telinga, suara, saiz badan dan  warna kulit semuanya dibayangkan amat menyeram dan menakutkan. Bukan saja aku, abangku dan adik-adik yang lain berhimpit-himpitan saling berpelukan sepanjang tangan menjangkau, malah nenekku juga menghampiri kami semua sambil bercerita.Tapi dengar tetap dengar. Cerita tetap cerita kalau tidak kami tak lelap mata.

Sebahagian dari nama-nama hantu yang aku ingat adalah hantu dapur, hantu kopek,  hantu air, hantu jerangkong. Makhluk yang segolongan dengannya pula adalah pontianak dan langsuwe.

Mengikut bacaanku, hantu ini ada dimana-mana, dibarat, ditimur, diutara mahupun di Selatan. Terdapat dinegara kafir dan juga negara Islam. Perangai dan wataknya sama saja, jahat, pengacau, penghisab darah. Yang berbeza hanya panggilannya saja. Ada yang panggil 'ghost', 'phantom', 'kui' dan macam-macam lagi.

Yang aku hairankan macam mana hantu ada  dinegara Islam. Sebab kita ada ayat-ayat al-Quran . 'Kita baca ayat-ayat al-Quran sudah pasti hantu lari lintang pukang. Tak tahan kepanasan', kata ustaz.

Kawanku, seorang anggota peace corp dari Amerika Syarikat yang bekerja sepejabat denganku tidak percaya wujudnya hantu. Steve pernah mengajakku malah mencabarku untuk pergi kesebuah kuaters kerajaan yang telah aku tolak tawaran untuk mendiaminya kerana dikatakan ada hantu. Beliau ajakku pergi pada malam Jumaat, yang dipercayai hantu selalu menjelma untuk mengambil gambar.  Dia mencabar cerita nenekku yang telah sebati dalam otak kepalaku ini.

Aku memendam perasaan marah. Aku nak buktikan kepada Steve, hantu-hantu ini memang ada dan berkeliaran. Kalau tidak bukit di kampongku itu tidak di panggil Bukit Hantu. Banyak nama yang boleh diberi misalnya Bukit Kayangan atau sekarang dimodenkan sikit menjadi Kayangan Heights. Sedap mulut untuk menyebutnya.

Aku bertekad akan membuat sesuatu , mencari jalan dan menuntut ilmu untuk menjahanamkannya.Hantu mesti dihapuskan. Tidak ada seekor, oh tidak pasti aku penjodoh bilangan  ini sesuai untuk hantu. Tapi buat ketika ini, aku panggil seekor sama dengan binatang. Kayuhan ke Bukit Hantu perlu diteruskan. Itu destinasiku.

Sebelum ke Bukit Hantu aku mesti membuat persediaan terlebih dahulu kerana seperti yang telah diberitahu, hantu-hantu ini suka mengacau dan mengganggu. Malah ada yang laparkan darah. "Sediakan payong sebelum hujan", itulah petua yang selalu dipesankan kepadaku.

Persediaan pertama, aku mesti mengenal siapa atau apa itu hantu . Kenal lihat wajahnya dulu. Setakat watak dan peribadai, aku sudah diberi tahu.Tapi itu adalah gambaran nenekku saja yang tidakpun pernah berjumpa dengan hantu. Ada juga filem hantu tetapi yang menjadi hantu adalah manusia seperti aku. Diatas kertas, dinding dan kain kanvas pun ada coretan dan contengan yang dikatakan hantu. Baju 't, kegemaran anak muda, tidak kurang situa bangka wajah hantu sentiasa bersama.

Sama seperti nenekku, para artis, pengeluar pakaian itu tidak juga pernah tengok hantu.

Nampaknya hantu ini telah menguasai kehidupan manusia . Hantu  telah mengambil satu dimensi baru. Hantu tak perlu ditakuti. Tidak perlu seram dan gerun. Malah wajahnya ada nilai komersil. Buat cerita hantu, mesti laku. Pengeluar filem tidak lagi senyum tersipu, malu-malu sebaliknya tersenyum lebar, ketawa berdekah, pendapatan lebih boleh ke Mekah, kalau orang Islamlah. Pembuat dan penjual baju 't' pun tumpang tuah. Upah pereka (designer), bayar lebih tak jadi hal sebab duit masuk mencurah. 'Jualan tentu laris punya', komen yang sentiasa dituturkan oleh pembuat untuk meyakinkan penjual yang sudah sedia yakin. Bulan lepas saja berduyun-duyun anak muda, termasuk situa berebut-rebut membeli baju 't' berwajah hantu.

Kedua, bagaimana nak menghadapinya, perlukah aku bawa senjata seperti parang, senapang, buluh runcing, pokok atau daun berduri seperti dahan enau atau daun mengkuang kerana khabarnya ada hantu yang takutkan duri, tangkal dan serapah, hafalan ayat-ayat Quran dan apa saja yang dirasakan boleh membantu. Mungkin juga dia perlu upah, aku rasuahkan dia. Sebelum buat begitu,  aku mesti berpakat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), maaf bukan berpakat. Kalau berpakat perbuatan itu dipanggil konspirasi yang ramai orang benci tetapi bekerjasama, kongsi maklumat. Sebab orang yang memberi juga boleh didakwa rasuah, dan kalau mahkamah dapati bersalah masuk penjaralah aku. Tidak  tidak  tidak. Aku ada anak, dua dah bekerja dan dua lagi masih belajar, ada isteri  dan masih ada emak. Siapakah nak tanggong mereka. Aku juga ada seorang cucu, seorang lagi akan muncul, tak adalah peluang aku mendukugnya.

Ketiga, kalau benarlah hantu-hantu itu tabiatnya suka mengacau dan mengganggu manusia, aku bertekad dan nekad untuk membunuhnya supaya generasi manusia yang akan datang dapat diselamatkan. Aku anggap ini satu jihad. Amal makruf nahi munkar, itu yang diajar oleh ustaz. Jihad ini, jika berjaya, aku tidak perlu lagi berkayuh ke Bukit Hantu kerana semua hantu dah tiada, mati.  Hilanglah nama Bukit Hantu dipeta dunia.

Tapi adakah hantu itu hanya tinggal di Bukit Hantu dikampongku saja. Bagaimana diLubuk Antu di Serawak. Kalau beginilah halnya, menjadi tangonggjawabku uintuk  naik belon terbang ke Serawak sebelum berdayung ke Lubuk Antu. Tidak mengapa. Ini Perjuangan. Ini Jihad. Kalau mati pun mati syahid. Terjamin masuk syurga.


 INI PUN GAMBAR HIASAN

..... kalaulah 'aku' dapat milikkinya tak perlu berkayuh ke Bukit Hantu.Entah-entah hantu dah beli

yang ini pula cucuku, dia tak takut hantu

(ikuti paparan seteusnya: macam mana 'aku' berjihad dengan menggunakan tiga strategi persiapan yang dikesahkan tadi. Berjayakah 'aku' buat kayuhan ke Bukit Hantu. Adakah masih ada lagi stamina 'aku' untuk berlawan dengan hantu selepas berkayuh beberapa batu, termengah-mengah lelah menaikki Bukit Hantu. Atau adakah 'aku' putus asa, putus harapan sebab hantu-hantu makin membiak, bukan saja berada di Bukit Hantu, Lubuk Antu malah dalam rumah pun telah ada hantu. Inilah yang menghantui 'aku' dalam berjihad melawan hantu.) Stay tuned.

 coretan ini berdasarkan kisah benar untuk menghibur hati. Kalau tak percaya tanyalah Pak Pandir yang tersenyum melihat anaknya  'ketawa besar' dalam kawah air panas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan