Masa berjalan begitu pantas sekali. Rasanya baru beberapa tahun saja saya meninggalkan zaman persekolahan, baik sekolah rendah, sekolah menengah mahupun university. Saya teringat cerita di sekolah rendah. Cerita tahun 1955.
Semasa mula menjejak kaki pada hari pertama menjadi murid darjah satu, saya mendaftar sendiri. Tiada perasaan takut, berdebar atau gementar. Amat bangga sekali kerana tidak lagi dibawah ketiak emak, sudah boleh buat sendiri.
Waktu itu sebahagian besar murid-murid baru tidak ditemani oleh ibu atau bapa atau kedua-duanya untuk mendaftar masuk sekolah pada hari pertama. Mereka mengikut kakak atau abang atau kawan-kawan yang lebih tua untuk hadir ke sekolah. Mereka yang tua inilah bertanggongjawab ke atas kemasukan murid-murid baru itu.
Saya sendiri, mengikut kawan-kawan yang lebih tua tanpa dihantar oleh emak atau abah. Emak, ada kerja rumah yang perlu diurus. Abah pula perlu terus mencari rezeki. Sekolah anak bukan keutamaan malah membebankan. Kalau tidak bersekolah pun tidak jadi hal. Malah setengah ibubapa lebih suka anak menolong mereka melakukan kerja dari hadir ke sekolah.
Kos untuk ke sekolah tidaklah banyak. Bagi darjah satu, yang perlu ialah papan batu dan sebatang dua kalam untuk latihan menulis. Tidak ada buku teks dan buku tulis yang lain. Walaupun telah ditetapkan memakai uniform sekolah, baju kemeja lengan pendek putih dan seluar pendek biru tapi ada juga murid-murid memakai pakaian selain dari itu kerana tidak mampu beli yang baru.
Kasut? Hanya ibubapa yang ada sedikit lebihan wang saja yang mampu membeli untuk anak-anak mereka. Sebahagian besarnya berkaki ayam. Saya? Sama saja, tapak kaki sudah jadi keras kematu, pijak batu krikil yang tajam pun tidak jadi hal. Duri mengkuangpun patah dibuatnya.
Pergi sekolah hanya menapak saja. Tiada bas atau van sekolah. Kenderaan sewapun tak ada. Apatah lagi kereta sendiri. Basikal? Hanya seorang dua yang ibubapa orang berada.
Ini tidak bermakna sekolah itu dekat dengan rumah. Macam saya, jarak rumah ke sekolah kurang lebih 7 kilo. Menapaklah saya berkaki ayam diatas jalan raya yang merah yang berdebu. Cuma pada ketika itu cuaca tidaklah terlalu panas macam sekarang. Lagi pun persekitaran ketika itu dipenuhi dengan pokok dan tumbuhan. Banyak redup dari panas.
Dulu kita ada juga mata pelajaran sains. Tapi dipanggil sebagai ilmu kejadian. Murid-murid diajar tentang tanaman seperti kacang panjang, terong, kacang tanah, sawi , bende, keledek dan berbagai lagi sayuran termasuk cili.
Jadi semua murid terlibat dalam menanam dan menjaga dan menguruskan sayuran atau tanaman mereka. Murid-murid dibahagikan kepada kumpulan tertentu yang diketuai oleh murid darjah enam. Masing-masing kumpulan ini diberikan tanah menurut keluasan tertentu untuk menjayakan tanaman masing-masing.
Kumpulan saya dulu menanam keledek. Jadi saya dan kawan-kawan membina batas untuk menanam keledek. Setiap pagi, biasanya murid darjah paling rendah akan dikerah oleh abang-abang untuk membuat siraman keatas tanaman itu. Kerja membaja juga perlu dibuat. Bagi saya untuk mendapat baja tidak jadi masalah. Saya boleh dapatkan baja tahi lembu dirumah. Tapi abang-abang yang tua suka membuli. Mereka nak baja tahi ayam. Katanya baja tahi ayam memberikan hasil yang lebih baik. Tapi, baunya, tak boleh nak cerita. Busuk.
Hasil tanaman itu akan dipertandingkan dikalangan 'pekebun-pekebun' itu. Tapi tidaklah ada hadiah disediakan bagi pemenang. Dan ianya tidak dijual, tapi dibahagi-bahagikan sesama ahli kumpulan.
Satu lagi mata pelajaran pada masa itu ialah nyanyian. Sekarang mungkin ada pelajaran muzik. Murid-murid akan dibawa keluar dari bilik darjah dan dibawa duduk dibawah pohon rendang misalnya pohon rambutan. Cikgu, biasanya cikgu perempuan akan mengajar kita menyanyi. Antara lagunya ialah 'Lagu Tiga Kupang', 'Tanya Sama Pokok' dan 'Bangau oh Bangau'. Sessi menyanyi ini sungguh menyeronokkan.
Satu lagi sessi pelajaran yang menyeronokkan bagi sebahagian murid dan membeban, menyiksa dan mendebarkan bagi setengah yang lain ialah sessi mencongak. Sessi mencongak ini ialah membuat kiraan otak secara pantas. Tidak boleh gunakan pensil atau buku sifir. Dan tidak pula boleh menggunakan jari. Ianya untuk menguji kepantasan otak membuat kiraan. Ianya juga digunakan sebagai cara untuk melepaskan mereka yang berjaya untuk balik lebih awal. Ertinya ia merupakan mata pelajaran akhir sebelum tamat waktu persekolahan, lebih kurang sejam sebelum berakhir waktu tersebut.
Selagi tidak dapat menjawab atau tidak berjaya, murid itu tidak akan dilepaskan lebih awal dari waktu berakhir sekolah. Dan mereka akan dihukum berdiri diatas bangku.
Bagaimana dengan prestasi saya? Jangan tanya begitu. Sebab saya paling seronok dan sentiasa menunggu sessi mencongak ini. Sebab, saya tidak pernah gagal, semua beres dapat segera dijawab. Bukanlah nak kata hebat, tapi saya bersaing dengan anak-anak kampong, yang zero dari segala segi, walaupun saya juga anak kampong. Cuma entah macam mana dapat juga menjawab. Kalau lawan dengan anak orang bandar, sudah tentu saya dapat kedudukan corot.
Saya seronok kerana berjaya menjawab dan boleh balik cepat dari waktu sepatutnya. Tapi saya tidak balik juga. Walaupun saya boleh balik cepat tapi saya tetap menunggu sehingga sampai waktu akhir sekolah. Saya mahu melihat kawan-kawan yang tidak dapat menjawab, yang menggigil-gigil apabila dimarahi oleh guru. Bukan saja marah, ada yang kena tengking dan dirotan. Semua yang gagal diminta berdiri diatas bangku.
Adakah saya ketawakan mereka itu? Tidak. Saya simpati kepada mereka. Bilangan yang tidak dapat menjawab adalah terlalu ramai. Murid yang sama.
Lebih mudah saya katakan begini: Hanya saya dan seorang murid perempuan saja yang berjaya dalam setiap kali diadakan sessi congak menyongak. Kadang-kadang jari-jari tangan saya bergerak-gerak untuk memberi klu kepada kawan-kawan akan jawapan yang perlu diberi. Tapi jarang yang dapat membaca klu itu dengan tepat. Lagipun saya sentiasa berawas takut-takut saya diperhati oleh guru.
Wal hasil saya pun balik sama waktu dengan murid yang gagal menjawab dalam sessi congakan itu.
Jelas kelihatan bahawa kawan-kawan saya itu adalah bakal-bakal untuk tidak meneruskan persekolahan diperingkat menengah. Ransangan dari ibu bapa? Dari guru? Zero. Ransangan untuk memperbaikki kehidupan dari miskin dan susah untuk lebih senang? Nampaknya tiada. Jadi kemiskinan menyebabkan mereka jadi begitu.
Sebahagian kawan-kawan saya itu tidak mendaftar peperiksaan untuk masuk sekolah menengah. Saya tidak pasti mengapa.Mungkin tidak berminat untuk meneruskan persekolahan di peringkat menengah. Mungkin tidak yakin boleh lulus dalam peperiksaan tersebut kerana belum ada satu pun murid-murid dari sekolah itu yang telah berjaya dalam peperiksaan masuk sekolah menengah. Jadi mengapa perlu buang duit tiga ringgit itu. Lebih baik digunakan untuk tujuan yang lebih mendesak untuk mereka.
Mungkin juga tiada wang untuk membayar yuran peperiksaan sebanyak RM3.00.
Bagaimana saya dan budak perempuan itu?
Murid perempuan itu orang berada. Bapa pegawai polis dan abang ada yang menjadi guru. Murid ini memang pandai.
Saya? Ohh , ya saya pun sama juga. Sama dengan yang lain-lain. Bahkan lebih teruk lagi. Lebih mudah saya katakan, makan pun berhutang. Kalau pekedai itu tiada belas dan ikhsan, tak makanlah jawabnya. Semoga roh pekedai yang baik hati itu dirahmati Allah SWT.
Duit yuran peperiksaan pun saya usahakan sendiri. Bagaimana? Jual sekerap curi.
Akhirnya hanya dua orang saja yang berjaya masuk sekolah menengah, murid perempuan itu dan saya. Adakah yang lain itu tidak pandai atau tiada kebolehan? Tidak, saya tidak bersetuju dengan kenyataan itu. Sebenarnya mereka adalah mangsa kepada kemiskinan. Saya, hanya bernasib baik saja.
Sebab itulah saya terlalu amat menyokong agar pelajaran percuma diberikan kepada semua, disemua peringkat pembelajaran. Bantu dan beri peluang kepada semua terutama orang miskin dan susah. Adalah tidak adil dan zalim jika peluang belajar percuma ini tidak diberikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan