HKR #KL112 telah mencatat sejarah.
Tidak pernah berlaku dalam sejarah perhimpunan di Malaysia, rakyat yang mahu menyatakan perbezaan dengan kerajaan yang berkuasa (BN) boleh berjalan secara aman tanpa kacau ganggu dan pengusiran dari pihak keselamatan.
Tidak pernah! Tidak pernah berlaku!
Semalam, telah terukir satu sejarah yang amat cantik sekali.
Perhimpunan atau HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT atau HKR#KL112 dimana suara-suara Rakyat yang sepadu telah dapat dizahirkan yang menuntut perubahan Kerajaan. Lebih tepat lagi menggantikan kerajaan BN dengan kerajaan yang baru.
Perhimpunan Berjalan Dengan Aman.
Maka timbul cakap-cakap dan sembang-sembang. Masing-masing mahu menuntut kredit atau nama diatas kejayaan perhimpunan yang aman itu.
Kepimpinan BN dan penyokong dengan cepat membuat tuntutan. Inilah satu dari kejayaan program TRANSFORMASI yang diperkenalkan oleh PM Najib. Kerajaan lebih terbuka dan telus, lebih demokratik dengan memberi kebebasan kepada rakyat untuk menyuarakan isi hati mereka dalam satu perhimpunan yang aman.
Benarkah begitu?
Tidak semuanya tidak benar akan kenyataan seperti diatas. Tanpa pihak kerajaan membenarkan perhimpunan yang jelas menentang dan mahu menjatuhkannya, perhimpunan HKR#KL112 tidak mungkin:
i) Tidak mungkin dapat berjalan dengan aman tanpa kacau ganggu.
ii)Tidak mungkin pihak keselamatan (Polis) memberi izin.
iii)Tidak mungkin tiada pihak yang tidak melakukan provokasi.
iv) Tidak mungkin peserta perhimpunan dapat berjalan dengan santai seperti sebuah keluarga yang pergi berkelah tanpa perasaan bimbang dan takut akan tembakan gas pemedih mata, semburan cecair berkimia, diusir, dikejar, dipukul, ditumbuk, diterajang, disepak, ditendang, ditangkap, dibawa kebalai, dan dilokap oleh polis.
v) Tidak mungkin pihak Stadium Merdeka memberi kebenaran kepada penganjur perhimpunan menggunakan stadium yang bersejarah itu untuk satu perhimpunan yang bertujuan untuk menentang kerajaan.
Dengan demikian semua pihak termasuk pihak penganjur perhimpunan , parti PR termasuk penyokong hendaklah menerima realiti dan kenyataan bahawa perhimpunan telah pun berjalan dengan aman tanpa kacau ganggu dan provokasi dibawah kerajaan BN yang ada ini.
Sebaliknya, jika BN tidak memberikan kebenaran dan menghukum perhimpunan itu sebagai haram, adakah perhimpunan itu terus diadakan?
Bagaimana jawapan anda?
Jawapan saya ialah HKR#KL112 itu tetap diadakan walau apa status yang diberikan. Haram atau tidak haram ianya tetap mengambil tempat pada tarikh dan tempat yang telah ditentukan.
Cuma perhimpunan itu akan mencatatkan suasana yang serupa dengan lain-lain perhimpunan sebelumnya. Pertempuran diantara polis yang bersenjata lengkap dengan rakyat yang tiada bersenjata. Akibat dan kesannya lebih buruk berbanding dengan perhimpunan sebelumnya.
Maka disini wajar kita beri ucap syabas kepada kepimpinan kerajaan BN, khususnya PM yang telah dapat berfikir secara rasional demi rakyat dan kepentingan negara.
Sekali lagi saya tanya, benar ke begitu?
Memang tidak semuanya benar.
Sebenarnya kebangkitan rakyat itulah yang membuatkan BN khususnya PM dapat diajak untuk bertukar cara berfikir. Tanpa desakan bilangan rakyat yang banyak itu, BN khususnya PM Najib akan tetap dengan cara berfikir lama iaitu :
'Mana-mana perhimpunan yang mengkritik kelemahan kerajaan apatah lagi yang mahu memberi alternatif bagi satu kerajaan yang baru, dianggap sebagai perhimpunan yang mahu menjatuhkan kerajaan secara yang tidak demokratik , tidak setia kepada raja dan negara, dipengaruhi dan dibiayai oleh negara asing, dan dengan sebab itu ianya dihukum sebagai haram'.
Jadi kebangkitan rakyat yang tidak dapat ditahan inilah yang membuatkan BN berubah cara berfikir. Bukan kerana ianya satu dari pendekatan dalam kerangka transformasi tapi untuk mencuri sedikit faedah agar rakyat mempercayai bahawa kerajaan sekarang sudah mula mahu mendengar suara rakyat, atau lebih telus dan terbuka.
Itulah yang sebenarnya.
Ertinya suara rakyat suara keramat.
Namun kita wajar juga mengucapkan terima kasih kepada BN akan perubahan ini walaupun ianya tidak sebenarnya apa yang dimahu oleh BN.
Itu adalah satu dari cakap-cakap dan sembang kerajaan dan rakyat.
Cakap dan sembang BN termasuk yang bersekutu dengannya dan yang bukan BN antara lain ialah mengenai bilangan yang hadir dalam perhimpunan itu.
PR kata lebih dari 100,000 orang. Ada penyokong PR kata 500,000 orang. Ada pula professor yang simpati pada PR kata 700,000 orang. Pendek kata yang menyokong PR mengatakan bilangan yang hadir ialah 100,000 keatas.
Saya faham mengapa bilangan angka sebanyak itu. Sebab PR hendak menunjukkan bahawa bilangan rakyat yang berpihak kepadanya adalah ramai.
BN, khsusnya polis ada sedikit melatah. Mula-mula kata 80,000 orang yang hadir. Tapi selepas digeletek agaknya, angka menurun kepada 45,000. Biasanya dalam statistik kita tidak membenarkan banyak 'error'. Kalau 5% itu kata orang 'error' yang 'tolerable' lah. Angka selepas kena geletek ini, berapa peratus ye bezanya? Kira sendirilah.
Saya juga faham mengapa angka BN ini merudum begitu dahsyat sekali. BN juga hendak menyatakan bahawa mereka masih mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat.
'Lihat, kata 1 juta tapi yang hadir cuma 45,000 orang. Berapa peratus ye bezanya'.
Begitu agaknya ayat yang diatur oleh BN bagi menempelak PR.
Baik. Ada lagi cakap-cakap dan sembang tentang perhimpunna ini.
Semasa saya berjalan pergi dan balik di perhimpunan itu saya dengar cakap-cakap dan sembang-sembang peserta, begini:
"Undi dalam tangan kita. Dia buat tak betul, kita tolak dia. 55 tahun kita beri dia peluang, kau tengok apa yang telah berlaku.... harga barang mahal, kena AES pulak. Hari tu aku kena". Cakap seseorang.
"PR pun kalau buat macam yang ni juga, besok kita terajang keluar". Amaran awalan seorang lagi.
Saya pun berkata, bisik-bisik dalam hati saja, cakap dan sembang sendiri, dalam hati, "Jangan main-main dengan kuasa rakyat".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan