Hari ini hari terakhir minggu pertama persekolahan bagi sessi 2013. Sudah seminggu anak-anak kecil tahun satu mengharungi pengalaman persekolahan. Mungkin yang telah biasa dengan taska dan tadika, mereka agak mudah membuat penyesuaian dengan alam persekitaran yang baru ini.
Anak-anak yang tidak berpeluang ke taska dan tadika sebelum memasuki tahun satu persekolahan besar kemungkinan merasa kekok dengan suasana yang baru ini. Gamaknya ada yang menangis tidak mahu ditinggalkan ibubapa atau duduk bersendirian, malu atau tidak pandai untuk berkomunikasi dengan kawan-kawan yang lain.
Hari ini sudah seminggu. Sudah tentu sedikit demi sedikit keyakinan diri mula terbina dan membina. Mereka sudah mula bercerita sesama mereka. Sudah mula bermain. Ada yang telah menunjukkan 'kehebatan' dengan penampilan dan penonjolan diri dalam kelas. Dan sudah tentu ada yang sedang memerhati dengan tekun lagak gaya kawan-kawan. 'Kalau dia boleh buat, apa kurangnya aku', mungkin ada anak-anak itu berfikiran begitu.
Jadi keyakinan diri semakin bercambah. Pergaulan dengan kawan-kawan sudah menjadi satu kemestian. Malah tiada lagi rindu terhadap kedua ibubapa. Masa berada di rumah, rindu pula kepada kawan-kawan. Satu dua hari cuti rasanya bagai setahun tidak berjumpa dengan kawan-kawan.
Begitulah besarnya pengaruh sekolah dalam membentuk keperibadian anak-anak. Oleh itu pihak sekolah sewajarnya memenfaatkan situasi ini, membentuk keperibadian yang terbaik demi masa depan anak-anak dan negara.
Pihak sekolah, khususnya guru-guru lupakanlah kata-kata yang selalu di keluarkan bahawa ibubapalah yang sebenarnya bertanggungjawab untuk membentuk keperibadian baik anak-anak mereka. Bukannya kata-kata itu tidak betul, ianya mutlak benar. Tetapi bukankah lebih baik guru-guru mengambil tanggungjawab itu tanpa cuba merujuk tanggungjawab ibubapa. Dengan cara begini ianya memberi satu ransangan yang kuat kepada guru-guru membentuk keperibadian anak-anak itu. Kerana hanya mereka saja yang diberi tugas mulia itu.
Sama juga kepada ibubapa. Lakukan tanggungjawab membentuk keperibadian anak-anak seolah-olah tiada pihak lain yang melakukannya.
Jadi apabila tiada tunjuk menunjuk akan tanggungjawab yang mesti dilakukan, semua pihak akan memberi fokus yang terbaik untuk melakukannya.
Selamat hadir ke kelas pada minggu depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan