Theflowersellingboy

Ahad, 6 Januari 2013

Hasil Getah Sekerap Untuk Bayar Wang Peperiksaan


Tahun 1960. 

Menapak balik menuju ke rumah setelah tamat waktu persekolahan pada pukul 1.30 petang. Berkaki ayam berjalan bersama kawan-kawan ditengah jalan raya yang berdebu warna merah.  
Kami melangkah selamba dan bersahaja ditengah-tengah jalan. Jarang sekali kami menyusur ke tepi kerana tiada kereta yang datang mengganggu. 

Perjalanan ke rumah agak jauh, 5 kilometer dari sekolah tapi kami tidak terasa penat. Tiada beban berat yang dipikul. Kami hanya menjinjing sebuah beg daun mengkuang berisi dengan sekeping dua buku tulis dan sebatang pensil kontot. Tiada buku teks untuk bacaan ulang kaji di rumah.

Tembakan kepanasan cahaya matahari telah terlebih dahulu diserap oleh daun-daun dan pohon-pohon pokok getah dikiri kanan jalan. Tidak terasa sangat keperitan. 

Kadang-kadang ada diantara kami yang melencung. Tidak terus balik ke rumah tapi berterjunan ke dalam sungai. 
Tapi saya meneruskan perjalanan untuk cepat sampai ke rumah. Mengisi perut yang kosong? 

Di rumah, beg mengkuang yang rengan itu dicampakkan saja ke mana-mana ruang yang ada. Menyenduk nasi. Makan apa saja menu yang tersedia.Nasi dengan sambal tumis. Nasi saja, kena selongkar cari sebiji bawang merah kecil. Petik beberapa biji cili api di belakang rumah. Apa saja menu sungguh menyelerakan. Alhamdulillah.

Lembu-lembu telah lama di lepas cari makan sendiri diladang-ladang getah mat salleh. Saya mesti cepat ke sana agar lembu-lembu itu dapat segera di kesan dan dikawal. Kalau tidak, jauh rayapan lembu-lembu itu menghilangkan diri. Tiada lembu di bawa balik bersama, beberapa rembatan rotan sega akan naik diatas belakang. 

"Apa kau buat. Lembu banyak itu pun tak terjaga. Asyik main saja", syiiiaap, bunyi rotan sega naik atas belakang. Aduh sakitnya. Tapi tidak boleh meraung. Nanti kena tambah lagi. Terpaksa tahan kesakitan.

Habis saja makan, segera menyarung baju dan seluar yang terletak di tepi suatu dinding dapur. Baunya boleh tahan untuk hidung sendiri. Melangkah segera ke ladang getah.
 
Disana telah sedia ada si Zuki, siTijah, si Wan dan si Daud. Mereka semua telah berhenti sekolah sebab gagal dalam peperiksaan masuk sekolah menengah. Ada yang gagal dalam peperiksaan. Ada yang gagal sebab tidak mendaftar kerana tiada wang. Wang daftar masuk periksa tiga ringgit.

Zuki tersenyum melihat saya tiba. Katanya lembu-lembu saya semuanya ada, makan dihujung sana. Jarinya lurus menunjuk ke sekumpulan lembu. Saya tersenyum suka kerana lembu tidak hilang. Tidak kena rotan apabila balik nanti.

"Jadi? Zuki segera bertanya.

"Jadi", saya menjawab pantas dan senyum melebar.

Macam mana pun saya mesti bersetuju. Tiap-tiap hari itulah jawapan saya bila di tanya oleh Zuki.

Sebiji bakul anyaman buluh diberikan kepada saya. Zuki telah sedia menjinjing sebiji bakul yang sama. Kami berjalan dari satu pokok ke satu pokok getah. Mengutip sekerap beku yang ada dalam cawan tadahan getah. Tidak semua cawan ada isi.

Kami lakukan kutipan itu sepantas boleh. Mata liar memandang. Takut-takut tuan punya ladang menjelma. Sudah tentu kami kena lari lintang pukang mengelakdarikena tangkap. Tapi sepanjang yang telah berlalu usaha mencari rezeki ini tidak ada apa-apa masalah. Semuanya beres. Daud, Wan dan Tijah adalah mata-mata kami. Mereka mematai kalau-kalau tuan punya ladang atau pekerjanya datang menghendap. 

Jika kami diserang hendap, mata-mata akan bersuara, menyeru,"Lembu kita dah lari". Maksudnya , menyuruh kami lari atau menyorok menyelamatkan diri.

Ada upah yang diberikan. Tapi ianya berbaloi kerana tanpa mata-mata itu sudah tentu kami berdua tidak dapat menjalankan tugas harian mencari rezeki kepunyaan orang.

Bagi saya ianya terlalu penting. Wajib saya melakukan kerana dalam kelas tadi cikgu besar telah memberi ingatan. "Sesiapa yang belum bayar yuran periksa, segera bayar. Ada dua minggu lagi.Lepas itu pendaftaran di tutup".          

Dalam tempoh dua minggu atau empat belas hari saya mesti dapat tiga ringgit. Kami mesti dapat satu hari tidak kurang satu ringgit. Perolehan jualan sekerap akan dibahagi tiaga. Zuki dapat bahagian yang lebih kerana dia yang pergi menjual ke kedai Ah Tap. Dia dapat lebih dua puluh sen sebagai bayaran kerana keberaniannya menjual barang curi. Daud, Wan dan Tijah masing-masing dapat upah sepuluh sen seorang. Lebihan itu akan dibahagi dua antara Zuki dan saya. 

Kalau hari itu dapat satu ringgit, bahagian saya ialah dua puluh lima sen. Saya ada masa dua belas hari untuk kumulkan wang , cukup untuk bayar yuran peperiksaan untuk masuk sekolah menengah.

Saya mesti usahakan kerjaya ini. Abah tidak akan beri wang. "Mana nak cekau. Dapat makan pun Alhamdulillah", saya menjangkakan perkataan-perkataan yang sudah tentu keluar dari mulut abah.

Saya tidak mahu jadi macam Zuki, Wan , Daud dan Tijah. Saya tidak mahu berhenti sekolah setakat darjah enam. Saya nak masuk sekolah menengah. Kalau boleh sekolah asrama penuh. Saya mahu jadi prgawai, pakai tali leher dan baju kot macam pegawai kat ofis tu.

Tahun 2013

Sudah memasuki tahun ke sembilan saya bersara. Zuki telah mempunyai tiga puluh orang cucu dari dua beals orang anak hasil perkahwinannya dengan Tijah. Daud masih lagi menetap di Felda Bukit Senggeh. Dengar khabar mempunyai bilangan cucu yang ramai juga. Wan menetap di kampong telah berhenti sebagai buruh di jabatan pertanian. Ramai juga cucunya.

Saya ada enam orang anak. Dua telah meninggal. Tiga dari empat anak telah bekerja. Seorang jurutera, seorang doktor dan seorang anak lelaki tunggal dalam bidang non destructive engineering. Seorang masih belajar di tahun lima bidang perubatan.
  
Saya baru saja dikurniakan dua orang cucu lelaki. Anak pertama dikurniakan anak lelaki. Sekarang sudah masuk dua tahun lebih. Anak kedua juga dikurniakan anak lelaki.

Hari ini adalah hari kelahiran cucu kedua, genap usia dua tahun. Anak-anak saya telah sepakat berkumpul di rumah meraikan kelahiran cucu saya itu. Mereka buat bbq, bakar daging kambing.

Yousef dan Naqib, dua orang cucu itu sedang bermain ipad. Tengok cerita Upin dan Ipin yang popular itu. Masing-masing ada satu ipad. Jadi tidak bergaduh.

Si Aiman yang semua orang kampong kenal dengan panggilan Ai yang sedang duduk diatas sofa lembut buatan Italy itu diruang tv tersenyum melihat gelagat cucunya sedang asyik bermain ipad. Dia bangun merapati  kedua-dua cucunya. Tapi dia tidak berani menyentuh ipad itu. dia takut ipad itu rosak dan akan mengganggu keseronokan cucu-cucunya itu. Dia hanya tahu main goli dan lastik burung di hutan Itu saja.

"Tokpa, duduk sini. Upin Ipin", jemput Naqib.

"Tokpa, ini YOusef punya. Jangan kacau", amaran diberikan oleh Yousef.

Aiman bukan main suka dengan gelagat cucu-cucunya yang baru dua orang itu.

Sudah tentu Zuki dan Daud lebih meriah lagi kalau sambut hari lahir cucunya yang ramai itu. Tapi ........

Aiman balik semula ke sofa lembutnya itu untuk bernostalgia semula.   

"Nasib baik aku curi sekerap. Kalau tidak tak dapat masuk periksa. Jadi macam Zuki , Daud dan Wan lah aku".

Aiman berdiri sambil mengangkat kedua tangannya keatas, "Ahhhhhhh", suara hati yang merasa puas mengenangkan tindakan yang telah diambilnya dulu. 

Salah? Berdosa? Wajar? Tidak mengapa? 
         

     
  
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan