Yang bercuti untuk mendapat kerehatan dari beban tugas pejabat ada empat orang. Yang bercuti untuk mendapat kerehatan setelah habis tekanan peperiksaan, ada seorang. Yang bercuti dari menguruskan cucu, ada dua orang. Yang bercuti untuk tidak hadir taska, ada dua orang.
Yang tidak dapat cuti kerana bertugas di offfshore Terengganu yang terpaksa berada diatas pelantar di laut China Selatan, ada seorang.
Jadi yang bercuti , jumlahnya 9 orang terdiri dari 3 orang anak, 2 orang menantu, 2 cucu, 1 orang isteri dan 1 orang diri sendiri. Yang tidak dapat bercuti 1 orang anak. Namanya Lukman Hakim. Bye man.
Bercuti keluarga kali ini tidak penuh quota tidak seperti bercuti tahun lepas di Port Dickson, semua ada. Untuk mendapatkan hari dan masa yang sesuai bagi mengumpulkan semua ahli keluarga, bukan satu kerja yang mudah. Masing-masing ada tugas dan keutamaan yang perlu didahulukan. Misalnya yang bekerja adalah tertakluk kepada keizinan jabatan untuk meluluskan cuti. Yang sedang belajar, bergantung kepada cuti universiti.
Saya dan isteri? Kami memang dah lama cuti, dah pencen. Tapi sekarang jaga cucu. Maknanya majikan kami ialah cuculah. Bila cucu ponteng taska, kami dapatlah cuti percuma.
Kesian si Lukman yang duduk di laut China Selatan. Tapi hari tu dah beritahu, dia ok saja dan ucapkan kami semua 'enjoy' bercuti.
Rancangan awal nak bercuti di Langkawi. Tapi ada yang mencadangkan untuk ke seberang laut. Dekat saja, ke Singapura. Kan ke Langkawi pun seberang laut? Selagi dalam wilayah Malaysia, ianya masih tidak diberi status seberang laut. Tak percaya? Pergilah ke Sabah atau Sarawak. Kita tidak kata pergi 'oversea'. Kita kata pergi Sabah atau Sarawak saja. Pelik bukan? Mungkin tak pelik kerana perkara ini telah tertanam dalam otak kepala kita.
Baiklah, berbalik kepada rancangan tempat bercuti. Secara konsensus maka bersetuju ke Singapura. Lagi pun ada jemputan majlis kahwin diJohor Baru. Ngamlah rancangan ke Singapura itu.
Mula-mula bercadang nak naik kereta api malam dari KL terus ke Tg. Pagar di Singapura, untuk memberi pengalaman pada cucu yang belum pernah naik kereta api. Kemudian, memikirkan penjimatan masa, buat keputusan memandu sendiri. Bercadang nak tidur di Melaka satu malam. Tak berani bawa kereta ke Singapura kerana tak biasa dan takut kena saman. Di Singapura, kata orang terlalu banyak undang-undang lalulintas yang kita tidak biasa. Jadi kami tempah hotel di JB dan ke Singapura dengan pengangkutan awam.
Pada peringkat akhir perancangan, si CT , pengurus bercuti keluarga, buat perubahan kecil. Tak jadi bermalam di Melaka, pandu terus ke JB.
Jadi selepas solat Jumaat, kami akan memulakan perjalanan ke JB, dalam rangka percutian keluarga di Singapura. Semoga perjalanan kami pergi dan balik selamat dan dilindungi Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan